KUALA LUMPUR -
Tindakan Pas memainkan semula isu negara Islam dalam usaha menarik sokongan
pengundi Melayu, menyebabkan semakin ramai pemimpin DAP tampil membantah parti
tersebut.
Selepas
mendapat kritikan daripada pemimpin tertinggi DAP, ketua-ketua cawangan parti
itu turut menyertai bantahan tersebut dan terbaharu, Naib Pengerusi Cawangan
DAP Taman Ehsan, L.P. Selvam pula berkata, semua calon Pas perlu ditolak kerana
dikhuatiri akan menyekat kebebasan bukan Islam di negara ini.
"Pas
sebenarnya hanya berminat bekerjasama dengan DAP bagi mendapatkan undi orang
Cina dan India sahaja.
''Jika mereka
menang besar, Pas akan meneruskan rancangannya untuk melaksanakan negara Islam
dan bagaimana nasib kami yang bukan Islam, sudah terlalu banyak polisi yang
bertentangan telah dilaksanakan oleh Pas sejak 2008,'' katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan
itu, beliau menyeru setiap pengundi supaya menentang dan memboikot calon Pas
dan tidak membenarkan mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau
mengulas gesaan beberapa pemimpin DAP sejak beberapa hari lalu yang mahu
pengundi bukan Islam menolak Pas memandangkan parti itu dilihat tidak konsisten
dalam pendirian melaksanakan hukum hudud.
Menurut
Selvam, walaupun niat pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya tidak akan
kesampaian berikutan krisis itu, beliau tidak mahu pengundi bukan Islam
memperjudikan masa depan negara demi mengubah kerajaan.
"Memang
niat kita untuk menubuhkan kerajaan baharu, namun jika Pas tetap berdegil
dengan agenda Islam mereka, kita tidak perlukan parti itu," jelasnya yang
bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam
Shah.
Tambahnya,
pemimpin tertinggi dalam DAP juga 'hipokrit' kerana masih bekerjasama dengan
Pas.
"Pimpinan
tertinggi DAP yang membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas sangat
mementingkan diri sendiri walaupun tahu pendirian Pas yang tetap berdegil
dengan agenda mereka.
"Ramai
akar umbi dan penyokong kecewa dengan sikap pimpinan tertinggi DAP dan sampai
bila-bila pun kami tidak akan menyokong sebarang agenda Pas, saya sendiri
berkempen menceritakan tentang bahaya jika mengundi Pas," ujarnya.
Sementara itu,
pengasas cawangan DAP Pelabuhan Klang dan Pandamaran, A.Deliganu berkata, usaha
menubuhkan negara Islam Pas tidak akan tercapai.
"DAP
tidak akan sesekali tunduk kepada permintaan Pas. Kita hidup dalam negara
sekular, tindakan bagi melaksanakan hukum hudud Pas dan penubuhan negara Islam
langsung tidak boleh diterima pakai.
"Pas
harus lebih sensitif dengan perasaan pengundi yang bukan Islam, jika mahu
sepakat dalam menawan Putrajaya, jangan ikut 'kepala' masing-masing,"
katanya. –UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment