KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan
rakyat Terengganu supaya membuat keputusan tepat ketika mengundi Ahad ini bagi
memastikan negeri ini tidak kembali ke era kegelapan.
Menurut Perdana Menteri, rakyat Terengganu sudah melalui
suasana tidak menentu semasa sepenggal di bawah pemerintahan Pas dan tidak
sepatutnya membiarkan situasi itu berulang.
Memetik slogan calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh,
'Masihkah Kau Ingat', Najib mengimbas bagaimana celarunya keadaan ketika itu
yang menyaksikan Pas bertindak menutup tadika dan gagal menguruskan
sampah-sarap.
"Ada pula janji, apabila menang, sebaik sahaja ayam
berkokok terus mahu laksanakan hukum hudud, tetapi mana janji dan ayam itu
sekarang," katanya ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Anugerah Desa
Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012 di Kampung Bukit Wan, di sini hari ini.
Najib berkata, rakyat Terengganu perlu memastikan negeri ini
kekal di bawah Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi mandat yang kuat kepada
BN di peringkat nasional.
"Pakatan pembangkang hanya pakatan politik semata-mata
tanpa perjuangan dan ideologi yang selari, malah Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi
Awang) sudah mengaku dia bukan setuju dengan Lim Kit Siang atau PKR (Parti
Keadilan Rakyat) tetapi kerana politik sahaja," katanya.
Sementara itu, katanya, apa yang dilakukan kerajaan BN sarat
dengan program kebajikan untuk rakyat dan tidak perlu melaungkan negara
berkebajikan seperti Pas.
Dalam pada itu, Najib yakin masyarakat luar bandar akan terus
memberi sokongan padu kepada BN untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13).
Malah, beliau merasakan sokongan itu terus meningkat dengan
kesedaran bahawa kesejahteraan hidup yang dikecapi selama ini ditunjangi oleh
dasar pemerintahan BN.
"Saya lihat ada dua sebab mengapa angin perubahan luar
bandar menjurus kepada BN. Pertama, mereka yakin kalau mahu masa depan yang
lebih baik tidak boleh bergantung kepada pembangkang.
"Faktor kedua pula, mereka kecewa dengan pembangkang.
Lihat sahaja apa sudah jadi dengan Kelantan yang diperintah pembangkang selama
22 tahun, Kedah dan Selangor lima tahun," katanya.
Najib juga menegaskan aku janji BN merupakan satu perjanjian
dengan ikatan kepada Allah dan rakyat yang jika gagal dilaksanakan, pemimpin
perlu menanggungnya kelak.
"Memang berat kita sebut aku janji kerana sebagai
seorang Islam, jika tidak tunaikan janji, kita berdosa tetapi saya tetap mahu
guna 'aku janji' berbanding manifesto kerana tindakan pembangkang yang mendakwa
manifesto bukan satu janji.
"Ini adalah amanah, jadi, saya sebagai pemimpin berani
angkat manifesto sebagai janji kerana kita yakin kita boleh buat,"
ujarnya. –UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment