Tuesday, July 31, 2012

ISU LAJIM – 'LAJIM IKUT NASIHAT ANWAR'
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam keputusan Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Sabtu lalu.

Dr Mohd Puad Zarkashi
Beliau berkata, Lajim mengambil keputusan itu kerana mengikut nasihat Anwar yang didakwa berkemungkinan menawarkan wang kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

“Tidak mustahil pendekatan kewangan telah digunakan oleh Anwar yang menasihati Lajim untuk meletakkan jawatannya setelah melihat kata duanya tidak didengari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tahu yang Anwar sekarang juga digelar ‘3 billion Man’ seperti yang dilaporkan media sebelum ini. Maka, berkemungkinan dia menggunakan sumber kewangan itu untuk memujuk Lajim meninggalkan parti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, sebelum ini Lajim yang mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) sejurus selepas peletakan jawatannya dikatakan cuba bermain 'tarik tali' dan melambatkan tindakannya melepaskan jawatan ahli Umno.

Menurutnya, Lajim sengaja melambatkan tindakan dan membuat urusan tawar-menawar kepada parti. Malah, apabila pendekatan yang digunakan tidak berkesan, dia mula merancang melepaskan kedua-dua jawatan itu.

“Tindakan itu tidak memberi implikasi buruk kepada Barisan Nasional (BN), kerana tiada impak ahli kita yang keluar beramai-ramai mengikut jejak langkahnya. Kita sedikit pun tidak hairan kepadanya,” katanya.

Katanya, tindakan Lajim itu tidak beri kesan kepada penentuan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dibuat Perdana Menteri. -Sinar Harian

31 JULAI - SELAMAT HARI PAHLAWAN..
Sambutan Hari Pahlawan diraikan pada 31 Julai 2012 bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara khususnya di kalangan masyarakat Malaysia supaya memperingati perjuangan dan pengorbanan para pahlawan negara dengan bertemakan "Pahlawan Perkasa Rakyat Sejahtera".

Apa itu Pahlawan?

Kamus Dewan menterjemahkan ‘pahlawan’ adalah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah, perwira yang ditakuti. Manakala Hari Pahlawan didefinasikan sebagai hari memperingati pahlawan yang terkorban.

Jika mengambil kira ungkapan ‘orang yang gagah dan berani dan telah terkorban’ kerana mempertahankan kedaulatan negara dari dijajah oleh anasir luar atau cubaan dari anasir dalaman yang berhaluan kiri dan kumpulan-kumpulan yang ingin mengkucarkacirkan kestabilan negara. Walaupun ianya bergerak tidak dalam kumpulan anggota berunifom atau seumpamanya, maka selayaknya mereka juga digelar pahlawan.

Pahlawan-pahlawan negara seharusnya dikenang oleh sejarah Malaysia yang telah terlebih dahulu mencipta ketamadunan negara Malaysia dan sekali gus adalah bangsa tuan kepada bumi ini yang berhak mendapat hak-hak keistimewaan. Kemasukan bangsa-bangsa asing, bermastautin dan diterima sebagai warganegara Malaysia selepas itu dan secara tidak langsung ikut sama terlibat di dalam perjuangan pembebasan dan kematian mereka juga telah diiktiraf dan tidak dinafikan jasa mereka kepada negara.

Ini bermakna, negarawan, ahli-ahli politik malah juga orang-orang persaorangan atau pun kumpulan yang bermandi darah dan keringat, berjuang dengan cara masing-masing dengan hasrat yang sama iaitu untuk membebaskan bumi Malaysia dari cengkaman penjajah dan pertualang-pertualang yang mengkhianati bangsa dan negara sendiri demi kelangsungan ideologi dan perjuangan mereka untuk menjadikan negara ini bukan sebuah negara demokratik adalah merupakan dari kelompok pahlawan.

Oleh kerana mereka berjuang bukan atas nama mana-mana organisasi berunifom, adalah menjadi sukar untuk mengesan jejak-jejak mereka untuk sama-sama didokumentasikan sebagai pejuang sebaris dengan pahlawan-pahlawan yang tersenarai dalam rekod sejarah negara.

Jasa & pengorbanan

Walau apa pun tafsiran, jasa dan pengorbanan mereka yang tiada tolok banding nilainya di sisi sejarah telah menjadi titik tolak kepada kecemerlangan pembangunan negara hari ini. Mereka datang bukan hanya dari satu bangsa majoriti malah mewakili bangsa-bangsa minoriti yang lain.

Sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan negara yang berjuang samada di era sebelum merdeka maupun pasca merdeka dikenang sampai hari ini. Tugu peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira dan perajurit yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi kestabilan dan keamanan tanahair.

Mengambil semangat dari pengiktirafan konvensyen ini dengan tamatnya peperangan dunia kedua yang dikenang di seluruh dunia maka tarikh ini telah ditetapkan oleh kerajaan pimpinan Yang Teramat Mulia Al-Marhum Tunku Abdul Rahman iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama untuk memperingati jasa perajurit dan polis yang terlibat secara langsung di dalam kemelut perebutan dengan beberapa pihak yang berkepentingan yang berlarutan sehingga bertahun-tahun selepas Malaysia merdeka.

Kempen

Kempen Hari Pahlawan hari ini telah menjadi tradisi dan sinonim sebagai acara penting samada di peringkat nasional maupun negeri-negeri, sebagai mengenang jasa pahlawan. Mengambil iktibar dari suasana semasa di dalam negara yang berkaitan dengan sejarah pertahanan dan kemerdekaan, adalah sangat bererti jika mulai tahun ini dan tahun-tahun mendatang, sambutan Hari Pahlawan diisi dengan menampilkan pahlawan-pahlawan yang masih hidup ini ke tengah masyarakat dengan program-program patriotik yang lebih menyeluruh.
Baru-baru ini, majlis Pelancaran Kempen Rayuan Hari Pahlawan (RHP) 2012 telah dirasmikan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Kempen RHP2012 ini selama tiga bulan, bermula 15 Julai sehingga 15 Oktober 2012.

Dalam pelancaran tersebut secara rasminya, dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk turut serta dalam menghargai pahlawan-pahlawan negara yang telah menyumbangkan bakti kepada negara dengan menghulurkan sumbangan kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan.  Setiap penderma akan diberikan sekuntum Bunga Raya sebagai simbol Rayuan Hari Pahlawan ini dan ianya dipakai sepanjang tempoh kutipan dilaksanakan.

Melalui kempen ini, dana dapat dikumpul untuk Tabung Kebajikan  bekas-bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan, terutamanya keluarga prajurit yang terkorban demi mempertahankan negara.

Akhir kata, terima kasih Pahlawan Negara. "Pahlawan Perkasa Rakyat Sejahtera".

Monday, July 30, 2012

KONTROVERSI PENGANTIN REMAJA

Kontroversi pengantin remajaPerkahwinan pasangan remaja yang dikenali sebagai Syafiq, 16, dan Yana, 14, yang tersebar di laman blog serta video majlis perkahwinan di YouTube mengundangkontroversi serta terus mendapat pelbagai reaksi masyarakat di negara ini.

Akhbar Sinar Harian yang melaporkan berita itu, sempat berkunjung ke rumah keluarga pengantin lelaki di Bandar Dara Chini, namun keluarganya bertegas tidak mahu ditemu bual ekoran tidak selesa dengan publisiti yang diperoleh secara mendadak.

Menurut sumber keluarga terdekat, video tersebut dimuat turun ke laman maya bertujuan untuk berkongsi saat bahagia pasangan terbabit dengan ahli keluarga yang tinggal berjauhan dan tidak sempat hadir pada hari perkahwinan tersebut.

Difahamkan bahawa pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada Februari lalu, namun kenduri bagi meraikan pasangan pengantin ini diadakan pada 8 Julai lalu.
Ibu pengantin lelaki yang ditemui turut mengakui bahawa dia sekeluarga memilih untuk berdiam diri walaupun ada reaksi negatif yang diterima daripada masyarakat mengenai perkahwinan anaknya.

Menurutnya, anak lelakinya akan meneruskan persekolahan pada tahun hadapan dan berharap agar orang ramai memahami situasi mereka yang merestui hubungan dan perkahwinan berkenaan.

Sementara itu, Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam Abdul Manan yang dihubungi berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan perkahwinan pasangan berkenaan.

Menurutnya, sebarang perkahwinan yang melibatkan pasangan atau salah seorang daripada pengantin di bawah umur seharusnya mendapatkan perintah kebenaran daripada pihak mahkamah sebelum ia dijalankan.
Kontroversi pengantin remaja
Gambar perkahwinan pasangan remaja terbabit. Video perkahwinan yang dimuat turun di laman YouTube dan dilayari ribuan penonton.
Sumber: Sinar Harian 28/0/2012

KD: Bukanlah ingin ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi secara peribadi, KD kurang bersetuju dengan tindakan pasangan ini mahupun keluarga mereka. Ini kerana usia mereka terlalu muda untuk berumah tangga.

Mungkin ada pihak mendakwa, ‘orang dahulu pun kahwin awal dan bahagia’. Itu benar dan tidak salah dari segi agama. Namun, perlu difikirkan zaman sekarang dengan dahulu - dua senario dan persekitaran sosial yang berbeza. Pelbagai dugaan dan pancaroba yang menunggu golongan remaja. Terlalu banyak yang perlu disumbangkan oleh golongan remaja untuk menjadi manusia. Jelas, anak muda kini lebih bebas bercakap, bertindak mengikut ‘darah panas’ mereka. 

Jadi, keputusan kahwin awal ini perlu mendapat nasihat dari kaunseling mahupun pejabat syariah. Dikhuatiri selepas ini ramai lagi remaja bawah umum mengikut langkah sama.

Walau bagaimanapun, mereka sudah pun memeteraikan satu ikatan yang sah. Maka, tidak wajarlah masyarakat menyalahkan mereka 100 peratus. Pihak yang berkenaan seperti keluarga dan masyrakat perlu memberi bimbingan kepada mereka sekaligus mendoakan kebahagiaan serta kerukunan rumah tangga mereka.

KAJIAN MPN: BN MAMPU TAWAN SELANGOR


Akhbar Sinar Harian Ahad lalu menyiarkan laporan berhubung kajian salah seorang anggota Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Mansor Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapati BN akan merampas Selangor, manakala PR akan kekal di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dalam PRU13.


Reaksi pembangkang

Kajian itu sudah pastinya mendapat maklum balas segera dari pelbagai pihak. Mari kita lihat apa kata mereka:

 Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, Pas menghormati kajian dilakukan oleh MPN itu, dan akan berusaha lebih kuat untuk mempertahankan Selangor daripada ditawan Barisan Nasional (BN). 


Disebabkan itu juga, pihaknya telah membuat kajian sendiri dan mendapati Selangor mempunyai daftar pemilih yang meragukan. Bagi beliau, ini merupakan strategi BN tawan semula Selangor. Sungguhpun begitu, pihaknya  yakin rakyat Selangor tetap memberi sokongan padu kepada PR.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menegaskan,  kajian MPN itu tidak menggambarkan keseluruhan keputusan sebenar PRU13. Ini kerana, PR juga membuat kajian yang sama dan mendapati beberapa negeri di bawah pemerintahan BN akan ditawan oleh PR.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan negeri-negeri itu kerana bimbang akan diketahui pihak lawan. Mustafa turut setuju pengundi di Selangor kini dilimpahi rakyat Sabah yang didaftarkan sebagai pengundi di Selangor.

Ketua Wanita PKR Negeri, Haniza Mohamed Talha berkata, keputusan sama ada Pakatan Rakyat (PR) kekal atau Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Selangor bergantung pada rakyat negeri itu sendiri.


 Jadi baginya, tidak perlulah kajian MPN atau mana-mana pihak buat kajian.

Bagi Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Anthony Santiago pula berpendapat, pengaruh pengundi hantu akan menjadi penentu kemenangan parti pada PRU13 ini.

Berdasarkan kajiannya bersama pakar, didapati kira-kira 3,000 daripada 6,000 nama pengundi yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum 2008, kini telah hilang dan ada yang dipindahkan ke kawasan lain. 


Malah, hasil pemerhatian beliau , mereka yang terlibat itu tidak setuju dengan pemindahan itu, sedangkan persetujuan daftar pemilih perlu dilakukan terlebih dahulu. Keadaan ini jelas menunjukkan ada usaha yang telah dibuat untuk menang dalam pilihan raya nanti. Beliau bagaimana pun telah pun membawa perkara ini dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Negeri, Khalid Abdul Samad berkata, kajian MPN disifatkan sebagai propaganda kempen yang memberi gambaran bahawa masyarakat menyokong BN. 


Kata beliau, “Hakikatnya, kalau tidak cakap pun, orang sudah tahu mereka sokong siapa.” 


KD: Pembangkang dilihat begitu optimis untuk mempertahankan Selangor dan negeri-negeri yang sedang ditadbir mereka. Tiadalah salah bersikap sedemikian, namun mereka perlu ingat penentu pentadbiran sesebuah negeri bukanlah hak pemimpinnya tetapi rakyat negeri itu sendiri - yang merasa, menilai sekaligus menjadi penentu kejayaan atau kegagalan sesebuah kerajaan.

MENJELANG PRU13: ROYALTI MINYAK KELANTAN
Isu Royalti Minyak Kelantan kembali menghangatkan arena media massa negara apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mengeluarkan kenyataan berhubung penubuhan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) yang juga telah menganjurkan Konvoi Royalti, dan diketuai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ke Gua Musang selama dua hari.

Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menyifatkan, tidak perlu melakukan konvoi atau demonstrasi tuntutan royalti minyak oleh mana-mana pihak memandangkan hak rakyat Kelantan itu, sudah diberikan kepada rakyat Kelantan secara terus dan bukan melalui Kerajaan Negeri. Pihak tersebut sepatutnya menunggu mahkamah.

Malah, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ehsan Kelantan berkata, wang ihsan diberikan kepada mereka yang layak secara terus dan telus iaitu kaedah yang lebih baik berbanding diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Hari ini, kenyataan Dr Awang Adek Hussin itu pula mendapat kenyataan balas dua pemimpin penting negeri itu. Berikut petikan kenyataan mereka:

Jangan bohong, Nik Aziz nasihat Umno

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Umno tidak wajar "berbohong" berhubung isu royalti petroleum, yang dituntut Kerajaan Negeri itu, lebih-lebih ketika bulan Ramadan sekarang.

Sambil menolak kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin semalam, Nik Abdul Aziz berkata, "Suka saya mengingatkan bahawa tuntutan terhadap royalti minyak ini bukan disuarakan oleh pemimpin kerajaan negeri dan rakyat Kelantan sahaja tetapi turut disuarakan oleh Sultan Kelantan dialam titah baginda sedikit masa dahulu. Apakah pemimpin berkenaan ingin menyatakan bahawa titah baginda silap dan tidak boleh dipercayai?" kata beliau yang menerajui kerajaan negeri sejak 1990.

Mursyidul Am Pas ini seterusnya berkata, mengapa Kerajaan Pusat membayar royalti kepada Sabah dan Sarawak sedangkan Kelantan disediakan wang ihsan.

"Saya ingin persoalkan kenapa negeri lain seperti Sabah dan Sarawak menerima royalti, bukan wang ehsan?
Berkatalah sesuatu yang benar di bulan Ramadan. Janganlah dididik lidah berbohong lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini," katanya lagi.

Ku Li mahu BN selesai isu royalti sebelum PRU

Sementara itu, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Katanya, isu itu perlu diselesaikan sebelum PRU13 untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN.

Menepis kritikan kononnya beliau menyokong kerajaan Pas yang menuntut royalti petroleum, beliau menegaskan "Saya cakap bukannya kerana saya memihak kepada pembangkang, tidak. Saya cuma hendak jelaskan apa yang terkandung dalam Akta Kemajuan Petroleum yang saya tolong gubalkan atas arahan arwah Tun Razak. Kalau itu boleh diterima oleh Umno pada ketika itu, masa Tun Razak jadi Presiden, saya jadi Naib Presiden, mengapa Umno sekarang ini tidak boleh pakai, tidak munasabah."

Ahli Parlimen Gua Musang ini menambah, satu lagi isu yang perlu ditangani ialah infrastruktur bagi kemudahan rakyat terutamanya jalan raya.


KD: Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah "bayaran tunai" sebanyak 5% dan perkataan "royalti" tidak digunakan dalam mana-mana istilah Akta berkenaan. 
Apakah kelayakan kerajaan-kerajaan negeri untuk mendapatkan bayaran tunai 5% seperti yang disebut dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan Negeri tahun 1975/1976?
 Telaga minyak atau gas mesti berada dalam sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri iaitu sejauh 3 batu nautika yang diukur dari paras air surut (ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No.7 Tahun 1969).
 Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau mana-mana kerajaan negeri di SEMENANJUNG berhak menuntut bayaran tunai hasil minyak dari Petronas?
MENJELANG PRU13: RIBUT POLITIK DI SABAH?

Negeri Sabah kini dikatakan berhadapan dengan 'ribut politik'. Sama ada ia besar, sederhana atau kecil masih menjadi tanda tanya.  Situasi itu seumpama itu bukan sesuatu yang baru. Malah, pergolakan seolah-olah lebih kerap sejak Pilihan Raya Umum 2008.
Terbaru apabila kelmarin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan keputusan meletakkan jawatan parti. 

Begitu juga, Wilfrid Bumburing, Timbalan Presiden UPKO dan MP Tuaran turut mengambil tindakan sama sekaligus merapatkan diri dengan Pakatan Rakyat.

Difahamkan, kedua-dua pemimpin itu keluar BN kira-kira sebulan selepas Perdana Menteri mengumumkan secara rasmi dan formal penubuhan suruhanjaya bagi menangani isu warga asing mendapat kerakyatan Malaysia.


REAKSI

Keputusan dan tindakan yang diambil oleh dua orang pemimpin Negeri di Bawah Bayu ini sudah semestinya mendapat reaksi yang pelbagai. Berikut petikan kenyataan dari beberapa pemimpin berhubung perkara itu:

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang menjadi tokoh diperhatikan oleh banyak pihak di Sabah dan luar Sabah berkata, parti itu menyedari bahawa Lajim dan Bumburing tidak lagi bersama-sama dalam perjuangan Umno dan BN.

Kata Musa, “Perkara ini bukan baru, perkara ini sudah lama kita ketahui tapi baru hari ini beliau buat keputusan...terpulang kepada parti mereka." Malah Musa berkata, sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas berikutan tindakan Lajim dan Bumburing, dan menegaskan bahawa tidak ada krisis dalam BN Sabah.


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta Datuk Seri Lajim Ukin keluar daripada Umno selepas meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort.

"Beliau (Lajim) tidak boleh mendapat kedua-duanya. Jika beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan pendirian parti atau pendirian kerajaan dan sebaliknya beliau secara diam-diam mahu bekerja dengan pembangkang, dengan itu beliau patut keluar daripada Umno sepertimana yang akan dilakukan oleh seorang yang 'gentleman'," katanya.

Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN di Parlimen, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam blognya menulis, "Walaupun BN Sabah merasa sedih dan kesal dengan berita ini tetapi secara jujur dan ikhlas, respons yang saya dapati dari kalanga ahli-ahli BN ketika ini lebih kepada menghembuskan nafas kelegaan."

Ahli Parlimen Kota Belud ini, bahagian yang rapat dengan Tuaran, diwakili Bumburing, Abdul Rahman berkata, beliau lega kerana satu episod lambaian "bye-bye" politik yang terlalu lama dan yang penuh dengan babak-babak dramatik dan retorik yang memenatkan telah berakhir.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula berkata, "Siapa yang tidak lega? Apabila beberapa wakil rakyat PKR khususnya ahli-ahli Parlimen keluar, mereka pun kata lega kerana pihak yang menjadi duri dalam parti akhirnya memutuskan untuk keluar." 

"Di Sabah, soal keluar parti dan tukar kerajaan bukan perkara baru, ia pernah berlaku sehingga membawa kerajaan negeri pimpinan BN dan kemasukan Umno," kata pegawai kanan firma kajian pendapat awam ini.

 Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dipetik menegaskan, tindakan Lajim meletak jawatan dalam parti adalah "asam garam politik." Beliau berkata, desas-desus Lajim ingin meninggalkan Umno telah lama didengar, namun ia sering dinafikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, tindakan Lajim dan Bumburing meninggalkan BN tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil.


Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berpendapat, Barisan Nasional (BN) akan menerima saingan sengit sekiranya bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin bertanding atas tiket parti selain dari BN dalam parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru katanya, BN perlu berhati-hati meletakan calon yang bertanding di parlimen tersebut kerana Lajim mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Menurutnya, tindakan Lajim yang masih belum melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, merupakan salah satu strategi politik beliau.

KESIMPULAN 

Di sini, bolehlah disimpulkan bahawa walaupun kebanyakan pemimpin Umno-BN menyifatkan keputusan kedua-dua wakil rakyat tidak akan memberi kesan ke atas pakatan itu, mereka tidak dapat menerima perkembangan semasa ini.

Ini kerana, dalam sejarah politik negara iaitu pada PRU 2012, kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam mengekalkan kuasa BN di Pusat.

KD: Kepada BN, memetik kata-kata, Ibrahim Suffian "adalah menarik untuk mengkaji senario di negeri Sabah" mungkin boleh dijadikan panduan kepada pentadbiran parti itu.

Friday, July 27, 2012

POPULARITI NAJIB KEKAL STABIL - MERDEKA CENTER

Kajian kendalian Merdeka Center mendapati, tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kalangan pengundi di Semenanjung "kekal stabil" di tahap positif meskipun merekodkan sedikit penurunan membabitkan kaum Melayu dan India . 
Penemuan firma itu, yang dikeluarkan semalam, menunjukkan populariti Najib pada bulan lalu berada di paras 64 peratus berbanding 65 peratus Mei lalu.

Kajian itu juga menunjukkan paras rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri di kalangan pengundi Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan India, kaum minoriti, masing-masing menurun daripada paras 79 peratus kepada 75 peratus dan 72 peratus kepada 69 peratus.

Bagaimanapun sokongan pengundi Cina terhadap prestasi Najib telah meningkat daripada 37 peratus pada Mei lalu kepada 42 peratus bulan lalu.

Menurut Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian, "Meskipun mengalami penurunan di kalangan pengundi kaum India dan Melayu, paras yang direkodkan masih tinggi. Cuma ada perubahan sedikit di kalangan pengundi Cina." 

Terdahulu dalam satu kenyataannya, Ibrahim berkata, pendirian komuniti-komuniti itu kemungkinan dipengaruhi oleh kebimbangan mereka tentang keadaan ekonomi negara khususnya di kalangan pengundi India.

"Ia juga ada kaitan dengan rasa tidak puas hati berhubung kenyataan berkaitan dengan aktivis (Pengerusi Bersama Bersih 2.0) Datuk S. Ambiga," kata beliau lagi.

Kajian terbaru ini dikendalikan antara 22 dan 29 Jun lalu membabitkan 1,010 pengundi berdaftar melibatkan 59 peratus pengundi Melayu, Cina (32 peratus) dan India (sembilan).

Ibrahim berkata, meskipun Najib merekodkan paras populariti yang stabil dan masih tinggi, kajian yang sama juga menunjukkan bahawa pandangan pengundi terhadap kerajaan terus mengalami penurunan.

Katanya, seramai 42 peratus responden melahirkan pendirian bahawa "mereka gembira dengan kerajaan" - satu penurunan sebanyak enam peratus berbanding kajian dikendalikan pada pertengahan Mei 2012.

"Penurunan ini sangat ketara di kalangan pengundi Melayu, di mana respons mereka yang mengatakan 'gembira' dengan kerajaan mengalami penurunan daripada 65 peratus pada bulan Mei kepada 58 peratus Jun 2012," katanya lagi.

Ibrahim juga berkata, kajian pihaknya juga menunjukkan bahawa pendirian berhubung isu-isu ekonomi khususnya kos hidup dan gaji menjadi aspek pilihan utama di kalangan pengundi - 39 peratus pada bulan lalu berbanding 33 peratus pada Mei lalu.

"Ini disusuli dengan kebimbangan berkenaan dengan kadar jenayah dan masalah sosial pada 12 peratus dan isu-isu politik sekitar lapan peratus," katanya lagi.