KUALA LUMPUR -
Barisan Nasional (BN) mengotakan janji untuk melakukan perubahan dalam senarai
calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila menampilkan 33 peratus
muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 49 peratus Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini bermakna,
buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum, BN menampilkan sehingga 73
calon baharu bagi kerusi Parlimen dan 247 muka baharu kerusi DUN selepas
dikejutkan dengan tsunami politik pada 2008 yang menyaksikan parti itu gagal
mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Perubahan
paling ketara di negeri-negeri yang menyaksi BN tewas pada Pilihan Raya Umum
Ke-12 apabila sebahagian besar muka baharu ditampilkan dengan membawa imej
sebagai calon boleh menang, bagi merampas semula kerusi yang terlepas pada
2008.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu menyifatkan
barisan calon kali ini adalah terkuat bagi memenuhi kehendak serta jangkaan
pengundi yang mahu melihat apakah UMNO dan BN sudah bersedia untuk melakukan
perubahan serta pembaharuan.
Beliau yang
menamakan senarai tersebut sebagai 'Pasukan Transformasi BN' juga yakin,
barisan calon kali ini mampu memenuhi aku janji parti, sekali gus membantu
kerajaan BN menjayakan Dasar Transformasi Nasional jika diberi mandat dengan
majoriti yang besar pada 5 Mei nanti.
Pada masa yang
sama, beliau turut memperincikan kriteria calon Parlimen iaitu sehingga 91
peratus calon memiliki kelulusan sekurang-kurangnya diploma dengan 31 peratus
merupakan golongan profesional termasuk dalam kalangan ulama.
Najib yang
juga Pengerusi BN menambah, penentuan senarai calon untuk pilihan raya umum
kali ini adalah satu proses yang panjang kerana melibatkan banyak sesi
perundingan antara parti komponen serta pengerusi-pengerusi BN negeri bagi
disesuaikan dengan sentimen serta jangkaan pengundi.
"Umumnya
saya yakin ini pasukan BN terkuat mampu kita tampilkan. Saya yakin inilah
pasukan yang mampu memenuhi aku janji dan membantu kerajaan menjayakan Dasar
Transformasi Nasional. Saya cuba untuk menampilkan sebanyak mana yang mungkin
dari segi prinsip untuk melakukan inklusif.
"Saya
harap penilaian barisan kita ini dilihat secara menyeluruh. Maknanya bukan
sahaja mereka yang bertanding tetapi kemampuan barisan ini dalam konteks
menubuhkan kerajaan yang ampuh, kuat dan mampu memenuhi kehendak serta jangkaan
rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu,
beliau bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan
tertutup dengan pengerusi-pengerusi BN negeri serta presiden semua parti
komponen sebelum disusuli penyerahan watikah pelantikan senarai calon.
Pada pilihan
raya umum 2008 yang menyaksikan BN kalah di lima buah negeri, parti itu
menampilkan seramai 44 muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 161 calon baharu
kerusi DUN.
Dalam pada
itu, Najib menjelaskan, bagi mereka yang tidak terpilih termasuk dalam kalangan
anggota Kabinet sebelum ini bukan bererti pemimpin berkenaan gagal, bermasalah
atau ada kepincangan tetapi keadaan semasa menuntut perubahan dengan laluan
harus diberi kepada muka-muka baharu.
Jelasnya,
kerajaan BN tetap menghargai apa yang mereka telah lakukan sebelum ini dan
berharap, golongan terbabit terus menyokong parti dengan memberi sokongan sama
ada ketika musim pilihan raya mahu pun selepas berakhirnya pilihan raya kelak
sebagaimana dibuktikan para pemimpin terdahulu.
Ditanya apakah
senarai calon yang diputuskan hari ini sudah muktamad dan tidak akan berlaku
sebarang perubahan sebelum tarikh penamaan calon pada 20 April nanti, Najib
dalam nada tegas berkata, ia adalah senarai calon terakhir dan berharap tidak
akan berlaku suasana yang boleh menyebabkannya berubah.
"Dari
segi undang-undang dan teknikal memang boleh lakukan perubahan tetapi kita
harap inilah senarai calon akhir kita. Kita berusaha menampilkan calon sama ada
dalam kalangan pemimpin sedia ada atau daripada golongan muda secara adil dan
seimbang," katanya.
Sementara itu,
Najib turut mengesahkan terdapat beberapa anggota Kabinet digugurkan daripada
senarai calon tetapi enggan memberi butiran terperinci, sebaliknya meminta
semua pihak bersabar kerana senarai penuh calon akan diumumkan esok. - Utusan
Online
No comments:
Post a Comment