Wednesday, January 9, 2013

HIMPUNAN SHAMSIDAR atau HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT?
     
     atau     

KD agak keliru dengan tajuk himpunan yang bakal diadakan pakatan pembangkang pada hari Sabtu ini? Berdasarkan pemantauan laporan berita sebelum ini, kebanyakannya tajuk yang diguna pakai ialah “Himpunan Kebangkitan Rakyat” tetapi ada juga blog/akhbar menggunakan “Himpunan Shamsidar”. Apakah tajuknya himpunan ini sebenarnya?

Berikut merupakan beberapa petikan laporan dari akhbar Utusan Online:
Himpunan Shamsidar bersifat peribadi - Muhyiddin
SEREMBAN 8 Jan. - Himpunan Shamsidar pada Sabtu ini lebih bersifat peribadi dan bukan soal nasional mahupun kepentingan parti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, perhimpunan itu mempunyai muslihat bagi melindungi pemimpin pembangkang yang mungkin berasa takut terhadap apa yang bakal berlaku di mahkamah.
"Saya tidak mahu membuat andaian, tetapi mungkin sebab itu maka mereka hendak mengheret seramai mungkin ahli mereka dan rakyat jelata berhimpun untuk tujuan tersebut,'' kata beliau.
Nasharudin minta orang ramai jangan hadir Himpunan Shamsidar
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meminta orang ramai tidak hadir pada Himpunan Shamsidar yang dijadual diadakan Sabtu ini.
Menurutnya, isu melibatkan Shamsidar Taharin itu tiada kaitan dengan negara atau kepentingan awam sebaliknya lebih bersifat peribadi.
 "Orang ramai tidak payah hadir. Ini bukan isu negara, bukan kepentingan awam tetapi lebih bersifat kepentingan peribadi.
"Oleh yang demikian biarlah pihak berkenaan sahaja yang menyelesaikan isu tersebut," katanya.
Himpunan Shamsidar bercanggah dengan Islam - Ismail Mina
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Umat Islam diseru mengelakkan diri daripada terlibat dengan Himpunan Shamsidar yang dijadualkan Sabtu ini, kerana matlamat perhimpunan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, perhimpunan berkenaan bercanggah dengan akhlak agama kerana matlamatnya hanya untuk menutup perbuatan mungkar seorang individu.
"Sekiranya ada perkara yang berkaitan isteri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali iaitu Shamsidar Taharin, perkara itu perlu diselesaikan melalui proses di mahkamah, bukan di jalanan.
"Daripada perspektif Islam, Himpunan Shamsidar bercanggah dengan akhlak agama seperti yang dilakukan golongan Khawarij yang mahu menobatkan pemikiran mereka melalui proses yang tidak Islamik," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Mina menjelaskan, rakyat terutama umat Islam perlu menyedari hakikat perhimpunan berkenaan adalah sebahagian daripada misi politik sempit pembangkang bagi memanipulasi pemikiran rakyat.
"Melalui satu proses tidak Islamik, pembangkang bertindak melanggar semua norma demokrasi demi memperjuangkan isu peribadi individu berkepentingan dalam pakatan mereka. Saya juga fikir program yang akan dibuat nanti tidak relevan dengan isu politik semasa," ujarnya.
KD:  Tajuk sudah mengelirukan. Jangan pula motif himpunan itu juga mengelirukan rakyat seterusnya mempunyai agenda tersirat.

BUKAN ISLAM BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH: KEPUTUSAN PR BERTENTANGAN BUKU JINGGA

GEORGETOWN - Keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian seolah-olah mengetepikan Perlembagaan Negara dan tidak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mohamed HafizBekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, keputusan yang diumumkan pimpinan PR itu juga jelas bertentangan dengan Buku Jingga yang dicipta mereka sendiri sebelum ini yang kononnya mahu mempertahankan Perlembagaan Negara.

Beliau yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) berkata, jika PR terus dengan pendirian yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara, kesemua parti dalam gabungan PR tidak layak berpolitik dan terus berada di negara ini.

“Keputusan Majlis Pimpinan PR juga tidak menghormati Majlis Muzakarah Kebangsaan selain ia dilihat menganjurkan perpecahan antara kaum dalam negara ini.

“Bagi kami, ahli PR di peringkat akar umbi melihat keputusan yang dibuat menunjukkan pakatan itu angkuh dan sombong kerana mereka hanya memikirkan pendapat dan pandangan sendiri untuk memenangi hati orang Kristian bagi kemenangan pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohamed Hafiz berkata, pihaknya masih menunggu jawapan dan pendirian Majlis Syura Ulama Pas berkenaan isu ini.

Beliau percaya, keputusan yang dibuat pimpinan PR itu tidak dipersetujui sepenuhnya penganut agama Kristian dan isu kalimah ALLAH sengaja dibangkitkan oleh DAP yang tidak mewakili masyarakat Kristian keseluruhannya.

“Kita tidak tahu apakah agenda DAP terutama Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang cuba memperalatkan isu agama dalam politik PR.

“Kerana mahu menagih undi daripada orang Kristian, mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.

 itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata, keputusan yang dibuat pimpinan PR itu hanya untuk kepentingan politik semata-mata.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang berkata, isu penggunaan kalimah ALLAH tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana penggunaan perkataan itu jelas hanya untuk orang Islam dan sudah diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan. - Sinar Harian

KD:  Semoga Allah SWT memberi petunjuk & hidayahNya kepada kita semua..

BUKAN ISLAM BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH?
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media mengenai pendirian Pakatan Rakyat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam
KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh diterjemah ke dalam mana-mana bahasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan kalimah Allah tidak wajar disalah gunakan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

"Penganut Islam pelbagai bangsa boleh tetap menyebut perkataan Allah apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.
"Selain itu Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR dan DAP menyambut baik pendirian PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Kenyataan PAS kita sambut baik dan ia selari dengan pendirian Islam. Oleh demikian, kita tidak halang namun dalam mesyuarat kita suarakan keprihatinan kita supaya tidak ada pihak mempermainkan isu ini.

“Pihak-pihak gereja juga perlu menghormati prinsip ini sebagaimana orang Islam meletakkan dan memuliakan nama Allah,” katanya.

Diminta mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Hadi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Cukuplah dengan kenyataan saya sebelum ini…PAS konsisten dengan pendirian dalam isu ini seperti yang dikeluarkan pada 4 Januari 2010,” katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.

Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.

Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pendirian parti itu jelas bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah 'God' dengan 'Tuhan' dan bukannya 'Allah' untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal kitab berkenaan. -mStar

KD:  Sependapat dengan Tuan Ibrahim.. Apa pun alasannya, KD membantah 100% pendirian pakatan pembangkang ini..

HINA KALIMAH ALLAH: LAMAN FACEBOOK PGA CETUS KEMARAHAN UMAT ISLAM

Parti Geletek Allah - PGA
SHAH ALAM - Satu akaun laman sosial Facebook menggunakan nama ‘Parti Geletek Allah (PGA) yang diwujudkan sejak 21 Disember 2012 telah mencetuskan kemarahan dan kebimbangan umat Islam.

Laman terbabit yang menyentuh sensitiviti agama didakwa menghina ALLAH, Rasulullah dan Islam.

Dengan menggunakan nama tersebut di Facebook, PGA mengiktiraf mereka sebagai parti politik dengan menawarkan keahlian percuma kepada orang ramai.

Laman Facebook PGA itu juga mempelawa mempelawa orang ramai yang sudah muak dan penat melayan melayan kerenah parti-parti di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan PKR, menyertai mereka.

Kesemua orang ramai mengutuk tindakan pemilik akaun tersebut kerana tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini. - Sinar Harian

KD:  Sudah melampau sesetengah individu sekarang..

Tuesday, January 8, 2013

KPN MAHU HIMPUNAN SABTU INI PATUH AKTA PERHIMPUNAN AMAN

Tan Sri Ismail OmarKUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta penganjur perhimpunan yang didokong pembangkang di ibu negara Sabtu ini agar mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. 

Ia adalah antara perkara yang ditekankan Ismail ketika bertemu dengan pihak penganjur perhimpunan selama sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Pihak penganjur diwakili Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu; Naib Presiden PKR, N. Surendran; seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua; Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali; Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff dan Aktivis Hak Asasi Manusia, Maria Chin Abdullah.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf yang turut serta dalam pertemuan itu memberitahu Bernama, Ismail turut mengingatkan pihak penganjur perhimpunan agar memberi kerjasama kepada polis termasuk mematuhi larangan dalam akta tersebut.

"Seseorang itu melakukan kesalahan jika, bukan warganegara menyertai perhimpunan, menganjurkan perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had larangan, menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak–kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa kanak-kanak untuk perhimpunan," katanya.

Ismail turut menegaskan jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai "Mat Sabu" berkata, polis sedia menjadi fasilitator pada perhimpunan tersebut yang dicadang diadakan di Stadium Merdeka.

Bagaimanapun katanya, keputusan terakhir lokasi perhimpunan akan ditentukan esok berikutan pihak pemilik bangunan itu belum memberi kata putus mengenai perkara itu.

"Kita akan tunggu sehingga pukul 1 tengah hari esok sama ada dapat menggunakannya ataupun tidak, sekiranya tidak... kita akan mencari alternatif lain," katanya. – Bernama/Sinar Harian
PRU: DR M AKUI BN ADA KELEMAHAN, TAPI MAHU DIKEKAL

Tun Dr Mahathir Mohamad.PUTRAJAYA -  Generasi muda hari ini harus bijak membuat penilaian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sepanjang 55 tahun mentadbir negara, kata Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Beliau berkata, generasi muda yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan dan maju telah menganggap kemajuan negara adalah satu perkara yang biasa dan mereka juga tidak bersyukur dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan.

Sehubungan itu, beliau yang sudah hampir 67 tahun menceburi bidang politik  khuatir golongan muda yang kurang pengalaman mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Ada pula yang kata mahu tukar kerajaan kerana sudah diperintah BN selama 55 tahun. Ini sesuatu yang merbahaya dan kalau memberi kuasa kepada orang yang tidak baik, ia boleh merosakkan negara kita dalam jangka masa singkat dan ia tidak mudah dipulihkan.

"Generasi muda jangan nak ada selera baru dan cuba parti pembangkang yang hanya akan membawa kerosakan kepada negara. Mereka harus bijak membuat perbandingan iaitu Malaysia dahulu, sebelum merdeka dan apa yang dicapai sekarang.

"Mereka harus ikhlas membuat penilaian bahawa Barisan Nasional yang memerintah selama 55 tahun telah banyak berjasa dalam memajukan Malaysia. Mereka harus membuat pertimbangan waras dan memilih siapa yang boleh memerintah negara ini menjelang PRU13 nanti," katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama anggota Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Dr Mahathir juga mahu pemimpin veteran yang mengetahui matlamat dan pencapaian negara terus membantu dan memimpin generasi muda yang akan menentukan masa depan negara agar terus menyokong BN yang telah berjasa dalam membawa pembangunan di negara ini.

"Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda hari ini mungkin tidak sependapat atau tidak puas dengan kerajaan sekarang tetapi adalah lebih baik memilih orang yang kita kenal dan tahu daripada orang yang tidak kenal. Bak pepatah Inggeris, 'Better the devil you know than the angel you don't," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyaran semua ahli Umno berganding bahu untuk memastikan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menang dalam PRU13 nanti.

Sambil mengakui bahawa Najib bukan terbaik dan ada kelemahan, beliau mahu semua ahli Umno agar tidak membuat penilaian terbuka tentang baik buruknya, sebaliknya mengemblengkan tenaga untuk memastikan BN boleh mendapat majoriti dua pertiga.

"Apabila BN dah menang pada PRU13 dan tubuhkan kerajaan, kita boleh memperbetulkan kesilapan dan kesalahan demi kepentingan bersama... pada masa itulah, kita boleh tegur dan menggodam," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir kesal tindakan sesetengah pemimpin Umno demi kepentingan diri telah menyekat golongan yang berpendidikan, berbakat dan profesional menyertai parti itu.

"Tidak dapat dinafikan bahawa ada orang masuk Umno kerana mahu mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri sehingga tidak bagi orang lain masuk Umno.

"Ini penyakit yang sudah ada ketika zaman saya ... dulu doktor dan jurutera tiada dalam Pas tetapi sekarang dah ada kerana apabila mereka tidak masuk Umno, mereka masuk Pas," katanya. – Bernama/Sinar Harian
AMANAT HADI DIMANIPULASI?
Cari petualang sebar amanat - Nizar

Datuk Seri Ir Muhammad Nizar JamaluddinIPOH - Petualang yang menyebarkan Amanat Haji Hadi 32 tahun lalu perlu dicari kerana individu itu bertanggungjawab mencetuskan kontroversi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, petualang dimaksudkan dipercayai bekas ahli Pas dan kini menganggotai Umno di Terengganu.

Beliau mendakwa, bekas ahli Pas itu dipercayai antara mereka yang hadir ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan di Kampung Banggol Peradong, Manir, Terengganu, 7 April1 981.

Katanya, ramai pihak salah tafsir ucapan dan kenyataan Abdul Hadi itu, sedangkan ia hanyalah perkara biasa yang dilakukan ketika menyampaikan ucapan.

“Individu berkenaan seharusnya meneliti sepenuhnya sebelum dan selepas ucapan yang dibuat sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menolak cadangan Pas mengadakan muzakarah secara tertutup mengenai isu Amanat Haji Hadi.

Katanya, sepatutnya Abdul Hadi diberi peluang menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat melalui siaran langsung di televisyen, seperti diminta Abdul Hadi.

“Cadangan (mengadakan muzakarah secara tertutup) itu bukanlah kaedah terbaik untuk mencari kebenaran. Perkara (berkaitan penjelasan) itu perlu dilakukan secara terbuka agar rakyat boleh menilai,” katanya.

Hadi tidak pernah kata Umno kafir - Nasaruddin Daud

Mohd Nasaruddin DaudKOTA BHARU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Umno kafir, namun amanatnya yang disampaikan 32 tahun lalu disalahertikan oleh pihak sehingga menimbulkan kontroversi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Mohd Nasaruddin Daud berkata, musuh politik sengaja menimbulkan isu yang sudah lapuk ini, sedangkan ia tidak pernah memberi kesan kepada masyarakat dan pimpinan Umno sebelum ini, tetapi sengaja ditimbulkan kembali menjelang pilihan raya.

“Beliau (Hadi) tidak pernah mengatakan mereka (Umno) murtad, namun tanggapan mereka ketika dahulu, ‘politik suku agama suku’ (politik asing agama asing) yang pernah dilontarkan oleh pimpinan pihak berkenaan sebelum ini menjerat diri mereka sendiri.

“Akibatnya, mereka pula yang terasa dengan apa yang mereka hujahkan dan mula menuduh Pas pula yang menimbulkan isu panas itu,” katanya ketika berucap pada forum ‘Isu Gadai Tanah : Menjawab Tuduhan Umno Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, malam kelmarin.

Dalam perkembangan isu terbabit, Nasaruddin berkata, perlu diingat sebelum ini pada tahun 2001, Hadi pernah menyatakan kesanggupan berdepan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan apabila tiba masanya pengerusi majlis terbabit membatalkan muzakarah itu.

“Sekarang isu ini diungkit kembali oleh Umno, dan Presiden kita (Hadi) bersedia menjelaskan amanat yang diucapkannya di stesen RTM dan TV3 namun niatnya tidak disokong kerana ada pihak yang menentang dan menyatakan penjelasan itu boleh dibuat di dalam media lain dan bukannya arus perdana.

“Sepatutnya kedua-dua stesen televisyen inilah yang memberi peluang kepada Hadi, disebabkan TV3 dan RTM yang sering memainkan isu ini dan menyerang hadi secara terang-terangan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih menghairankan juga Hadi sendiri tidak pernah menerima sebarang surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan kenyataannya itu bercanggah dengan ajaran Islam.

“Hanya ditempelak oleh dua mufti iaitu Mufti Perak, Tan Sri Harrusani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang menggesa Hadi menarik balik amanatnya berkenaan.

“Mereka kata amanat ini sesat, Hadi kena bertaubat, sepatunya mereka beri peluang dulu, biar beliau terangkan dan selepas itu nilai kembali apa yang dinyatakan sebelum membuat tuduhan,” katanya.