Thursday, May 2, 2013

PRU13: JANJI TURUN MINYAK 'DRAMA' ANWAR - NAJIB

KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan janji pakatan pembangkang menurunkan segera harga minyak merupakan mainan 'drama' ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, semua pihak termasuk Anwar sendiri tahu janji itu sukar untuk dilaksanakan.

Beliau seterusnya memberikan contoh Indonesia yang merupakan antara pengeluar terbesar minyak, kini memutuskan untuk menaikkan harga bahan bakar itu bagi mengelak menganggung subsidi yang lebih besar.

"Dia ingat senang nak turunkan harga minyak, elektrik, air dan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta tol. Kalau senang, kenapa negara lain tak buat?

"Ketika negara-negara lain berdepan dengan kegawatan ekonomi, keadaan di negara kita masih tetap memberangsangkan." - UTUSAN ONLINE
PRU13: RAKYAT PULAU PINANG  JANGAN TERPEDAYA CALON MELAYU DAP

PULAU PINANG - Rakyat di negeri ini terutama pengundi di kawasan Bukit Bendera diingatkan supaya tidak terpedaya dengan calon Melayu tunggal DAP Pulau Pinang yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, rakyat yang akan turun sebagai pengundi pada Ahad ini perlu menilai kredibiliti calon berkenaan agar tidak menyesal di kemudian hari.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan kelangsungan bangsa, agama dan negara dapat terus dipertahankan.

"Tuan-tuan jangan mudah terpedaya dengan calon Melayu mereka ini, Zaril Khir Johari yang akan bertanding di Parlimen Bukit Bendera.

"Kalau dia di datang masuk kampung untuk berkempen, tanya apa pendirian dia terhadap isu Kalimah Allah.

"Berani atau tidak beliau menyatakan pendiriannya terhadap isu ini. Dari situ nilailah sendiri perjuangan Zairil. Isu kalimah Allah ini penting kerana berkait dengan akidah kita," katanya ketika berucap dalam ceramah di Bagan Jermal di sini malam tadi.

Dalam ceramah berkenaan, Shaik Hussein turut mengingatkan rakyat agar tampil meminta penjelasan daripada calon pembangkang terhadap beberapa isu lain yang tidak diperjelaskan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga hari ini.

"Tanya pasal isu Bayan Mutiara, mana pergi keuntungan kerajaan negeri jual tanah berkenaan? Tanya pasal isu penjualan tanah Taman Manggis dan pembinaan terowong dasar laut.

"Minta mereka jelaskan mengenai pemberian tanah 44.5 hektar di Tanjung Pinang kepada syarikat terlibat dalam projek terowong ini. Mengapa perlu ada tol sedangkan kerajaan negeri menyerahkan tanah rakyat kepada syarikat terlibat dan mana janji mereka untuk menghapuskan tol?" soalnya. - UTUSAN ONLINE
PRU13:  GERAKAN SECARA HALUS TOLAK CALON PAS OLEH DAP
SEREMBAN - Pas sebenarnya sedang ditolak oleh ahli-ahli DAP, namun usaha itu dijalankan secara halus dan tanpa disedari dalam meneruskan misi mereka menakluki Putrajaya.
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass berkata, walaupun setakat ini hanya Pengerusinya, Karpal Singh yang menolak secara terang-terangan ideologi Pas, perkara yang sama juga dipercayai berlaku dalam kalangan ahli.

''Jangan terperanjat jika ada pengundi yang menyokong DAP menolak calon Pas pada pilihan raya umum kali ini kerana mereka tidak yakin dengan Pas. Malah ada juga calon Pas ini nanti akan kalah kerana ketiadaan sokongan pengundi.

''Kalau Karpal Singh sendiri sudah menolak ideologi Pas dengan menyatakan langkah mayatnya terlebih dahulu secara terang-terangan, saya rasa ada juga kalangan ahli yang menolaknya tetapi dilakukan secara halus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung gerakan peraih undi DAP yang menerapkan sentimen anti-Pas kepada pengundi dan menolak calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Ditanya mengapa gerakan itu dilakukan secara halus, David Dass menjelaskan, langkah itu bagi menjaga hati kepimpinan Pas yang kini berada dalam komponen pakatan pembangkang demi melihat UMNO dan Barisan Nasional tumbang.

Malah katanya, penolakan Pas oleh para pengundi DAP dibuat memandangkan parti itu gagal dalam menjelaskan beberapa isu pokok dalam pakatan pembangkang termasuk berkaitan usaha melaksanakan negara Islam dan hukum hudud.

''Ramai yang meragui pelaksanaan negara Islam dan hudud Pas. Kita tidak nampak pun usaha parti itu dalam menerangkan ideologinya kerana mereka lebih mengutamakan kuasa untuk ke Putrajaya. –UTUSAN ONLINE
PRU13:  JANGAN BIAR PAS MENANG BESAR - PEMIMPIN DAP

KUALA LUMPUR - Tindakan Pas memainkan semula isu negara Islam dalam usaha menarik sokongan pengundi Melayu, menyebabkan semakin ramai pemimpin DAP tampil membantah parti tersebut.

Selepas mendapat kritikan daripada pemimpin tertinggi DAP, ketua-ketua cawangan parti itu turut menyertai bantahan tersebut dan terbaharu, Naib Pengerusi Cawangan DAP Taman Ehsan, L.P. Selvam pula berkata, semua calon Pas perlu ditolak kerana dikhuatiri akan menyekat kebebasan bukan Islam di negara ini.

"Pas sebenarnya hanya berminat bekerjasama dengan DAP bagi mendapatkan undi orang Cina dan India sahaja.

''Jika mereka menang besar, Pas akan meneruskan rancangannya untuk melaksanakan negara Islam dan bagaimana nasib kami yang bukan Islam, sudah terlalu banyak polisi yang bertentangan telah dilaksanakan oleh Pas sejak 2008,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap pengundi supaya menentang dan memboikot calon Pas dan tidak membenarkan mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau mengulas gesaan beberapa pemimpin DAP sejak beberapa hari lalu yang mahu pengundi bukan Islam menolak Pas memandangkan parti itu dilihat tidak konsisten dalam pendirian melaksanakan hukum hudud.

Menurut Selvam, walaupun niat pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya tidak akan kesampaian berikutan krisis itu, beliau tidak mahu pengundi bukan Islam memperjudikan masa depan negara demi mengubah kerajaan.

"Memang niat kita untuk menubuhkan kerajaan baharu, namun jika Pas tetap berdegil dengan agenda Islam mereka, kita tidak perlukan parti itu," jelasnya yang bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah.

Tambahnya, pemimpin tertinggi dalam DAP juga 'hipokrit' kerana masih bekerjasama dengan Pas.

"Pimpinan tertinggi DAP yang membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas sangat mementingkan diri sendiri walaupun tahu pendirian Pas yang tetap berdegil dengan agenda mereka.

"Ramai akar umbi dan penyokong kecewa dengan sikap pimpinan tertinggi DAP dan sampai bila-bila pun kami tidak akan menyokong sebarang agenda Pas, saya sendiri berkempen menceritakan tentang bahaya jika mengundi Pas," ujarnya.

Sementara itu, pengasas cawangan DAP Pelabuhan Klang dan Pandamaran, A.Deliganu berkata, usaha menubuhkan negara Islam Pas tidak akan tercapai.

"DAP tidak akan sesekali tunduk kepada permintaan Pas. Kita hidup dalam negara sekular, tindakan bagi melaksanakan hukum hudud Pas dan penubuhan negara Islam langsung tidak boleh diterima pakai.

"Pas harus lebih sensitif dengan perasaan pengundi yang bukan Islam, jika mahu sepakat dalam menawan Putrajaya, jangan ikut 'kepala' masing-masing," katanya. –UTUSAN ONLINE
PRU13: RAKYAT TERENGGANU USAH KEMBALI KE ERA KEGELAPAN

KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Terengganu supaya membuat keputusan tepat ketika mengundi Ahad ini bagi memastikan negeri ini tidak kembali ke era kegelapan.

Menurut Perdana Menteri, rakyat Terengganu sudah melalui suasana tidak menentu semasa sepenggal di bawah pemerintahan Pas dan tidak sepatutnya membiarkan situasi itu berulang.

Memetik slogan calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, 'Masihkah Kau Ingat', Najib mengimbas bagaimana celarunya keadaan ketika itu yang menyaksikan Pas bertindak menutup tadika dan gagal menguruskan sampah-sarap.

"Ada pula janji, apabila menang, sebaik sahaja ayam berkokok terus mahu laksanakan hukum hudud, tetapi mana janji dan ayam itu sekarang," katanya ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012 di Kampung Bukit Wan, di sini hari ini.

Najib berkata, rakyat Terengganu perlu memastikan negeri ini kekal di bawah Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi mandat yang kuat kepada BN di peringkat nasional.

"Pakatan pembangkang hanya pakatan politik semata-mata tanpa perjuangan dan ideologi yang selari, malah Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sudah mengaku dia bukan setuju dengan Lim Kit Siang atau PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi kerana politik sahaja," katanya.

Sementara itu, katanya, apa yang dilakukan kerajaan BN sarat dengan program kebajikan untuk rakyat dan tidak perlu melaungkan negara berkebajikan seperti Pas.

Dalam pada itu, Najib yakin masyarakat luar bandar akan terus memberi sokongan padu kepada BN untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Malah, beliau merasakan sokongan itu terus meningkat dengan kesedaran bahawa kesejahteraan hidup yang dikecapi selama ini ditunjangi oleh dasar pemerintahan BN.

"Saya lihat ada dua sebab mengapa angin perubahan luar bandar menjurus kepada BN. Pertama, mereka yakin kalau mahu masa depan yang lebih baik tidak boleh bergantung kepada pembangkang.

"Faktor kedua pula, mereka kecewa dengan pembangkang. Lihat sahaja apa sudah jadi dengan Kelantan yang diperintah pembangkang selama 22 tahun, Kedah dan Selangor lima tahun," katanya.

Najib juga menegaskan aku janji BN merupakan satu perjanjian dengan ikatan kepada Allah dan rakyat yang jika gagal dilaksanakan, pemimpin perlu menanggungnya kelak.

"Memang berat kita sebut aku janji kerana sebagai seorang Islam, jika tidak tunaikan janji, kita berdosa tetapi saya tetap mahu guna 'aku janji' berbanding manifesto kerana tindakan pembangkang yang mendakwa manifesto bukan satu janji.

"Ini adalah amanah, jadi, saya sebagai pemimpin berani angkat manifesto sebagai janji kerana kita yakin kita boleh buat," ujarnya. –UTUSAN ONLINE