Wednesday, January 30, 2013

ADA LAGI PEMIMPIN KANAN PAS DIJANGKA DIPECAT DARI MAJLIS SYURA ULAMA

KUALA TERENGGANU - Seorang pemimpin kanan Pas dijangka dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu, kata bekas pengikut setia parti itu Zainon Ismail.

Katanya beliau difahamkan antara nama yang disebut-sebut berada dalam senarai pemecatan oleh Majlis Syura Ulama Pas ialah Ketua Dewan Ulama parti itu Datuk Harun Taib.

Beliau berkata tidak mustahil perkara itu berlaku selepas bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa digugurkan sebagai ahli majlis itu pada 13 Januari lalu.

"Majlis Syura Ulama Pas adalah badan tertinggi parti itu dan apabila keputusan dibuat oleh majlis itu, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan," kata Zainon yang juga seorang penulis buku dengan nama penanya, C.N.Al-Afghani.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program diskusi 'Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia' yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu berikutan tindak tanduknya yang didakwa boleh merugikan parti itu. – Bernama/Sinar Harian
TANGANI ISU KALIMAH ALLAH DENGAN CERMAT, TITAH TENGKU ABDULLAH

KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah, isu kalimah Allah, yang kini menjadi polemik semasa, perlu ditangani dengan cermat dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan terbuka.

Titah baginda ia perlu dibincang secara tertutup di kalangan ilmuan, ahli agama dan pemimpin politik.

Baginda juga menyeru umat di negara ini supaya berdiri teguh mempertahan kalimah Allah dan kalimah lain yang telah dinyatakan tidak boleh digunakan bukan Islam sama ada di media elektronik dan cetak.

"Pihak lain seharusnya mengambil perhatian serta menghormati sensitiviti agama masing-masing agar kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama tidak tergugat," titah baginda pada majlis pelancaran dan penyerahan dana Tabung Palestin-Gaza di sini, hari ini.

Baginda bertitah, di negeri Pahang, larangan penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, apa-apa bentuk penerbitan sama ada media cetak atau eletronik menggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang boleh mengelirukan atau memesongkan akidah umat Islam telah termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam No. 5 tahun 1989.

"Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 juga mengeluarkan fatwa bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda. - Bernama /Sinar Harian

Tuesday, January 29, 2013

LUCUT NASHARUDIN: PAS UTAMAKAN POLITIK - MAHATHIR

Mahathir bin MohamadKUALA LUMPUR - Pas perlu melihat penyertaan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa ke Gaza sebagai model kerjasama antara kerajaan dan pembangkang sebagaimana harapan melihat kerjasama antara Hamas dan Fatah, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas tidak seharusnya mengutamakan politik sehingga mengambil keputusan memecat Nasarudin, yang juga Anggota Parlimen Bachok, daripada Majlis Syura Pas.

Katanya ia seharusnya dijadikan model kerjasama untuk orang melihat umat Islam Malaysia walaupun pembangkang tetapi boleh bekerjasama dengan kerajaan demi membawa mesej keamanan sejagat.

"Sebaliknya Pas tak suka lihat ada orang Pas bekerjasama dengan BN (Barisan Nasional) untuk jadi contoh dua pihak (Fatah dan Hamas)...kalau kita sendiri tak boleh berdamai macam mana kita nak suruh orang berdamai," katanya.

Ditanya jika Nasharudin perlu mengubah platform perjuangan iaitu keluar daripada Pas, Mahathir berkata: "Itu terpulang kepada dia."- Bernama/Sinar Harian
ISU NASHA: 'TINDAKAN MAJLIS SYURA PAS SUDAH DIJANGKA' - PENGANALISIS

SHAH ALAM – Penganalis politik berpendapat keputusan Majlis Syura Pas menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai satu keputusan yang tepat, namun agak kelewatan.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jayum Jawan berkata, kemungkinan Majlis Syura sudah tidak nampak sebarang jalan lalu mengambil langkah untuk memecat Nasharuddin sebagai jalan terbaik.

"Mana-mana parti politik di Malaysia pun, kalau mempunyai ahli yang sudah tidak lagi sealiran, mereka pastinya tidak mempunyai pilihan lain selain menyingkirkan ahlinya itu.

"Cuma dalam hal ini, Majlis Syura bertindak lewat, itu sahaja dan keputusan itu juga sudah boleh dijangkakan malah tidaklah mengejutkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Sementara itu, sambil menyifatkankan tindakan Majlis Syura adalah wajar, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tindakan Nasharudin kebelakangan ini menampakkan beliau sudah hilang yakin terhadap perjuangan Pas.

“Apa yang berlaku adalah mudah untuk memahaminya. Beliau tidak lagi komited dengan tugasya sebagai ahli majlis, malahan tindakan beliau mengikuti beberapa rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  juga tidak seharusnya berlaku.

“Tindakan Nasharudin menampakkan ketidakselarian dengan prinsip Pas hingga menyebabkan beliau digugurkan,” katanya.

Mengulas perkara sama, itu, Prof Madya Dr Ismail Sualman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpendapat, langkah yang diambil Majlis Syura "ibarat habis madu sepah dibuang."

Katanya, semasa masih memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas, semua orang menyanjungi beliau, sebaliknya ketika mengambil keputusan untuk menggugurkan beliau, Majlis Syura hanya melaporkan perkara itu melalui media rasmi Pas sahaja.

“Tindakan itu tidak berhemah dalam politik dan juga sahsiah. Kalau pengguguran itu dibuat kerana Nasharudin gagal hadir mesyuarat, kenapa tidak dedah siapa lagi ahli majlis yang tidak hadir mesyuarat?

“Mengapa apabila kepimpinan tertinggi parti itu seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bertentangan Majlis Syura seperti isu kalimah ALLAH, mereka tidak digugurkan?” katanya lagi.

Ketika mengulas mengenai implikasi keputusan Majlis Syura yang dibuat ketika menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Jayum berpendapat, kemungkinan besar ia akan menjejaskan parti itu memandangkan Nasharudin masih mempunyai penyokong terutamanya di kawasan yang diwakilinya.

“Menjelang PRU yang amat dekat ini, kebanyakan pengundi sama ada penyokong Barisan nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) mereka sudah buat keputusan cuma yang tinggal lagi hanya pengundi atas pagar.

“Keputusan Majlis Syura itu mungkin akan mempengaruhi tetapi saya tidak lihat ia mampu memberikan impak yang besar,” jelas beliau.

Ahmad Atory beranggapan keputusan Majlis Syura itu dikhuatiri akan menyebabkan pengikut Nasahrudin mungkin akan bersikap agak longgar terhadap perjuangan Pas.

Malah katanya, banyak isu-isu yang melibatkan Pas yang tidak dapat dijawab dan diselesaikan dengan baik kebelakangan ini terutamanya isu-isu berkaitan kalimah ALLAH.

“Pas juga dilihat sedang berhadapan dengan kemelut dalaman terutamanya yang disebabkan oleh beberapa isu dan pemimpin seperti Nasharudin yang sudah tidak dipedulikan oleh parti.

“Perkara ini boleh jejaskan kesepaduan dan kempen-kempen pilihan raya yang sudah direncanakan,” katanya. –Sinar Harian
ISU NASHA: PAS YAKIN TIDAK TERJEJAS

 Nasharudin Mat IsaSHAH ALAM - Keputusan Majlis Syura Pas menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari menganggotai badan tertinggi parti itu dilihat tidak akan memberi kesan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan ManKetua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan Majlis Syura adalah mengikut prosedur dan semua pihak telah maklum mengenai perkara itu.

"Ini adalah prosedur biasa, semua orang maklum mengenainya dan tindakan yang dikenakan pun berikutan beberapa peraturan yang dilanggar oleh beliau (Nasharuddin)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Majlis Syura Pas hari ini mengesahkan telah menggugurkan keanggotaan Nasharuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok yang pernah disebut akan diambil tindakan disiplin tahun lalu, atas alasan telah melanggar beberapa peraturan badan tertinggi itu.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin  didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

“Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya.

“Surat mengenai perlucutan Nasharuddin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat itu,” katanya.

Nasharudin kini hanya sebagai ahli biasa Pas tanpa sebarang jawatan.

Sebelum ini beliau pernah digugurkan sebagai ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat.

Mengulas lanjut keputusan Majlis Syura itu, Tuan Ibrahim menegaskan, tindakan pengguguran itu diambil selepas mendapati Nasharudin gagal memberikan komitmen terhadap tugasnya sebagai anggota Majlis Syura.

Katanya, disebabkan kegagalan Nasharudin menjalankan tugas beliau maka Pas akan menggantikan tempat beliau kepada calon yang lebih komited dan layak.

"Siapa calon penggantinya itu biarlah Majlis Syura yang tentukan pada mesyuarat yang akan datang dan akan diumumkan sendiri oleh Mursyidul Am Pas... tunggulah," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan Nasharudin tersenarai lagi untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok pada pilihan raya akan datang,  Tuan Ibrahim juga enggan ulas lanjut.

"Maaf ya, saya tidak dapat komen sama ada beliau akan terus disenarai atau tidak.

"Keputusan mengenai calon, semuanya bergantung kepada Presiden Pas," jelas beliau lagi. - Sinar Harian

ISU NASHA: MAJLIS SYURA PAS BUAT KEPUTUSAN TEPAT

SHAH ALAM - Majlis Syura Pas telah membuat keputusan tepat apabila menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari menganggotai badan tertinggi parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Majlis Syura tahu apa yang pihaknya putuskan kerana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan alasan kukuh selepas membuat kajian menyeluruh.

“Majlis Syura sudah membuat kajian dan tahu mengapa Nasharudin perlu dilucutkan. Justeru keputusan pengguguran ini sangat wajar. Semua pihak perlu menerimanya dengan terbuka,” katanya.

Ketika ditanya adakah di sebalik keputusan ini Pas melabel Nasharudin sebagai duri dalam daging dan membahayakan parti, beliau enggan memberikan komen lanjut. 

“Saya tidak mahu komen hal itulah.  Apa yang pasti pengguguran Nasharudin ini tidak akan menggugat parti.

“Bahkan Insya-ALLAH tidak akan mengganggu persediaan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti,” tegas beliau.

Semalam, Majlis Syura Pas mengesahkan  menggugurkan keanggotaan Nasharudin yang juga  Ahli Parlimen Bachok kerana didakwa telah melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

Keputusan mengenainya dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan surat mengenai perlucutan Nasharudin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat tersebut.

Justeru Nasharudin kini hanya sebagai ahli biasa Pas tanpa sebarang jawatan. Sebelum ini beliau pernah digugurkan sebagai ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat..- Sinar Harian