Tuesday, September 4, 2012

KERAJAAN MALAYSIA TIDAK TERLIBAT PENGIBARAN JALUR GEMILANG PEMBERONTAK DI THAILAND

BANGKOK: Kerajaan Malaysia tidak terlibat apabila pemberontak mengibarkan Jalur Gemilang di selatan Thailand pada Jumaat lepas.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Jen Pol Wichien Potposri hari ini berkata kerajaan Malaysia bukanlah pihak bertanggungjawab di sebalik aktiviti mengibarkan bendera negara berkenaan.

"Thailand dan Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dan kerjasama yang sangat akrab dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di sini.

Jalur Gemilang dikibar dengan banyak di Pattani, Yala dan Narathiwat pada Jumaat lepas, serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.

Bendera itu turut kelihatan dipasang di pokok dan tiang lampu selain dibawa oleh beberapa lelaki.

THAILAND-MALAYSIA 2 (AKHIR) BANGKOKSebab pemberontak mengibarkan bendera Malaysia di ketiga-tiga wilayah di selatan itu masih samar.

Jen Pol Wichien berkata tidak menjadi kesalahan untuk orang ramai membawa masuk bendera Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Komander 4th Army Mej Jen Udomchai Thammasaorath percaya motif pemberontak adalah untuk mewujudkan perselisihan faham antara Thailand dan Malaysia.

"Kami mempunyai hubungan yang sangat mesra. Apa jua yang berlaku tidak akan mewujudkan perselisihan faham antara kedua-dua negara," katanya.

Terdapat lebih 100 serangan dilancarkan di ketiga-tiga wilayah itu Jumaat lepas dengan kes terburuk membabitkan sebuah gedung perniagaan di Narathiwat yang dibom dengan kerugian dianggar berjumlah 60 juta Baht (kira-kira RM6 juta).

Ini kali ke-17 gedung perniagaan itu dibom dalam tempoh tujuh tahun dan serangan terbaru ini adalah yang terburuk.

Serangan bersepadu itu yang dijalankan di tiga wilayah itu dipercayai sempena sambutan ulang tahun Barisan Bersatu bagi Kemerdekaan Pattani (Bersatu).

Bersatu ditubuhkan pada 31 Ogos, 1989 oleh kumpulan pemberontak serpihan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo), Barisan Revolusi National Melayu Pattani (BRN), Barisan National Pember-Basan Pattani (BNPP) dan Mujahadeen Pattani. -BERNAMA/MStar
ISU PIJAK GAMBAR PM: PIMPINAN PKR PERLU DIDIK AMK AGAR LEBIH BERADAB -ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mendidik sayap Pemudanya agar lebih beradab terhadap pemimpin negara.

Sambil menyifatkan tindakan memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipercayai didalangi oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai biadap, Zahid berkata perbuatan itu tidak sesuai dilakukan terhadap pimpinan tertinggi negara meskipun mereka mempunyai ideologi politik yang berbeza.

"Biarpun berbeza agama dan organisasi politik kita tak boleh hina, termasuk pijak walaupun gambar (Najib) sebab ia merupakan simbol kepada pemimpin kita. "Saya rasa kepimpinan tertinggi PKR perlu menasihatkan AMK supaya lebih beradab dalam berpolitik, sebab di negara ini kita tidak mengamalkan budaya sedemikian," katanya ketika diminta mengulas insiden berkenaan pada malam ambang merdeka di Dataran Merdeka Khamis lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan bersama kira-kira 60 pengamal media ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan di sini, Isnin.

Dalam pada itu beliau berkata rakyat terutama golongan muda patut menilai setiap tindakan yang dilakukan pihak pembangkang sebelum memilih mereka sebagai pemerintah.

Pembangkang, katanya, selain mengajar rakyat menghina pemimpin, mereka juga sering dilihat tidak bersatu dalam banyak tindakan yang mereka lakukan.

Ini dapat dilihat apabila PAS sendiri tidak menyokong insiden malam ambang merdeka itu yang disifatkan tidak menepati budaya dan tatasusila rakyat negara ini yang sopan santun dan menghormati pemimpin.

"Kita tahu kejadian berkenaan turut tidak dilakukan PAS, malah DAP juga mungkin memberikan reaksi yang berbeza...banyak perkara yang tidak disepakati bersama sebab kita tahu pakatan mereka ini ibarat perkahwinan muta'ah, iaitu pakatan yang sementara.

"Justeru golongan muda perlu sedar akan hal ini dan lihat siapa yang lebih beradab dalam menguruskan politik negara ini," katanya.

Zahid dan para pengamal media pada lawatan selama enam jam itu turut dipertontonkan dengan aksi terjunan pasukan khas udara (PASKAU) dari ketinggian 10,000 kaki dan simulasi operasi menyelamat pesawat yang dirampas oleh pengganas. -BERNAMA
TUKAR BENDERA BUKAN KERJA AMK?

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak bertanggungjawab terhadap dakwaan cubaan menukar dan menghina Jalur Gemilang semasa ambang Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya mana-mana pihak mahu mengibar bendera merah putih yang dinamakan Sang Saka Bangsa sebagai ekspresi perkembangan sejarah negara.

"Bendera itu direka oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Mohd Najwan Halimi pada 2007, ketika itu dia belum menyertai PKR. Jadi apa yang dilakukan pada tahun itu tak harus dikaitkan dengan PKR.

"Saya percaya itu adalah pandangan dan manifestasi beliau sebagai seorang anak muda yang ingin membuat penilaian sejarah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Mengulas mengenai pendirian sebenar sayap PKR itu, Shamsul dengan tegas menyatakan cadangan untuk menukar bendera bukan menjadi agenda mereka.

"Apa yang penting pendirian kita jelas, kita tidak akan tukar bendera. Tapi kalau nak kibar...kita tak ada masalah.

"Kita tak boleh halang ekspresi mereka kerana apa yang dilakukan hanya berlandaskan sejarah," katanya.

Pada 30 Ogos lalu negara dikejutkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa peserta Janji Demokrasi yang mengibarkan bendera yang didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang sekiranya pembangkang berkuasa.

Selain dikibarkan di khalayak ramai, beberapa riasalah juga diedarkan semasa sambutan ambang merdeka itu yang mengajak rakyat untuk mengatakan 'tidak' kepada Jalur Gemilang dan menyokong bender merah putih itu.

Ketika ditanya mengenai penyebaran risalah berkenaan, Shamsul bagaimanapun berdolak dalik mengenai kewujudan risalah yang turut mengandungi logo merdeka pembangkang dengan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

"Saya tak dapat salinan (risalah). Kalau ada boleh tunjuk. Saya tak tahu ada risalah yang dibuat. Apa yang saya tahu hanya gambar, bukannya risalah," katanya.

Ditanya mengenai tindakan polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat tindakan menghina Jalur Gemilang, Shamsul berkata: "Tak ada asas untuk tahan mereka.

"Kami menyokong kumpulan orang muda yang berani untuk menyatakan pendirian dan pendapat mereka berdasarkan asas sejarah yang kukuh, jangan serang mereka dengan ugutan." -MStar

Monday, September 3, 2012

NIK AZIZ KUTUK TINDAKAN BIADAB MEMIJAK GAMBAR PM

KOTA BHARU 2 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengutuk perbuatan biadab peserta Himpunan Janji Bersih yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau dengan nada marah berkata perbuatan memalukan itu bertentangan dengan amalan Islam dan budaya Melayu serta individu-individu terbabit sebenarnya telah dirasuk 'pelesit'.

Nik Abdul Aziz turut meluahkan kekecewaannya dengan tindakan peserta perhimpunan itu yang mahu menukar Jalur Gemilang kerana ia sudah diterima masyarakat antarabangsa.

"Kerja ini bukan kerja orang Melayu dan bukan kerja orang Islam tetapi benda lain yang sudah dimasuki pelesit. Ini sangat-sangat dukacita dan memalukan.

"Kalau orang bukan Islam buat lainlah ini gambar tu (gambar yang disiarkan media dan internet) nampak Melayu. Kita orang Islam diajar kita jangan buat benda yang kalau orang lain buat pada kita, kita marah maka ini tidak patut berlaku," tegas beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Tindakan tidak bertamadun itu dilakukan pada penganjuran perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu sempena sambutan ambang merdeka.

Aksi tidak senonoh individu-individu berkenaan kini tersebar luas di laman sesawang dan mengundang kemarahan orang ramai malah pelbagai pihak mendesak pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Dalam perhimpunan tersebut, mereka turut menuntut untuk menukar Jalur Gemilang dan ramai daripada peserta mengibar bendera berwarna merah putih seakan-akan bendera Singapura.

Sambil melahirkan rasa dukacitanya, Nik Abdul Aziz berkata, untuk menggantikan bendera bukan mudah.

''Ia perlu dibincang bertahun-tahun. Apa tujuan kita mahu tukar bendera yang sudah diterima masyarakat dunia dan tidak ada cacat pun. Saya dukacita sangat benda ini berlaku," katanya.
ISU TUKAR JALUR GEMILANG, PIJAK GAMBAR PM

Gambar Najib kena pijak
SUNGAI PETANI - Kementerian Dalam Negeri akan bertindak tegas dan menyegerakan proses undang-undang terhadap pelaku tindakan biadap melakukan provokasi mahu menukar Jalur Gemilang, memijak gambar Perdana Menteri serta memaki hamun pemimpin negara pada satu perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
  
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mahu dalang dan 'desperado' atau golongan terdesak politik ini dihadapkan ke muka pengadilan kerana kepentingan rakyat yang majoritinya mahu melihat mereka diadili mengikut peraturan dan undang-undang yang ada.
    
Risalah yang diedarkan semasa himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka kelmarin."Rakyat kebanyakannya kini sudah jemu dan meluat dengan tindakan desperado politik ini yang sudah merasa mereka akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lantas bertindak dan mencipta isu membangkitkan kebencian rakyat terhadap pemimpin kerajaan kini," katanya.
  
Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Merbok yang dihadiri kira-kira 300 perwakilan di Dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini hari ini.
  
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata polis sedang giat menjalankan siasatan dan pihak Peguam Negara pula akan mendakwa jika terdapat bukti kukuh mereka yang terlibat.

Katanya pihak pembangkang sering menuding jari menjadikan Umno sebagai kambing hitam segala aktiviti liar tetapi pembangkang akan menyaksikan kebenaran setelah siasatan selesai dijalankan.
  
" Kita tidak akan bertolak ansur dengan kerja-kerja negatif yang cuba menyemarakkan semangat bencikan pemimpin kerajaan yang selamanya dijadikan bahan cercaan," katanya.
  
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pihak berkuasa Malaysia bekerjasama dengan pihak keselamatan Thailand bagi memantau aktiviti pihak pemisah di sana yang dikatakan memacak Jalur Gemilang pada lokasi-lakosi selepas pengeboman dilakukan di Selatan Thailand baru-baru ini.
  
Beliau berkata Kementerian Luar juga turut memainkan peranannya dalam menangani isu sama. - Bernama

PRU-13 NOVEMBER?
PM beri petunjuk PRU November


SANDAKAN: Angka 11 kini menjadi nombor yang bermain di fikiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terutamanya apabila beliau seolah-oleh membayangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berkemungkinan diadakan pada November depan.

Walaupun tidak memberikan gambaran tepat, Perdana Menteri berkata tahun ini dilihat unik apabila angka 11 mempunyai hubungkait bagi beberapa sambutan atau perayaan besar dalam negara.

Menurut Najib Umno berusia 66 tahun tahun ini, Malaysia meraikan sambutan kemerdekaan ke-55 dan Umno Sabah berusia 22 tahun.

Jelas beliau nombor-nombor berkenaan boleh dikaitkan dengan 11 jika didarabkan.

"Enam darab 11 bersamaan 66, lima darab 11 bersamaan dengan dan 2 darab 11 bersamaan 22. Faktor angka 11 muncul dalam semua perkara, ia adalah unik dan baik," kata kepada penyokong parti namun tidak menjelaskan sama ada beliau sedang mencari tarikh yang sesuai pada bulan November untuk mengadakan pilihan raya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis perasmian bersama lima bahagian Umno Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi, Beluran dan Libaran di sini pada Ahad.e