Friday, May 17, 2013

MALAYSIA NEGARA KE-6 DI DUNIA TERDEDAH ANCAMAN JENAYAH SIBER 

KUALA LUMPUR - Malaysia merupakan negara ke-6 di dunia yang berisiko tinggi terdedah kepada ancaman jenayah siber berbentuk serangan malware, iaitu penipuan melalui sesuatu program sama ada komputer atau telefon pintar.
  
Naib Presiden Penyelidikan CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (B) Sazali Sukardi berkata menurut laporan Laporan Ancaman Keselamatan Sophos 2013 dalam tempoh tiga bulan tahun ini, selain Malaysia terdapat sembilan lagi negara lain yang berisiko iaitu Hong Kong, Taiwan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mexico, India, Filipina, Thailand, China dan Indonesia.

 "Penjenayah siber mencuri melalui kaedah ini mencecah RM331.7 bilion dari seluruh dunia dengan kos purata sebanyak RM593 bagi setiap mangsa berdasarkan Laporan Jenayah Siber Norton 2012," katanya.
  
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Collaboration and Cooperation In The Fight Against Cyber Crime" pada persidangan dua hari e-Crime, di sini, hari ini.
  
Bagaimanapun, katanya, jenayah siber di negara ini mencatatkan penurunan iaitu daripada 15,218 kes pada 2011 kepada 9,986 kes pada 2012.
   
Sazali berkata penurunan itu adalah disebabkan penguatkuasaan efektif yang dilakukan agensi penguatkuasaan kerajaan termasuk CyberSecurity.
  
Beliau berkata penipuan adalah paling tinggi dilaporkan dalam jenayah siber diikuti cubaan menceroboh, spam, penafian perkhidmatan, pembulian siber, penipuan, kandungan yang berkaitan, kod berniat jahat dan laporan kelemahan seperti fitnah melalui siber.
  
"Kita juga sedang menghadapi ancaman keselamatan yang lebih banyak oleh organisasi jenayah antarabangsa yang menyalahguna internet untuk pelbagai aktiviti haram iaitu dadah, penyeludupan manusia, penipuan kewangan dan pengubahan wang haram, yang kesemuanya merentasi sempadan," katanya.
  
Sazali berkata, jenayah siber akan terus berkembang selagi penjenayah boleh mendapat keuntungan kewangan daripada sistem komputer dan keadaan ini akan bertambah buruk disebabkan kecuaian pengguna internet.
  
Sehubungan itu, katanya, CyberSecurity akan terus menangani jenayah siber bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Digital Malaysia, Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN), Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS), Pensijilan dan Penilaian Kriteria Seragam (MyCC), dan Penyelarasan Pengurusan Krisis Siber Negara.
  
Justeru beliau meminta orang ramai menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di talian 03-89926969 untuk menyalurkan maklumat dan membuat laporan awam. -Bernama/Sinar Harian
NASHARUDIN ULANG UMNO-PAS PERLU BERSATU

KUALA LUMPUR -  Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa hari ini mengulangi kenyataannya supaya parti-parti mewakili orang Melayu dan Islam di negara ini bersatu untuk kebaikan agama.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al Quds Malaysia berkat, untuk mencapai tujuan itu pemimpin dan anggota Umno dan Pas perlu berani mengenepikan kepentingan masing-masing.

"Kegagalan penyatuan di antara Umno dan Pas berlaku kerana masing-masing tidak mahu meninggalkan kepentingan peribadi dan kuasa yang diperoleh," katanya ketika menjawab soalan daripada peserta Forum Kedamaian dan Keselamatan 2013 di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), di sini.
  
 Nasharudin Mat IsaBeliau berkata, pemimpin parti politik lebih tertumpu dan berlumba untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya dan pemerintahan negara daripada melihat kesan ke atas perpaduan ummah.
  
Sebelum itu, Nasharudin dalam ceramahnya bertema 'In Search of Human Security - Islamic Diplomacy and the Way Forward' berkata Nabi Muhammad S.A.W. mampu menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai puak di bawah kepimpinan dan sikap diplomasi beliau yang indah.

"Mereka (terdiri daripada pelbagai kabilah) diikat dalam satu perjanjian yang menjadi Perlembagaan Islam bertulis yang pertama.
  
 "Ini benar-benar menunjukkan bahawa masyarakat yang disatupadukan oleh baginda pada masa itu yang terdiri daripada pelbagai kaum, kesemuanya bersetuju untuk berada di bawah pemerintahan baginda berdasarkan kepada undang-undang syariah Islam," katanya.

Forum sehari itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) dan Cordoba Foundation, United Kingdom, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), dan Institut Diplomatik Qatar.
  
Forum itu bertujuan bagi memberi pemahaman yang lebih baik di kalangan masyarakat global berhubung perspektif Islam mengenai keamanan dan kesederhanaan bagi menyelesaikan konflik.

Ia juga menekankan pendekatan diplomatik termasuk melalui cara rundingan kekal sebagai cara penting bagi mendapatkan penyelesaian aman selain membina perdamaian dan keamanan. – Bernama/Sinar Harian

Thursday, May 16, 2013

PASCA PRU13: SPR PERLU REFORMASI JAMIN PRU14 BERSIH - IDEAS

KUALA LUMPUR - Hanya dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang benar-benar adil saksama, anggotanya terdiri daripada wakil dua parti utama negara, barulah pilihan raya akan datang boleh dilaksanakan dengan bersih.
Menurut wakil Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Keeran Sivarajah, lantikan pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mestilah dibuka kepada semua dan bukannya ditentukan oleh pihak-pihak tertentu.

"Ideas memang mencadangkan sebuah agensi bebas yang duduk di bawah Parlimen.

"Sekarang ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berada di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya pada Seminar Pasca PRU13 : Ke Arah Mana Politik Malaysia, di sini, hari ini.

Jelasnya, apa yang paling penting ialah, sebuah suruhanjaya itu mestilah memenuhi keyakinan rakyat.

"Jika Parlimen pada hari ini mendapati SPR tidak telus, maka SPR mesti direformasikan," tegas beliau.

Keeran sebelum itu ditanya peserta seminar, bagaimana negara pada pilihan raya akan datang bebas daripada amalan penipuan yang didakwa berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Kita mencadangkan SPR yang baru di mana-mana ahli SPR dilantik secara terbuka. Sesiapa rasa layak untuk menjadi pesuruhjaya SPR, layak untuk memohon," katanya.

Sementara itu, Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman ketika ditanya soalan sama, meminta hadirin menimbang dari aspek jumlah peratusan keluar mengundi luar biasa pada pilihan raya lalu.

"Di negara Turki, pilihan raya adalah diwajibkan, tetapi hanya 83 peratus keluar mengundi. Namun, di Malaysia, tidak wajib, yang keluar hanya mengundi 89 peratus.

"Tapi kalau begitu ramai kerana kesedaran baguslah," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.
 -Sinar Harian
PASCA PRU13: GAGAL TAWAN PUTRAJAYA, ANWAR PERLU KOTAKAN JANJI

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengotakan janjinya untuk berundur kerana gagal menawan Putrajaya selepas PRU13.


Bekas Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Abu Seman Yusop berkata, Anwar dilihat masih mengimpikan jawatan Perdana Menteri sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi merealisasikan cita-citanya.

“Beliau telah menyatakan sebelum ini, jika kalah beliau akan berundur tetapi jelas sehingga kini beliau masih lagi menjadi Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR).

“Beliau sepatutnya menunaikan janjinya itu tetapi saya lihat apa yang dilakukan hari ini lebih kepada keinginan peribadi berbanding kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, usaha PR menganjurkan pelbagai perhimpunan untuk menolak keputusan PRU13 bakal memberi impak negatif kepada negara.

Katanya, Anwar sengaja tidak mahu menerima hakikat bahawa PR telah tewas merampas Putrajaya sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam masyarakat.

“Sehingga kini beliau tiada bukti kukuh untuk dibawa ke hadapan, oleh itu menggunakan rakyat untuk berdemo di jalanan bagi menarik perhatian.

“Kita ada proses undangundang sepatutnya PR mengikut proses yang ditetapkan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, pembangkang sepatutnya akur dengan suara majoriti rakyat dan Anwar sebagai pemimpin utama perlu berundur kerana tidak mampu menunaikan janjinya sebelum pilihan raya.
 
“PR dilihat mengamalkan demokrasi terpilih apabila enggan menerima keputusan daripada Kerajaan Pusat, tetapi boleh menerima keputusan di kerusi-kerusi yang dimenangi sehingga bertindak pantas membentuk Kerajaan Negeri mereka.

“Mereka lemparkan banyak tuduhan bagi mengelirukan rakyat, PR juga menggalakkan demonstrasi jalanan sebagai cara untuk menyuarakan  masalah, saya mahu pemimpin PR bertanggungjawab terhadap kesan yang bakal berlaku di kemudian hari nanti,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Papar itu, berdemonstrasi di jalanan hanya merosakkan perpaduan yang telah dibina selama ini.

Menurut laporan The Edge, 81 peratus pembaca akhbar itu mahu Anwar bersara kerajaan gagal membentuk Kerajaan Pusat.

Bancian yang melibatkan 12,588 menunjukkan 10,275 orang mahu Anwar mengotakan janji untuk bersara.

Anwar dalam video ucapannyapada 17 Ogos 2012 berkata, beliau akan berundur daripada politik dan memilih menjadi pensyarah jika rakyat masih memberi mandat kepada BN pada PRU13.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pematang Pauh itu menukar pendiriannya sebelum ini untuk bersara dari dunia politik kerana mendakwa PRU13 penuh penipuan dan akan terus memperjuangkan hak rakyat menuntut pilihanraya adil dan bersih.-Sinar Harian