KUALA
TERENGGANU - Lajnah Tatatertib Pas menasihatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk
Mustafa Ali supaya membuat laporan polis terhadap penyebaran video seks yang
didakwa telah menjatuhkan maruah pemimpin tersebut.
Pengerusi
Lajnah, Datuk Wan Mutalib Embong berkata, pihaknya hanya boleh memainkan
peranan dalam isu video seks itu sekiranya menerima aduan atau laporan polis
daripada individu yang terbabit.
Katanya,
Mustafa perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan seterusnya
terutama dari sudut perundangan diambil.
"Beliau
(Mustafa) perlu buat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan, ini
pandangan sayalah. Beliau boleh buat laporan polis antaranya kerana dakwaan
terhadapnya telah menjatuhkan maruahnya.
"Ikut
perundangan dan tatatertib, kalau beliau mendapati telah difitnah, beliau boleh
ambil tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wan Mutalib
menyatakan perkara itu sebagai reaksi kepada kenyataan Timbalan Mursyidul Am
Pas, Datuk Dr. Haron Din agar Lajnah Tatatertib Pas memainkan peranan dalam isu
rakaman video seks berkenaan yang kini tersebar di internet.
Dr. Haron
berkata, lajnah berkenaan yang diketuai Wan Mutalib perlu melihat sekiranya
wajar atau sebaliknya kes tersebut dibawa untuk perhatian kepimpinan tertinggi
parti.
Diminta
mengulas lanjut, Wan Mutalib berkata: "Memang betul, saya sebagai
Pengerusi Lajnah akan bertindak sebagai hakim yang akan menjatuhkan hukuman
tetapi dari segi undang-undang dan tatatertib, kena ada orang yang bawa kes,
barulah boleh bicara.
"Kalau
nak disiplinkan orang, mestilah ada peraturannya. Ada prosedurnya yang perlu
dipatuhi, bermula dengan aduan, siasatan dijalankan dan dipanggil ke
jawatankuasa tatatertib untuk proses selanjutnya sebelum akhirnya, saya yang
akan beritahu arahan (hukuman)."
Wan Mutalib
yang enggan mengulas lanjut berkaitan isu tersebut walau bagaimanapun berkata,
beliau hanya mengetahui tentang video itu setelah disiarkan oleh media. –
Utusan Online
No comments:
Post a Comment