Thursday, April 4, 2013

BN SEDIA RAMPAS SEMULA SELANGOR

SHAH ALAM: Jentera Barisan Nasional (BN) Selangor di semua peringkat sudah bersedia untuk memastikan kemenangan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sekali gus merampas kembali negeri itu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata selain persediaan lebih rapi berbanding PRU 2008, prestasi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut menyaksikan peningkatan sokongan terhadap BN.

“Saya yakin rakyat mahu BN kembali mengambil alih pentadbiran kerajaan Selangor daripada pakatan pembangkang yang gagal menepati janji untuk membawa kemajuan, pembangunan dan keharmonian di Selangor,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan di Bangunan UMNO Selangor mendapati petugas pilihan raya sibuk membuat persiapan termasuk menyusun pelbagai kotak untuk dihantar kepada pejabat UMNO setiap bahagian.

BN Selangor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN Selangor serta 22 Kerusi Parlimen. Sebanyak 894 Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN ditubuhkan bagi memastikan kemenangan calon BN. - BHarian
PRU13: HARI MENGUNDI AKHIR APRIL

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh diadakan seawal 20 April ini dengan penamaan calon pada Rabu depan berikutan pembubaran Parlimen semalam.

Bagaimanapun, SPR dijangka menganjakkan hari penamaan calon pada 13 April, manakala pengundian 27 April selepas mengambil kira kedua-dua tarikh berkenaan adalah cuti hujung minggu.

Tunggu surat Speaker

Mengikut peraturan penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian, writ pilihan raya mesti dikeluarkan sekurang-kurangnya sehari, manakala notis empat hari sebelum penamaan calon. Kempen pula mesti diadakan sekurang-kurangnya 11 hari.

Sumber SPR memaklumkan, berdasarkan pengalaman sebelum ini pengundian biasanya diadakan pada Sabtu, penamaan calon pula lazimnya diadakan 10 hari selepas pembubaran.

Pada pilihan raya umum (PRU) 1999 dan 2004, tempoh antara pembubaran dan hari penamaan calon ialah sembilan hari, manakala pada PRU 2008, masa yang diambil ialah 11 hari.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya menunggu surat pemakluman daripada Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum boleh mengadakan mesyuarat menetapkan hari penamaan calon dan tarikh pengundian.

Beliau menjangka SPR menerima pemakluman rasmi dalam tempoh beberapa hari akan datang selepas semua DUN dibubarkan.

Tempoh kempen 14 hari

Sementara itu, tempoh berkempen dijangka mencecah 14 hari berikutan ketetapan tempoh berkempen perlu diadakan sekurang-kurangnya 11 hari.

Mengikut rekod, tempoh kempen PRU 2008 ialah 13 hari, berbanding lapan hari pada PRU 2004 dan sembilan hari bagi PRU 1999. - BHarian
PRU13: PERMATANG PAUH DEDAH BELANG ANWAR

BUTTERWORTH: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dianggap rahmat kepada penduduk Parlimen Permatang Pauh yang sudah sekian lama mahu menolak kepemimpinan Penasihat PKR itu.

Perkara itu disuarakan penduduk Permatang Pauh sendiri yang mendakwa Anwar selama ini tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, sebaliknya hanya mempergunakan masyarakat di kawasan itu kerana taksub mengejar cita-cita politiknya untuk menjadi Perdana Menteri.

Penduduk Kampung Mengkuang, Yusof Sudin berkata, Anwar yang diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 sudah jauh berubah kerana dilihat leka mendahulukan matlamat peribadinya berbanding berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

Lalai jalan tanggungjawab

“Apa erti seorang wakil rakyat kalau bukan bersama rakyat? Sikap Anwar yang sibuk berpolitik menyebabkan dia lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan jarang sekali pulang ke kawasan untuk menjenguk rakyat.

“Kalau Anwar pulang ke Permatang Pauh pun, niatnya hanya sekadar untuk berkempen dengan memperdaya masyarakat di sini untuk terus menyokongnya. Namun, apabila rakyat memerlukan khidmatnya, dia ‘lesap’ entah ke mana dan ini membuatkan penduduk tawar hati untuk terus menyokongnya,” katanya di sini, semalam.

Yusof berkata, sikap sambil lewa Anwar terhadap penduduk Permatang Pauh berlaku kerana beliau terlalu selesa di kawasan yang dikatakan kubu kuatnya, selain yakin pengikut setianya akan terus menyokongnya.

“Sudah sekian lama penduduk Permatang Pauh dipergunakan Anwar dan kami semakin sedar keadaan ini dan kalau dia bertanding sekali pun di sini, saya percaya sokongan terhadapnya tidak lagi hebat seperti dulu dan kemungkinan besar beliau tewas,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang itu pada sidang media di Ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, mengumumkan akan bertanding di luar kubu kuatnya di Permatang Pauh dan memilih Perak pada PRU-13.

Mahu lari

Penduduk, Mohd Rafizal Yusof berkata, keputusan Anwar ‘lari’ dari Permatang Pauh itu mempunyai kaitan dengan sokongan berkurangan rakyat kawasan itu terhadapnya berikutan kegagalannya menyumbang kepada program dan pembangunan di situ.

“Anwar semakin ‘besar kepala’ sejak mendapat mandat pada 2008 dan meminggirkan rakyat di sini dan hanya pulang sesekali, itupun jika terpaksa menghadiri majlis besar pembangkang negeri, manakala selebihnya untuk ceramah politik.  - BHarian

Wednesday, April 3, 2013

PARLIMEN DIBUBAR HARI INI
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah 
berkenan menandatangani warkah yang dipersembahkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan)
 bagi memohon perkenan baginda untuk 
pembubaran Dewan Rakyat di Istana Negara di sini hari ini

PETALING JAYA: Parlimen Malaysia penggal ke-12 dibubar secara rasmi pada Rabu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Pembubaran berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurut Najib, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau menghadap baginda awal pagi Rabu.

"Pada pagi ini saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini.

"Sehubungan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan agar Parlimen ke-12 dibubarkan berkuat-kuasa hari ini," katanya.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet terkahir di Putrajaya.

Pada sidang media khas itu juga Perdana Menteri meminta semua ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara," katanya.

Sementara itu Najib turut menasihatkan semua parti politik yang akan bertanding pada PRU akan datang supaya mengamalkan prinsip demokrasi demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.

"Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

"Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. 

Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita," katanya.– mStar Online
KENYATAAN PAS MENGENAI NABI KETERLALUAN
 
KUALA LUMPUR: Kenyataan mengaitkan Rasulullah SAW dengan video seks adalah bukti nyata bahawa amalan politik chauvinis dan ekstremis melatari perjuangan politik pembangkang selama ini.

Senario itu jelas menggambarkan bahawa mereka sanggup melakukan apa saja termasuk menghina kesucian agama Islam asalkan mesej dan ucapan mereka dapat disampaikan kepada umum.

Sanggup lakukan apa saja

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin ketika dihubungi BH berkata, pembangkang sejak dulu lagi sanggup melakukan apa saja demi memastikan kehendak mereka tercapai, tanpa mengira implikasi yang terpaksa ditanggung kemudian hari.

Beliau berkata, ketamakan dan kerakusan mereka terhadap pangkat serta kuasa menjadikan kumpulan itu seolah-olah pekak dan tuli apabila sanggup melanggar apa saja batas yang ada.

“Lukisan kartun Rasulullah pun menimbulkan kemarahan semua umat Islam, inikan pula mengaitkan Baginda Rasulullah SAW dengan video seks. Apa lagi yang harus kita namakan tindakan seperti ini selain biadab dan sangat kurang ajar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ahli Jawatankuasa Dewan PAS Pusat, Prof Md Noor Deris berkata pembangkang nyaris terdesak hingga sanggup menggunakan taktik tidak masuk akal seperti itu untuk kejayaan politik mereka.

“Sama ada pemuda, muslimin mahupun pemimpin syura pembangkang sebenarnya dilanda kebimbangan dan berasa tersepit kerana pengaruh kerajaan melonjak sejak akhir-akhir ini,” katanya. - BHarian
PRU13: GURU SEKOLAH PONDOK AJAK UMAT ISLAM TOLAK PEMBANGKANG

Sokong BN

Mesti tolak pembangkang
Abdullah Al-Najmi (kiri) bersama 
Ketua Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya
menunjukkan buku rang undang-undang hudud
yang diluluskan kerajaan Kelantan
KUALA LUMPUR: Sekumpulan guru sekolah pondok semalam meminta umat Islam menolak pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana merosakkan akidah dan agama.

Sebaliknya, mereka mengajak umat Islam terus memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana terbukti memelihara aspek berkenaan berbanding pembangkang yang mempraktikkan konsep kesamarataan yang bakal menyebabkan Islam dan orang Melayu diletakkan pada kedudukan paling rendah.

Persatuan Minda Pondok

Penasihat Persatuan Minda Pondok berpangkalan di Kelantan, Tok Guru Abdullah al-Najmi Saamah berkata, UMNO dan BN meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan menghormati prinsip kebebasan agama, sekali gus meletakkan Melayu pada tingkat teratas berikutan sifat Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Katanya, konsep itu diterima MCA, MIC dan parti komponen BN lain, membuktikan mereka menerima konsep Raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi berbanding pembangkang yang melaungkan konsep pluralisme atau kesamarataan yang meletakkan Islam dan Melayu pada landasan sama dengan agama dan kaum lain.

“Tahalul (kerjasama) UMNO dengan orang bukan Islam menepati kitab tafsir seperti Imam Bardawi, al-Syarkawi dan al- Qutubi. Kerjasama politik UMNO dengan parti lain menepati nisbah Imam Syafie, maka kerjasama itu hukumnya diharuskan atau dibolehkan.

Tahalul BN sah

“Tahalul BN sah dari segi syariat sedangkan tahalul pembangkang tidak dibolehkan kerana semuanya sama rata. Kalau DAP paling banyak kerusi, DAP yang menjadi pemimpin atau ketua negara,” katanya pada sidang media, di sini.

Turut hadir, Ketua Penerangan persatuan itu, Haron Yahya dan ahli jawatankuasa, Mohd Zainal Abidin Awang, 59.  Ahli persatuan itu adalah mudir dan guru sekolah pondok di Kelantan, Perak, Kedah dan beberapa negeri lain.

Abdullah yang lebih dikenali dalam kalangan masyarakat Kelantan dengan panggilan ‘Tok Guru Haji Lah’ adalah Mudir Madrasah al-Najmiah, Kampung Tebing, Pengkalan Kubor, Kelantan. – BERNAMA/BHarian
SELANGOR SALAH GUNA KUASA HALANG LANGAT 2

Pendirian kerajaan negeri beri kesan buruk ekonomi

SHAH ALAM: Pendirian Kerajaan PKR Selangor tidak meluluskan pembinaan projek loji rawatan air Langat 2 adalah satu penyalahgunaan kuasa yang akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata pendirian itu lambat laun akan menjadikan negeri ini mundur.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 16 tahun dulu, merancang projek membawa air mentah melalui terowong dari Pahang berharga RM4 bilion yang kini hampir siap dan kerajaan negeri ketika itu bersetuju kawasan di Langat digunakan untuk loji berkenaan.

Nak tunjuk kuasa

“Dalam perjanjian asal, kerajaan negeri bersetuju untuk kita menggunakan tanah di kawasan Langat untuk dijadikan loji Langat 2. Itu saja... kuasa dia (kerajaan negeri) hanya membenarkan kita memulakan projek, tetapi nampaknya dia nak tunjuk kuasa dan dia salah guna kuasa,” katanya.

Noh berkata, kuasa yang sepatutnya diberi untuk pembinaan loji Langat 2 sebaliknya dinafikan dan kesannya hari ini, Selangor berdepan krisis air yang sudah pun mengakibatkan sekurang-kurangnya 440 projek yang berupaya mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan tidak dapat dimulakan.

440 projek terjejas

“Jadi, apa kesannya? Peluang pekerjaan akan tertutup, rumah tak boleh buat, hotel tak boleh buat, kompleks beli-belah tak boleh buat dan Selangor lambat laun akan jadi negeri mundur,” katanya sambil menambah syarikat yang sudah komited untuk melabur di Selangor, masih menunggu kerana tiada jaminan bekalan air yang mencukupi.

Rakyat perlu pandang serius

Sehubungan itu, Noh mahu semua rakyat Selangor memandang perkara itu dengan serius demi memastikan kelangsungan negeri mereka terus maju dan bagi menyelesaikan masalah air, mereka tiada pilihan selain memastikan BN memerintah negeri ini. – BERNAMA/BHarian