KUALA LUMPUR -
Dengan bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hangat, Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) sekali lagi meminta parti-parti politik yang bertanding
supaya berkempen secara sihat dan mematuhi undang-undang pilihan raya.
Pengerusi SPR,
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin jika ia dilaksanakan, pilihan raya umum
kali ini dapat dijalankan dengan lancar dan dalam keadaan baik.
"Kalau
itu dipatuhi oleh semua pemimpin politik, saya fikir tidak apa jika kempen
panas atau getir tetapi ia sihat...itu sangat penting," katanya pada temu
bual "Dalam Radar" kelolaan Bernama Radio24 di Wisma Bernama di sini.
Sambil
mengingatkan semua pihak bahawa pilihan raya umum diadakan sekali dalam masa
lima tahun, beliau berharap mereka tidak terlalu emosional dan membangkitkan
sentimen semasa kempen.
"Bertandinglah
dengan sihat, ikut peraturan-peraturan jika nak berkempen," katanya.
Rabu lepas,
SPR mengumumkan hari penamaan calon pada Sabtu ini manakala hari pengundian
ditetapkan 5 Mei.
Dalam pada
itu, Abdul Aziz berharap semua pihak berkenaan dapat memberikan kerjasama baik
kepada SPR dan pihak berkuasa pada pilihan raya umum kali ini termasuk tidak
membawa penyokong terlalu ramai pada hari penamaan calon.
"Kita
kena ubah budaya ini. Saya mohon kerjasama sebab di bawah undang-undang, saya
tidak ada kuasa menegah mereka tetapi saya pohon mereka jangan datang terlalu
ramai kerana ia menyusahkan pihak berkuasa dan orang ramai," katanya.
Beliau berkata
perkara itu dibangkitkannya pada 14 perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin parti
politik sebelum ini.
Mengenai
dakwaan segelintir pihak berhubung kertas undi bernombor, beliau berkata
perkara itu tidak berlaku dan menjamin undi adalah 100 peratus rahsia.
Ditanya sama
ada kertas undi boleh dianggap sah jika dakwat kekal tertumpah ke atasnya,
Abdul Aziz berkata jika perkara itu berlaku, pengundi boleh memohon kertas undi
baharu daripada pegawai pilihan raya.
Bagaimanapun,
katanya perkara itu tidak mungkin berlaku kerana dakwat kekal itu boleh kering
di jari dalam tempoh tiga saat. – BERNAMA/Utusan Online
No comments:
Post a Comment