Friday, April 5, 2013

MENJELANG PRU13: TSUNAMI POLITIK TIDAK AKAN BERULANG
 
Ahli akademik yakin BN menang PRU13

BANGI: Ahli akademik yakin tsunami politik 2008 yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan dua pertiga kerusi di Parlimen dan lima negeri tidak akan berulang.

Sebaliknya, BN akan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 berikutan kejayaan pelbagai dasar, program dan transformasi yang dilaksanakan kerajaan.
Tsunami politik tak  berulang
Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali, berkata ini termasuk 23 produk bantuan rakyat untuk meningkatkan sosioekonomi.

Katanya, produk itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menepati kehendak golongan berpendapatan rendah, generasi muda dan pelajar.

“Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan pelbagai transformasi kerajaan ternyata memberi kelebihan kepada BN, manakala pembangkang semakin jauh di hati rakyat.

Majoriti ramal BN menang

“Berdasarkan kajian empat tahun, kami mendapati sebanyak 63.2 peratus responden meramalkan BN memenangi pilihan raya, manakala 58.1 peratus pengundi muda memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatasi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada Seminar PRU-13: Memperkasa Demokrasi di Bangunan Canselori UKM, di sini, semalam.

Mohd Fuad berkata, tindakan berani menerusi transformasi politik juga menyumbang kepada peningkatan pengaruh BN dalam kalangan pengundi muda yang selama ini menganggapnya menyekat amalan demokrasi.

“Ini termasuk pemansuhan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA), penambahbaikan Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Akta Perhimpunan Aman,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Amer Saifude Ghazali, berkata berdasarkan kajian terbarunya, sebanyak 42 peratus daripada 2.5 juta pengundi kali pertama mengundi cenderung memilih BN, 37 peratus pembangkang dan 21 peratus atas pagar.

“Pengundi atas pagar mempunyai pengaruh besar untuk menentukan tampuk pemerintahan negara,” katanya. -BHarian
MENJELANG PRU13: PASANGAN BELIA BERKAHWIN DAPAT RM1,000 - BN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) negeri akan memberi imbuhan RM1,000 kepada pasangan belia yang melangsungkan perkahwinan jika memenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad, berkata ibu bapa yang menimang cahaya mata pertama pula akan mendapat wang tunai RM500.

Katanya, cadangan itu sebahagian daripada manifesto tambahan BN Terengganu.

Bantuan Aidilfitri dinaikkan

Beliau berkata, BN negeri juga akan menaikkan bantuan am kepada penerima dan dana Hari Raya termasuk dana remaja jika parti itu memenangi PRU-13.

“Kadar bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri akan dinaikkan daripada kadar biasa iaitu antara RM200 hingga RM450 bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.

“Kadar dana hari raya dan dana remaja yang mula diperkenalkan BN sejak 2009 juga akan dinaikkan dengan syarat BN perlu menang,” katanya selepas menyampaikan dana pendahuluan nafkah anak Jabatan Kehakiman Syariah, di sini, semalam. -BHarian

NIK AZIZ KELUAR ‘FATWA’ BARU - DAKWA ORANG UMNO SEMBAHYANG TAK DAPAT PAHALA

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam mengeluarkan ‘fatwa’ baru dengan mendakwa sembahyang orang UMNO tidak akan mendapat pahala.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, disebabkan UMNO menerima dasar kebangsaan dan menolak agama Allah, menyebabkan sembahyang mereka tidak akan mendapat pahala.

“Demo (UMNO) tolak Islam, tolak agama Allah, bila demo sembahyang, tidak boleh pahala. Hendak dapat pahala macam mana sebab tolak Islam.

“Bukan senang adik kakak, mesti ikhlas kerana pahala bukan senang hendak dapat. Begitu juga orang PAS sembahyang, tapi kedekut, juga tidak akan dapat pahala,” katanya ketika berceramah pada Ceramah Perdana di Kampung Jambu, di sini, malam kelmarin.

Kenyataan dibidas

Kenyataan Nik Aziz itu dibidas aktivis Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (UMMATI), Mohd Syamsul Mohd Yusoff al-Hafiz menganggap Nik Aziz sudah tersasar jauh daripada matlamat perjuangan PAS.

Beliau turut menggelar Nik Aziz sebagai ulama As-Su’ (jahat) kerana sanggup membuat fitnah dan mengeluarkan fatwa sendiri bahawa sembahyang orang UMNO tidak akan mendapat pahala.

“Nik Aziz seorang ulama As-Su’ kerana mengeluarkan fitnah besar terhadap umat Islam khasnya UMNO sebab dasar perjuangan UMNO adalah untuk mengukuhkan, mempertahankan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“UMNO tidak pernah menolak Islam serta hukum hudud, sebaliknya PAS yang sanggup menggugurkan hukum hudud terhadap negara Islam dalam Buku Jingga, jadi siapa di sini yang memperlekehkan Islam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu Ahli Jawatan Kuasa Minda Pondok, Mohd Zainal Abidin Awang turut menganggap kenyataan Nik Aziz itu mempunyai tujuan yang sama iaitu mewujudkan kebencian rakyat terhadap UMNO.

“Sedangkan tiada bukti kukuh mengatakan UMNO menolak Islam sebaliknya PAS sendiri yang memperlekehkan undang-undang Islam dengan mengatakan hukum hudud itu hanyalah 0.0001 peratus daripada ajaran Islam.

“UMNO terima dasar kebangsaan kerana undang-undang Malaysia yang menuntut kemerdekaan ketika itu dibuat oleh Raja dan pembesar Melayu,” katanya. -BHarian

Thursday, April 4, 2013

PRU13 BUKAN PERTANDINGAN ANTARA INDIVIDU TAPI PARTI – TUN M

PUTRAJAYA: Selaras dengan pembubaran Dewan Rakyat pada Rabu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan penyokong Barisan Nasional (BN) agar mendahulukan parti tanpa mengira individu yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

"Ini pertandingan antara parti, bukan pertandingan antara orang perseorangan kerana hanya parti saja yang boleh tubuh kerajaan, jadi mereka mesti tentukan parti mereka menang.

"Kalau mereka betul-betul setia pada parti, jangan kira siapa jadi calon. Kalaupun di situ dia letak calon MCA, Umno mesti sokong. Kalau dia letak calon Umno, MCA, MIC mesti sokong kerana kita hendak parti BN menang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.

BN diyakini akan memenangi PRU13 nanti, malah mungkin dengan majoriti dua pertiga berdasarkan pengundi, termasuk pengundi Cina kini dilihat kembali kepada BN berdasarkan respons daripada siri perjumpaan yang dihadiri pemimpin parti, katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kembali bertanding untuk menyahut cabaran penasihat DAP Lim Kit Siang supaya beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu bertanding lagi memandangkan beliau sudah bersara dan Lim yang sepatutnya mengikut jejak beliau.

"Dia patut bersara sebab dia aktif dalam politik ini sejak tahun 1964, bagilah can (peluang) kepada orang muda. Saya bagi peluang pada orang muda sebab itu saya letak jawatan pada 2003.

"(Lim) Kit Siang ini walaupun dia seorang ahli politik yang berpengalaman dan berpengaruh, tapi tiba masanya dia tarik diri, tak usah bertandinglah, bagilah peluang pada orang muda," katanya.

Dr Mahathir sebelum itu menerima kunjungan bekas ahli PAS seumur hidup Zainon Ismail yang memohon maaf kepada beliau.

Zainon atau lebih dikenali dengan nama CN Afghani mengaku pernah merancang membunuh Dr Mahathir pada tahun 1988 kerana terpengaruh dengan 'Amanat Haji Hadi' yang menyatakan bahawa Umno kafir. BERNAMA/mStar


PRU13: ANWAR DIJANGKA GANTI LIM KIT SIANG DI KERUSI PARLIMEN IPOH TIMOR

Pada tahap ini semua pihak sudah mengetahui 'hero' pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh.

Melainkan untuk seketika (diambil alih oleh isterinya Wan Azizah Ismail), Anwar adalah wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1982 - iaitu sejurus selepas beliau menyertai Umno.

Setakat ini masih tidak diketahui bagaimanakah perasaan dan reaksi para penyokong setia Anwar di Permatang Pauh dengan keputusan terbarunya itu.

Anwar sendiri mengakui terpaksa turun padang untuk bersemuka dan memujuk jentera bawahannya agar rasa kecewa dan marah mereka jangan sampai membantutkan peluang penggantinya menang di kerusi berkenaan nanti.

Namun Anwar enggan menjawab siapakah bakal pengantinya itu. Tetapi ramai kini yang menunjuk ke arah Nurul Nuha iaitu seorang lagi anak perempuannya yang seringkali mengiringi Wan Azizah pulang ke sana.

Mengapa Perak?

Berkeras mahu meninggalkan Permatang Pauh, Anwar membayangkan kepada pihak media yang beliau sudah membuat keputusan untuk berpindah kerusi ke Perak dengan alasan untuk memastikan matlamat pakatan pembangkang menawan Putrajaya tercapai.

Tapi persoalan yang timbul ialah mengapa Anwar berminat untuk menjadi calon 'payung terjun' di Perak?

Jika dirujuk perkiraan atas kertas tentang rekod pakatan pembangkang di negeri yang terkenal dengan kraftangan labu sayong itu, pada 2008, PKR mengetuai jumlah kerusi yang ditandingi di peringkat Parlimen iaitu sebanyak 10 kerusi berbanding PAS dan DAP masing-masing dengan tujuh kerusi.

Bagaimanapun rekod kemenangan PKR sangat buruk kerana hanya memenangi tiga kerusi Parlimen iaitu di Bagan Serai, Sungai Siput dan Gopeng.

Lebih memburukkan rekod PKR apabila Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri bertindak keluar parti itu dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

Difahamkan penghijrahan Anwar ke Perak dilihat sebagai strategi pembangkang khususnya bagi membantu PKR negeri itu menyumbang lebih banyak kerusi di peringkat Parlimen.

Tidak dipertikaikan, Anwar memang satu nama besar di kalangan penyokongnya, namun disebalik kekuatan yang ada padanya, beliau masih perlu berhati-hati dalam memilih kerusi yang bakal ditandinginya.

Sokongan Cina

Melihat kepada 24 senarai kerusi Parlimen yang ada di Perak, besar kemungkinan Anwar bakal mencuba nasib di kerusi Ipoh Timor.

Ia disokong dengan perkembangan terkini apabila penyandang kerusi berkenaan iaitu veteran DAP, Lim Kit Siang memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen milik PKR di Gelang Patah, Johor.

Sebagai ganti, DAP akan turut mengorbankan kerusi mereka kepada Anwar di Perak. Ini adalah satu perkiraan yang logik.

Lebih logik lagi, dalam situasi sekarang Anwar tidak mahu mengambil risiko dengan para pengundi Melayu.

Sebaliknya beliau berasa lebih yakin yang dirinya akan diterima dengan tangan yang terbuka oleh para pengundi bukan Melayu.

Oleh yang demikian, Ipoh Timor dengan majoriti pengundi di kawasan berkenaan terdiri daripada masyarakat Cina adalah pilihan yang semulajadi dan tepat.

Pengundi di Parlimen Ipoh Timor terdiri daripada Cina (81.07 peratus), Melayu (13.09 peratus), India (5.27 peratus) dan lain-lain 0.57 peratus. - mStar