Monday, April 1, 2013

PEMIMPIN MUDA PAS BIADAB HINA NABI MUHAMMAD

Kenyataan Khairul Fahmi Mat Som menerusi Twitternya
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat bertindak biadab membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitter baru-baru ini, memperlihatkan kecetekan ilmu agama pemimpin muda berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan pemimpin itu yang merupakan ahli kepada parti yang kononnya berasaskan Islam tidak boleh diterima sama sekali.

"Menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh, apatah lagi contoh yang buruk, memperlihatkan kecetekan ilmu agama pemimpin muda parti yang kononnya berasaskan Islam itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg yang menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ini, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan...jahanam UMNO."

Kenyataan di laman Twitter itu dikeluarkan Khairul Fahmi pukul 11.58 pagi Rabu lalu.

Ahmad Zahid berkata, tuduhan buruk terhadap UMNO seperti yang dilakukan Khairul Fahmi itu cukup melampau sehingga sanggup mengaitkan dengan Nabi Muhammad.

"Tetapi jika ada pemimpin mereka yang melakukan keburukan, tetap mereka pertahankan walaupun bersalah," katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin tidak kira daripada parti mana sekalipun sepatutnya menunjukkan sikap dan fikiran yang matang dalam berpolitik. – Utusan Online

Friday, March 29, 2013

JANGAN PERTIKAI KEDAULATAN SABAH - ABDUL RAHIM BAKRI

KUALA LUMPUR — Seorang anggota Parlimen dari Sabah hari ini berkata tiada sesiapa pun boleh mempertikai atau mempersoalkan kedaulatan negeri itu.

Anggota Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim berkata ketika Sabah bersetuju untuk memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1963, pemimpin dan rakyat Sabah telah bersatupadu dan bersepakat dalam sebuah keluarga besar persekutuan Malaysia.

"Apa yang penting adalah keputusan tersebut turut mendapat pengiktirafan badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan sah dan diiktiraf masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Rahim, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, turut mengingatkan penduduk dan rakyat di luar bandar di negeri itu khususnya supaya tidak terbawa-bawa dengan budaya politik baharu iaitu 'matlamat menghalalkan cara' yang dianjurkan pihak tertentu.

Katanya rakyat perlu bijak membuat pertimbangan sekiranya timbul sebarang propaganda dan menilai keadaan mengikut kewajaran semasa kerana semua rakyat bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

Beliau seterusnya menyeru rakyat agar bersama-sama mempertahan kedaulatan negara dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi menjaga integriti wilayah dan keselamatan negara. — Bernama/The Malaysian Insider
KERAJAAN SEMENTARA: SPR TIADA KUASA BUAT PERATURAN

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan berhubung kerajaan sementara, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata ini kerana tiada sebarang peruntukan di bawah perlembagaan dan undang-undang yang membolehkan SPR berbuat demikian.

"Jika SPR ada peraturan berhubung perkara itu pun, belum tentu lagi mereka akan patuhinya," katanya ketika mengulas pertanyaan sama ada SPR boleh merangka peraturan apa yang perlu dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, SPR berpandangan setiap kerajaan negeri dan persekutuan wajar ada peraturan mengenai kerajaan sementara.Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Pejabat Peguam Negara untuk menentukan segala garis panduan bagi sesebuah kerajaan sementara.

Dalam perkembangan lain, SPR menyangkal dakwaan kononnya agensi itu tidak memberi maklum balas berhubung surat yang dihantar oleh anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, pada 4 Mac lepas berhubung 4,637 pengundi meragukan.

"SPR setakat pagi ini belum menerima surat yang diperkatakan itu, tak tahulah kalau lepas ini baru surat itu sampai. Jika surat sudah diterima SPR sudah tentu akan ambil maklum dan membuat semakan," katanya. - Bernama/mStar
TARIKH AKHIR PEMBUBARAN PARLIMEN 30 APRIL – SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12. - BERNAMA/mStar
PRU13: WAN AZIZAH BAYANG KEMUNGKINAN BERTANDING KERUSI DUN

SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Khamis membayangkan kemungkinan akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 ini.

"Saya memang layak untuk bertanding di DUN, tapi perkara ini masih dalam perbincangan tidak formal," katanya kepada pemberita, di sini.

Dr Wan Azizah yang ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga wira negara yang terkorban di Lahad Datu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan bertanding di DUN pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau yang dikaitkan dengan DUN Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ketika ditanya mengenai perkara itu.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional Datuk Pirdaus Ismail.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan beliau menangguhkan pembubaran DUN Selangor Februari lepas kerana ditentang beberapa anggota exco dan pemimpin parti.

Sebaliknya kata beliau perkara itu merupakan strategi parti.

"Kita ada strategi A, B atau C, seperti juga yang berlaku di DUN Negeri Sembilan yang dibiarkan terbubar dengan sendirinya, ia sangat mengelirukan," katanya selepas merasmikan Sistem Aplikasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Abdul Khalid pada Selasa lepas mengumumkan DUN Selangor akan dibubarkan pada 22 April depan.

Beliau sebelum ini pernah mengumumkan untuk membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Cap Goh Mei pada Februari lepas. - BERNAMA/mStar