Tuesday, October 16, 2012

IKLAN DI KEDAH: PAS KEDAH BIDAS DAP

ALOR SETAR - Dewan Ulama Pas Kedah membidas sikap DAP yang selalu tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam khususnya hati' ahli-ahli Pas apabila menentang undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri ini.

Setiausaha dewan itu, Syeikh Zainol Asri Ramli berkata, DAP tidak sepatutnya bertindak demikian kerana terdapat perkara yang Pas boleh berpakat dengan DAP dan ada juga perkara yang tidak boleh, dalam pakatan pembangkang.

"Pada saya, kita (Pas) nak jaga sangat DAP tetapi DAP tidak jaga hati kami. Sebenarnya kerjasama dalam pakatan (pembangkang) bersifat longgar dan fleksibel kerana ada benda yang boleh dan ada benda yang tidak boleh kita berpakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lee Guan Aik semalam yang menegaskan DAP tidak sekali-kali akan membenarkan undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri ini termasuk pelaksanaan garis panduan papan iklan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). -UtusanOnline
BANGSAMORO vs MILF: KONFLIK 40 TAHUN BERAKHIR

MANILA - Proses penubuhan entiti baru wilayah autonomi Bangsamoro secara rasmi bermula hari ini apabila Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro dimeterai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Istana Malacanang di sini tepat pukul 3 petang ini.

Detik-detik penuh bersejarah itu yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Benigno Aquino III, merupakan tanda persetujuan kedua-dua pihak untuk menamatkan konflik berdarah lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina itu yang telah meragut lebih 120,000 nyawa.

Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro setebal 13 muka surat itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu mengenai penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.

Mengenai penubuhan entiti baru itu, Bangsamoro akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan ia diharap menjadi realiti menjelang 2016, iaitu sebelum penggal pemerintahan Aquino III berakhir.

Berkaitan kuasa kedua-dua pihak, perjanjian itu antara lain mengakui keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah itu.

Turut menyaksikan upacara itu bagi pihak MILF mewakili penduduk wilayah selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam adalah pengerusinya, Murad Ebrahim.

Perasaan gembira Murad bersama sekumpulan pemimpin dan perwakilan lain MILF yang turut dijemput pada upacara di dalam Dewan Rizal di istana itu dengan sebahagiannya menitiskan air mata kesyukuran, pasti dikongsi penduduk wilayah baru Bangsamoro yang mengimpikan kehidupan lebih selamat, sejahtera dan terbela.

Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Panel Perundingan MILF, Mohagher Iqbal dan rakan sejawatannya daripada pihak kerajaan Filipina, Dean Marvic Leonen. Ia turut ditandatangani sebagai saksi perjanjian oleh fasilitator perundingan dari Malaysia, Datuk Tengku Ab. Ghafar Tengku Mohamed.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet Filipina dan Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu dan Penasihat Presiden bagi Proses Perdamaian, Teresita Quintos-Deles.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya menyatakan komitmen Malaysia untuk membantu selatan Filipina khususnya menawarkan latihan dan pendidikan supaya masa depan anak-anak di Bangsamoro lebih terjamin.

Beliau memberi jaminan kepada keseluruhan rakyat Filipina bahawa Malaysia bersama-sama negara ini ke arah merealisasikan pelaksanaan perjanjian yang dimeterai hari ini.

"Hari ini, sesuatu telah berubah. Hari ini kita akan meninggalkan keganasan dan beralih ke arah masa depan yang baru dan lebih cerah," katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh kira-kira 500 tetamu yang hadir termasuk diplomat asing.

Presiden Aquino III dalam ucapannya selepas itu pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan usaha perundingan sehingga termeterainya perjanjian tersebut termasuk kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi komitmen tinggi. - UtusanOnline


MAS TUKAR WARNA LOGO 


logo baru MAS
Logo Malaysia Airlines (MAS) pada pesawat Airbus A380 yang ditukar kepada warna biru adalah bagi memperingati pelancaran pesawat super jumbo milik MAS itu yang mula beroperasi pada 1 Julai lepas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pesawat-pesawat MAS yang lain masih mengekalkan logo korporat asal dengan warna merah dan biru.

"MAS sedang giat melaksanakan pelan pemulihan syarikat dengan sasaran untuk mencatatkan keuntungan menjelang tahun 2014.

"Antara strateginya adalah untuk menarik semula penumpang melalui penjenamaan semula MAS dan memperkenalkan logo baru eksklusif untuk pesawat Airbus A380 yang merupakan pesawat kemegahan baru," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata MAS bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat mengenai kos penjenamaan semula kerana terikat dengan peruntukan kerahsiaan dalam kontrak berkenaan.

Katanya peruntukan berkenaan merupakan peruntukan standard dalam mana-mana kontrak untuk melindungi kepentingan pihak yang terlibat. - BERNAMA

Monday, October 15, 2012

DAP KEDAH BANTAH IKLAN SOPAN
Iklan produk kosmetik ‘Iffah’ di Kedah

ALOR SETAR - DAP Kedah sekali lagi menegaskan mereka akan menentang undang-undang yang berunsurkan Islam jika ia mahu dilaksanakan di negeri itu.

Pengerusinya, Lee Guan Aik berkata, tindakan itu termasuk dalam soal pelaksanaan garis panduan papan iklan antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam.

Katanya, sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam perlu dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang di peringkat Pusat dan negeri.

"DAP negeri sekali lagi ingin menegaskan dan menjelaskan bahawa kami tidak akan memberi sokongan terhadap undang-undang hudud atau apa sahaja berkaitan isu negara Islam," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Lee Guan Aik 

Guan Aik mengulas kenyataan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mat Noh Ahmad berhubung garis panduan pemasangan papan iklan di kawasannya yang meliputi penggunaan bahasa, landskap dan pakaian model iklan. –UtusanOnline

KD: Agak pelik kenapa dan mengapa DAP beriya benar membantah undang-undang ini? Sedangkan ia hanya mengkhususkan orang Islam. Manakala orang bukan Islam tidak perlu berbuat demikian. Mungkin alasannya, mereka masih tidak jelas dengan hukum-hakam Islam. Namun pada zaman serba proaktif ini semua agama perlu ‘berpengetahuan’ tentang sensitiviti agama lain. Apatah lagi agama Islam adalah agama rasmi negara. Jadi, mahu tidak mahu, mereka perlu ‘ambil tahu’.


KAMERA AES : LOKASI FASA PERTAMA

Pelaksanaan AES akan dilakukan secara berperingkat.
iconAES
Untuk fasa pertama, kamera AES telah dipasang di dua zon, iaitu Zon A dan Zon B. 

Lokasi-lokasi tersebut adalah 'blackspot' yang merupakan lokasi yang sering berlaku kemalangan maut di negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berikut adalah senarai lokasi pemasangan kamera AES tersebut:

[image%255B6%255D.png]

image

Lokasi-lokasi tersebut akan dikemaskini dari masa ke semasa dan masih tertakluk kepada kriteria pemilihan sebagai kawasan 'blackspot'. 


KD: Semoga maklumat ini dapat dijadikan panduan pemandu semua. Memandulah secara berhemah ya!!

SAFECAM PDRM AKAN DIPERLUAS

Program Safe Camera (SafeCam) Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dijalankan untuk mempertingkat tahap keselamatan awam dan mengurangkan kadar jenayah, akan diperluas secara berperingkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bagaimanapun, pihaknya akan melihat keberkesanan program itu terlebih dahulu sebelum memperluaskannya, namun tidak memberi sebarang tempoh masa untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini, ia dilaksanakan di kawasan Iskandar Malaysia (Johor Selatan) dan kita akan lihat keberkesanannya dahulu sebelum diperluas ke negeri lain," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Safecam PDRM dan Penyerahan Geran Persatuan Penduduk Johor Selatan hari ini.

Menerusi program ini, syarikat swasta, agensi kerajaan atau orang ramai yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka boleh menjadi anggota SafeCam PDRM dengan mendaftarkan CCTV mereka dengan pihak polis. – BERNAMA/UtusanOnline

KD: Idea yang bagus dari PDRM.. namun keberkesanannya memerlukan komitmen yang mantap dari pihak PDRM sendiri serta sokongan dari semua pihak..
PERJANJIAN DAMAI FILIPINA-MILF: SEMUA PIHAK TIDAK SABAR KECAPI KEAMANAN

BANDAR COTABATO: Sepanduk yang mengisytiharkan “Perang Bukan Jawapannya” dan “Keamanan Adalah Sebaik-baiknya” diarak di jalan berlekak-lekuk dan berdebu ke Kem Darapanan, ibu pejabat pentadbiran Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Di hadapannya terdapat sekatan jalan oleh tentera bersenjata MLFP di pintu masuk ke kem yang menggantungkan sepanduk warna hijau dengan ayat yang tertera: “Allahu Akhbar… Hidup Lama! Kerajaan Bangsamoro”.

Suasana begitu meriah di kem pada malam Ahad sebelum hari ini (Isnin) yang menyaksikan memeterai perjanjian damai awal antara Kerajaan Filipina dan MILP, apabila masing-masing begitu yakin memperoleh keamanan akan menjadi realiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di Manila pada Ahad, akan menyaksikan majlis menandatangani itu istana presiden Malacanang bersama-sama dengan Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan Ketua MILF, Murad Ibrahim.

Ia akan ditandatangani oleh Ketua Perunding Filipina, Marvic Leonen dan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal.

Istana itu melancarkan permaidani mereah untuk 200 pegawai yang meninggalkan sebuah pesawat yang disewa di sini pada Ahad.

Perjanjian damai itu, yang mendapat bantuan Malaysia, telah membawa harapan baru buat mereka di tanah Moro yang dilanda kemiskinan dan terperangkap dalam konflik bersenjata selama empat dekad.– mStar

KD: Malaysia sebagai negara jiran, mendoakan semoga perjanjian ini dimeterai dengan jayanya. Kehadiran PM kita ke sana untuk menjadi saksi perjanjian damai itu membuktikan Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dalam merealisasikan usaha damai.