Monday, July 1, 2013

PRK KUALA BESUT: PAS vs PKR

SHAH ALAM – Pas mendakwa PKR Terengganu “tidak faham” apabila mengeluarkan kenyataan untuk mengetengahkan calon daripada parti itu pada PRK di Dun Kuala Besut ekoran kematian penyandangnya Rabu lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, sebenarnya isu PKR mahu meletakkan calonnya bertanding di kerusi itu tidak sepatutnya timbul.

Lazimnya ujar Mustafa, kerusi yang berlaku kekosongan perlu diserahkan kepada parti yang bertanding di kerusi itu pada PRU.

“Kita lihat dia tak serius dalam memberi kenyataan tersebut. Sebenarnya soal itu tidak berbangkit, isu nak meletakkan calon tersebut.

“Dia tak faham tentang kerusi tersebut,” katanya pada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan tersebut yang sebelum ini ditandingi calon Pas, Napisah Ismail.

“Saya yakin Pas akan pertimbangkan calon daripada PKR. Bagi memperbaiki kedudukan di Terengganu, adalah baik Pas beri pertimbangan calon PKR di situ,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali semalam berkata, kerusi Kuala Besut pernah dimenangi oleh PKR pada tahun 1999.

Di sebalik kesediaan PKR itu, Pas dari segenap negeri tampil dengan kenyataan sudah siap sedia untuk menggempur kubu BN itu.

Kerusi Dun Kuala Besut diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar dari BN meninggal dunia, 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Mengulas lanjut, Mustafa yakin Pas di peringkat negeri telah mempunyai calon yang berkelayakan untuk diletakkan di kerusi Dun Kuala Besut pada PRK akan datang sekali gus menewaskan calon BN.

Bagaimanapun, tambahnya, memandangkan tarikh PRK belum ditetapkan, Pas Pusat masih belum meminta sebarang senarai nama untuk melakukan proses pilihan calon.

“Negeri yang akan cadangkan calon, saya yakin mereka sudah ada nama calon, nanti Pusat akan tapis dan tentukan.

“Setakat ini, negeri pun belum hantar lagi kepada Pas Pusat,” katanya.– Sinar Harian

KD: Seperti biasa, Pakatan pastinya akan bertentangan pendapat mengenai calon yang akan dipertandingkan..

PRK KUALA BESUT: PAS TETAP TAK BOLEH PERINTAH TERENGGANU

BESUT - Pas tidak akan boleh memerintah Terengganu walaupun parti itu menang dalam Pilihan raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan.

Datuk Seri Idris JusohKetua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kelebihan satu kerusi speaker menghalang Pas memerintah negeri ini walau pun ditakdir parti itu menang.

Menurutnya, sekarang BN mempunyai kedudukan 18 kerusi termasuk satu kerusi speaker, manakala pembangkang 15 kerusi dan kalau mereka menang PRK kali ini, kedudukan masih 16-17.

“Sekiranya pembangkang menangpun ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada mereka tetapi akan menyulitkan pembangkang. Justeru, rakyat perlu terus mengundi BN kerana rakyat akan mendapat manfaat yang besar,” katanya selepas Taklimat Khas PRK Dun Kuala Besut di Damai Beach Resort dekat Kampung Raja, semalam.

Idris berkata, Umno sedang menyusun pelbagai strategi dan gerak kerja semua peringkat termasuk bantuan pusat untuk menghadapi PRK kali ini.

Beliau berkata, beberapa cadangan calon BN tempatan telah disenaraikan dan senarai akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon.

“Kita akan mencari calon tempatan yang disenangi dan disukai oleh rakyat kerana calon yang disukai rakyat akan memberi lebih kemenangan,” katanya. – Sinar Harian
ISU TUKAR AGAMA ANAK: JANGAN PERTIKAI UNDANG-UNDANG ISLAM

SHAH ALAM –Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntuk persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk tukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam tidak boleh dipertikaikan.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd WahidMufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata, keputusan Kabinet bahawa agama kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak tidak boleh diguna pakai kepada penganut Islam.

“Dari segi hukum hadanah (penjagaan anak), anak bawah umur asalnya adalah di bawah penjagaan ibu. Namun, dalam isu berlainan agama, anak itu perlu mengikut agama ibu atau bapanya yang Islam.

“Misalnya, jika si bapa memeluk Islam, tetapi si ibu tidak, maka agama anak mereka yang di bawah umur akan mengikut si bapa,” katanya.

Katanya, ia dibincang Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Isu agama tidak boleh dipertikaikan. Undang-undang ini perlu dikekalkan bagi memastikan martabat Islam berada di kedudukan sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam merupakan agama rasmi dan negara ini terikat dengan undang-undang Islam.

“Peruntukan menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam yang memerlukan persetujuan salah seorang ibu bapa sudah dipakai sejak sekian lama. Mengapa perkara ini dibangkit sekarang?

“Undang-undang itu dibuat berdasarkan undang-undang Islam dan tidak boleh dipertikai,” katanya. - Sinar Harian

KD: Pertikaian yang meragukan.. apakah usul yang diutarakan oleh pemimpin pakatan ini memberi maksud bahawa mereka masih tidak faham atau sengaja tidak faham bahawa Islam adalah agama rasmi negara? 

Friday, June 28, 2013

KUALA BESUT TALIAN HAYAT PAS TERENGGANU 
SHAH ALAM - Kekosongan kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar  dilihat memberi talian hayat kepada Pas untuk menawan semula Terengganu selepas tewas pada PRU13.
 
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Pas berpeluang menawan Dun Kuala Besut, namun bergantung kepada calon diletakkan nanti.

Katanya, Pas perlu letak calon ‘heavyweight’ kerana Dun Kuala Besut kubu kuat Umno dan pastinya BN akan meletakkan calon berwibawa.

“Pergolakan dalam Umno juga mampu beri kelebihan kepada Pas.

"Kita lihat pergolakan ini antara penyebab pada pilihan raya lalu Pas mampu menawan banyak kerusi hingga menyebabkan kedudukan Umno terancam,” katanya.

Selain itu, katanya, sikap pengundi Terengganu yang sering menukar sokongan juga dilihat akan memberi kelebihan kepada Pas dan perkara ini terbukti pada pilihan raya lalu.

Katanya, senario politik di Terengganu juga dapat memberi peluang kepada Pas kerana jika dilihat BN Terengganu lebih kuat pada zaman Datuk Seri Idris Jusoh berbanding di zaman pentadbiran Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Ahmad Said.– Sinar Harian

Thursday, June 27, 2013

PARLIMEN: MP PR TERKESAN TITAH AGONG
MP PR terkesan titah Agong

KUALA LUMPUR – Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah supaya semua ahli Parlimen menerima keputusan pada PRU13 lalu ketika pembukaan Sidang Mesyuarat Pertama penggal pertama Parlimen ke-13 semalam turut diakui terkesan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan, titah Tuanku itu cukup berkesan dan berharap wakil rakyat lain dapat bekerjasama untuk membangunkan negara pada masa akan datang.

"Ya, kita boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan negara, itu peranan kita sebagai pembangkang.

"Kita sekarang ini bekerja di Parlimen dan di luar untuk sama-sama membangunkan negara dan kita mengharapkan kerajaan selain daripada menyebut mengenai pembangunan negara perlu juga melihat ketirisan dan masalah lain yang berlaku.

"Peranan kami sebagai pembangkang untuk menegur pihak kerajaan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pula berkata, titah Agong  itu disambut baik dan positif kerana sebaik sahaja  mengangkat sumpah, bermulalah tugas sebagai wakil rakyat.

"Titah Tuanku itu saya ambil positif dan ia langsung tidak bertentangan dengan usaha kita memastikan ada usaha penambahbaikan sistem pilihan raya.

"Kami perlu berada dan menjalankan tugas di Parlimen selepas wakil rakyat PR ini mendapat mandat yang besar,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pemimpin PR akan memastikan 'kecurangan' dan penipuan pilihan raya lalu akan terus dibawa ke muka pengadilan supaya pilihan raya akan datang lebih bersih dan telus.

"Soal menuntut reformasi pilihan raya dan juga memastikan bahawa semua penipuan perlu diselesaikan baik, bukan kerana soal siapa yang menang pilihan raya yang lalu.

"...tetapi ia soal memastikan pilihan raya kita pada masa akan datang lebih baik supaya tidak timbul kecurigaan dan ketidakyakinan terhadap sistem pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi pula menegaskan, pihaknya menerima keputusan PRU13 lalu meskipun mendakwanya berlaku banyak penipuan dan penyelewengan hingga menjejaskan kemenangan PR.

"Kami daripada pihak pembangkang tidak menolak keputusan pilihan raya, sebab itu kita datang angkat sumpah.

"Apa yang kami tolak ialah kepincangan, penyelewengan dan penipuan yang akan dibuktikan melalui petisyen yang telah difailkan ke mahkamah.

"Perkara itu juga diakui pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri apabila mengakui kelemahan  dakwat kekal, itu yang kita tolak dan tentang,” dakwanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong, Datuk Dr Mansor Othman pula menafikan pemimpin PR menolak keputusan pilihan raya lalu sambil menyifatkan sistem pilihan raya di negara memerlukan penambahbaikan yang berterusan bagi menjamin proses itu berjalan dengan bersih dan adil pada masa akan datang.

"Keputusan PRU13 itu termasuk dalam sistem itu, bukan tidak terima tapi banyak benda yang boleh dilakukan,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan pula, Tony Pua, mana-mana pihak perlu menghormati keputusan pilihan raya lepas dan perlu akur terhadap kemenangan BN yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan meskipun PR memperolehi undi popular yang lebih tinggi iaitu 51 peratus pada PRU13 lalu.

"Saya rasa keputusan pilihan raya memang dihormati, buat masa ini BN sudah menjadi kerajaan, sudah tubuhkan kabinet, ahli Parlimen PR juga telah mengangkat sumpah untuk mengambil tempat dalam Parlimen sebagai pembangkang.

"Ini tidak bermaksud kita tidak boleh membuat cadangan atau kenakan tekanan kepada pihak kerajaan untuk membuat perubahan ke atas dasar pilihan raya yang akan datang lebih adil dan bebas kepada semua pihak.

"Ini merupakan perkara yang penting bagi rakyat Malaysia sebab sistem demokrasi memang mengutamakan siapa yang menjadi majoriti,” katanya.

Pendapat itu senada dengan wakil rakyat penggal pertama dari DAP, iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang menegaskan titah Tuanku itu perlu disahut dengan melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara dan menjalankan tugas sebaik mungkin kepada rakyat.

Namun beliau agak teruja apabila Tuanku turut menyelitkan kepentingan golongan muda kepada masa depan negara dalam titah baginda.

"Saya rasa yang menarik dalam titah Tuanku itu ialah saya rasa jarang dalam titah DiRaja akan bercakap tentang orang muda.

"Mungkin ini adalah satu pengiktirafan kepada golongan ini dan ini juga kekurangan di negara ini di mana kita banyak dikatakan "Brain Drain".

"Saya rasa inilah cabaran Malaysia yang perlu diberi tumpuan dan saranan Tuanku itu memang betul dan tepat,”katanya. –Sinar Harian
HENTI BANTAH KEPUTUSAN PRU-13, ASAS PERDAMAIAN NASIONAL - PM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan asas utama dalam usaha mencapai matlamat perdamaian nasional.

Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat Pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.

Menurut beliau, penerimaan pembangkang terhadap keputusan pilihan raya itu membolehkan kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

"Saya suka menegaskan premis utama dan asas perdamaian nasional ialah keputusan pilihan raya umum perlu kita terima sebagai keputusan yang muktamad. Kalau berterusan berhimpun di jalanan, matlamat perdamaian nasional tidak akan dicapai.

"Kalau tidak berpuas hati ada saluran tertentu dan selanjutnya keputusan dibuat melalui mahkamah. Kita kena terima kerana ini mengikut Perlembagaan negara," katanya ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksana usaha penyatuan nasional untuk mengerat semula hubungan antara rakyat di negara ini yang berpecah sehingga membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut mengenai MKPN, Najib berkata, tiga agenda utama menjadi objektif penubuhannya iaitu mencari jalan menangani masalah polarisasi kaum, memupuk keharmonian antara agama serta membentuk dasar-dasar kerajaan supaya bersifat inklusif sosial.

Tambahnya, melalui penubuhan MKPN satu pelan pendamai semula akan dirangka bertujuan merapat kembali hubungan antara pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu supaya tumpuan utama iaitu membangunkan negara dapat diberi perhatian sepenuhnya.

Sementara itu, menjawab isu serupa yang dibangkitkan Azmin Ali (PKR-Gombak) dalam soalan tambahan, Najib berkata, pembangkang hanya tahu membuat tuduhan melulu kononnya berlaku penyelewengan semasa pilihan raya tanpa sebarang bukti.

"Kita ada proses bagi membuat bantahan, jangan buat tuduhan melulu seperti dakwaan sebanyak 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi kerana setakat ini belum ada bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan berhubung kecurangan seperti yang didakwa.

"Kalau tidak berpuas hati, kita perlu berpandukan kepada Perlembagaan negara dan inilah yang akan dibawa dalam perdamaian nasional," katanya. – Utusan Online

KD: Apabila PRU-13 selesai, ia bermaksud rakyat telah membuat pilihan kepimpinan yang sewajarnya menerajui negara. Jadi, pemimpin janganlah bertelagah, sebaliknya perlu sama-sama berkhidmat dengan rakyat memakmurkan serta memajukan negara.

KERAJAAN TIDAK TAKUT SLOGAN ‘MALAYSIAN SPRING’

Kerajaan tidak gentar dengan slogan ‘Malaysian Spring’ yang digambarkan sebagai usaha pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan perkataan ‘rakyat’ bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Kerajaan tidak takut kepada perkataan ‘Malaysian Spring’. Asas yang saya tekankan ialah apa-apa tindakan yang dilakukan mestilah berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah perkara pokok,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Namun tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melangkaui batas Perlembagaan Persekutuan. – mStar

KD: Kebebasan bersuara bukan bermaksud boleh menyuarakan pendapat secara sambil lewa atau sesuka hati, sebaliknya ia perlu diiringi tanggungjawab tertentu, dan ia sepatutnya tidak disalah guna..