Monday, June 17, 2013

KERAJAAN BN TUNAI JANJI TURUNKAN HARGA KERETA BERPERINGKAT

ALOR SETAR: Inisiatif yang dibuat oleh Proton Holdings Bhd menawarkan pengurangan harga kereta kepada rakyat Malaysia membolehkan rakyat Malaysia merasai sendiri janji yang dibuat kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Proton telah menyahut baik seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam manifesto PRU13 yang lalu.

"Proton telah menyahut seruan Perdana Menteri dengan menurunkan harga kereta Proton 1.3 sebanyak RM5,000 dan ini membolehkan rakyat Malaysia mampu untuk memiliki kereta.

"Bila harga kereta diturunkan, pengguna boleh melihat dan merasai sendiri janji-janji yang dibuat oleh pihak kerajaan pada PRU13 lalu. Janji Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia telah pun ditunaikan," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu, beliau berharap agar syarikat-syarikat kereta lain turut sama mengikut jejak Proton untuk menurunkan harga kereta demi kesenangan rakyat.

"Proton dah turunkan harga, jadi saya harap syarikat lain menjadikan Proton sebagai contoh dan akan tampil ke hadapan untuk mengurangkan harga kereta," katanya.

Ahmad Bashah berkata, harga kereta-kereta lain akan diturunkan secara berperingkat.

Pada 13 Jun yang lalu, Proton menawarkan kepada rakyat Malaysia satu varian kereta keluarannya yang akan dijual dengan harga lebih rendah dan mampu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia. – BERNAMA/mStar

Friday, June 14, 2013

PSM: KAMI TAK 'MELUKUT' UNTUK SERTAI PAKATAN
              
Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan berkata partinya "tidak melukut" untuk menyertai Pakatan Rakyat (PR) sekalipun memohon untuk menyertai gabungan itu sebelum pilihan raya.

NONEKatanya, kongres parti itu selepas pilihan raya umum 2008 memutuskan supaya PSM mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat yang kemudiannya, beberapa pemimpin gabungan itu "meminta, mengalu-alu dan mengajak" mereka menyertai Pakatan Rakyat.

Sehinggakan, katanya, timbul persoalan di kalangan akar umbi Pakatan mengenai keikhlasan PSM dan ada yang melihat parti itu seolah-olah "terlalu angkuh" untuk menyertai pakatan itu.

"Bila kita bincang balik dalam kongres (selepas itu), banyak pandangan. Pandangan umum ahli-ahli PSM, adalah bahawa kita dengar sentimen rakyat. Kalau sentimen parti mungkin lain.

"Sentimen rakyat, mereka mahu lihat satu pasukan lawan Barisan Nasional. Dan mereka mahu PSM bersama Pakatan Rakyat.

"Sebab itu dalam surat kita kepada Pakatan Rakyat, kita dengan jelas menyatakan supaya Pakatan menilai opsyen-opsyen ini. Kita sedia mendengar tetapi pada masa yang sama kita hendak bincang masak-masak," katanya dalam wawancara Malaysiakini kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai tanggapan pelbagai pihaknya yang mendakwa PSM "terhegeh-hegeh" untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Parti berprinsip

Menurut Arutchelvan, pihaknya menyerah kepada Pakatan untuk membuat keputusan dan parti itu "ok" sama ada menyertai atau membuat kerjasama dengan gabungan pembangkang itu.

"Jadi persoalan itu (terhegeh-hegeh) tidak wujud. Maksud kami, kami tidak melukut untuk meminta untuk menyertai Pakatan. Kita sebuah parti berprinsip dan kita buat banyak perkata pun dengan kekuatan kita sendiri," katanya.

Menyifatkan status permohonan menyertai Pakatan "masih kabur-kabur" ekoran perbezaan pandangan pemimpinnya, Arutchelvan berkata PSM akan berbincang semula mengenai perkara itu dalam kongres parti itu akhir bulan ini.

Beliau juga menggesa Pakatan supaya bertanggungjawab untuk meredakan "kekeliruan" yang ditimbulkan oleh pemimpin mereka berhubung status permohonan PSM menyertai Pakatan.

"Andai kata Pakatan ada membincangkan isu ini, ia harus diberitahu kepada kita. Bagi kita, persoalan sama ada kita nak mohon semula (atau tidak) terpulang pada ahli-ahli PSM.

"Kita (pemimpin PSM) hanya boleh respon selepas kita tahu tentang apa sebenarnya status (permohonan yang kini) masih kabur," katanya.

Mood akar umbi PSM

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata mood akar umbi PSM yang berjumlah 14,000 orang terbahagi kepada dua sama ada terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat atau membina kuasa ketiga seperti kumpulan-kumpulan yang lain.

Sehubungan itu, tegasnya, perkara itu juga akan dibangkitkan dalam kongres PSM yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini di Cameron Highlands.

Arutchelvan juga berkata sebelum ini, parti itu mengadakan  kerjasama strategik dengan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan isu yang melibatkan kepentingan bersama seperti kempen anti-ISA tetapi mungkin ada perbezaan dalam beberapa isu yang lain.

Isu PSM dikempen dan dipopularkan

Bagaimanapun, pihaknya gembira kerana beberapa isu seperti pendidikan percuma, akta gaji minimum dan GST yang pertama kali "dikempen dan dipopularkan" oleh PSM, telah diterima oleh Pakatan.

"Kita bukan terikut dengan program mereka. Kita punyai program kita yang sendiri. Kita melihat kempen pendidikan percuma.

"Kali pertama isu pendidikan percuma yang dilontarkan oleh PSM, lima tahun yang lalu. Hari ini menjadi sebahagian daripada manifesto Pakatan," katanya. -Malaysiankini
BOIKOT PARLIMEN: PKR `KESEORANGAN’ GAGAL PUJUK DAP

KUALA LUMPUR – Parti DAP tidak melayan gesaan sekutunya dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya parti itu bersama-sama dengan PKR memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat pada 24 Jun 2013 ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebaliknya memberi jaminan seramai 38 Ahli Parlimen parti tersebut tidak akan memulaukan majlis angkat sumpah itu sebaliknya akan hadir bagi menyempurnakan tanggungjawab mereka selaku wakil rakyat.

“Ahli Parlimen DAP tidak akan memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat pada 24 Jun 2013 mahupun sidang-sidang parlimen.

“Memboikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen tidak dilihat sebagai perbuatan simbolik atau langkah berani dalam memprotes keputusan pilihan raya,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun mendakwa, pakatan pembangkang yang turut dianggotai parti PAS boleh menyatakan pendirian mereka mengenai keputusan pilihan raya dengan lebih berkesan melalui perhimpunan aman di seluruh negara.
  
Pada 7 Jun lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa parti itu mempertimbangkan untuk memulaukan sesi pembukaan ke-13 Parlimen dengan tidak menghantar soalan untuk perbahasan.

DAP bagaimanapun menegaskan tidak akan memulaukan upacara angkat sumpah walaupun parti itu tidak puas hati dengan sistem pilihan raya tetapi akan memfailkan petisyen pilihan raya.

PAS turut memberi reaksi sama berhubung perkara itu dengan membuat pendirian menolak gesaan memulaukan sidang Parlimen sambil menegaskan Ahli Parlimen parti tersebut akan menghadiri sidang Parlimen seperti biasa. – mynewshub.my
PROTON KELUAR KERETA MAMPU MILIK

JAKARTA, INDONESIA: Proton Holdings Bhd akan melancarkan kereta mampu milik sejajar langkah kerajaan untuk mengurangkan harga kereta itu di negara ini.
 
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Khamil Jamil, berkata kereta itu yang akan dilancarkan esok adalah berasaskan kepada model sedia ada Proton, tetapi ditawarkan pada harga kira-kira 10 peratus lebih rendah.

Beliau menegaskan, walaupun ditawarkan pada harga lebih rendah, tetapi aspek kualitinya tetap dijaga, malah ditampilkan peningkatan dari aspek ciri-ciri keselamatan.

"Buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut. Tunggu pelancarannya Sabtu ini (esok)," katanya kepada media pada pelancaran PROTON Preve di pasaran Indonesia, semalam.

Tingkat daya saing vendor

Kerajaan menerusi semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) sedang menggariskan pelan hala tuju bagi mengurangkan harga kenderaan secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus menjelang 2017.

Ia adalah sebahagian daripada langkah berterusan yang dilaksanakan sebelum ini untuk mengurangkan beban membayar hutang bagi pembelian kereta yang dianggap antara beban kewangan utama yang ditanggung oleh rakyat.

Antara elemen penting yang diambil kira dalam pelan hala tuju itu adalah pelaksanaan liberalisasi industri automotif Malaysia.

Khamil berkata, PROTON menyahut seruan kerajaan itu menerusi pelaksanaan mekanisme strategi lebih mapan, pada masa sama meningkatkan daya saing vendor automotif tempatan.

“Pengurangan harga kereta tidak semestinya penurunan harga semata-mata, ia juga boleh dilaksanakan dengan menawarkan kereta yang ditambah baik dengan spesifikasi nilai tambah, tetapi tanpa kos tambahan kepada pembeli,” katanya. – BHarian

KD: Bolehlah beli kereta baru..
YANG MANA SATU REFORMASI BERSIH,  PROTES JALANAN @ TRIBUNAL RAKYAT ?

KUALA LUMPUR – Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 telah mengakui protes jalanan mungkin hanya cara yang tinggal untuk memperjuangkan reformasi pilihan raya sekiranya kempen mereka untuk membersihkan sistem pilihan raya melalui saluran undang-undang menemui kegagalan.
 
Pengerusi bersama Datuk Ambiga Sreenevasan mengatakan bagaimanapun, kumpulan itu akan menggunakan “Tribunal Rakyat” sebagai platform untuk “meneliti” tuduhan penipuan yang berlaku dalam Pilihan Raya 2013 dimana hasil penemuannya akan menjadi asas sokongan kepada kerja reformasi pilihan raya mereka.

“Kita akan jalankan tribunal terlebih dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insider. “Bergantung kepada hasilnya, kita akan desak reformasi yang relevan. Jika itu gagal, mungkin protes adalah pilihan yang tinggal.”

Ambiga sebelum ini mengatakan “tribunal rakyat” akan bertindak sebagai “kuasa moral” untuk menyiasat secara terbuka pendedahan penipuan didakwa dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Tribunal ini dan penemuannya juga akan menyokong desakan peletakan jawatan barisan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas dituduh berat sebelah. Bersih dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah menjadikan ini sebagai syarat utama untuk perbincangan bilateral mengenai reformasi pilihan raya.

Akan tetapi pentadbiran Najib menegaskan SPR adalah bebas dan ini dilihat sebagai tidak bersetuju dengan syarat diberikan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah mengatakan, suruhanjaya itu tidak akan tunduk kepada desakan tersebut.

Kebuntuan itu juga boleh memaksa Bersih dan pembangkang untuk menggunakan demonstrasi jalanan sebagai jalan akhir.

“Perlawanan kami untuk reformasi pilihan raya akan berterusan. Tribunal Rakyat kami akan diteruskan,” kata Ambiga.

Bersih telah mengadakan tiga protes besar-besaran. Tindakan keras terhadap demonstrasi, terutamanya terhadap perhimpunan ketiga, mengundang kutukan dalam dan luar negara kepada pentadbiran Najib yang kemudiannya menubuhkan jawatankuasa Parlimen untuk melihat tentang reformasi pilihan raya.

Walaupun langkah itu memberikan harapan untuk dialog konstruktif mengenai reformasi pilihan raya, kegagalan Putrajaya untuk melaksanakan sebahagian besar cadangan dibuat oleh jawatankuasa itu menyebabkan Bersih dan pembangkang memperbaharui perlawanan untuk membersihkan sistem pilihan raya.

Kempen itu semakin intensif selepas SPR dituduh melakukan penipuan pada pilihan raya 5 Mei untuk memastikan kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN).

Menurut Ambiga, SPR telah gagal untuk mempertahankan diri mereka dan menerangkan mengenai penyelewengan besar-besaran didedahkan dalam perlawanan sengit Pilihan Raya 2013 termasuk kegagalan mentadbir sistem dakwat kekal untuk menghalang pengundian berulang dan tiada tindakan terhadap integriti tercemar daftar pemilih.

“Setakat yang saya tahu SPR tidak menikmati keyakinan orang ramai. Mereka telah gagal untuk bertindak secara bebas dan gagal dalam melaksanakan proses dakwat kekal secara berkesan.

“Kepentingan proses itu tidak boleh dipandang rendah. Ia adalah cadangan PSC dan diperkenalkan untuk menggelakkan pengundian berulang,” katanya.

Pembangkang telah memfailkan lebih 30 petisyen untuk mencabar sesetengah daripada keputusan pilihan raya. Mereka juga memfailkan saman sivil dalam percubaan untuk menyingkirkan barisan kepimpinan SPR dan mengelakkan mereka daripada melakukan persempadanan kawasan pilihan raya akhir tahun ini.

Kawasan pilihan raya tidak seimbang dan persempadanan semula berat sebelah dilihat sebagai faktor menyebabkan dominasi BN dan gabungan pemerintah itu turut dilihat sentiasa mendapat keuntungan setiap kali aktiviti itu dijalankan, kata ahli akademik.

“SPR tidak seharusnya dibenarkan untuk melakukan aktiviti persempadanan semula. Mereka mencadangkan untuk dilakukan terhadap daftar pemilih sedia ada yang perlu dibersihkan secara serius. Mereka telah setakat ini menunjukkan tiada kecenderungan untuk melakukan itu,” kata Ambiga.– Bernama/The Malaysian Insider

KD: Semuanya serba tak kena...
KERAJAAN JANGAN BERLEMBUT KEPADA PEMBANGKANG – TUN M

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kerajaan supaya tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada pembangkang yang berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara.

“Kita perlu keras sikit jangan bagi muka sangatlah,” katanya.

Beliau berkata, sikap pembangkang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mengiktiraf pilihan rakyat bertukar sekelip mata apabila mereka gagal memperoleh sokongan majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas.

“Mereka hendak iktiraf pilihan rakyat tapi sekarang hendak jatuhkan kerajaan. Bila sistem demokrasi dilaksana mereka tolak sisitem itu. Bagi mereka demonstrasi jalanan adalah demokrasi,” katanya. – Bernama/The Malaysian Insider

KD: Sokong saranan Tun..

Thursday, June 13, 2013

DAP PULAU PINANG EKSPLOITASI MELAYU, INDIA?
PULAU PINANG - Kerajaan DAP Pulau Pinang melalui akhbar terbitannya, Buletin Mutiara didakwa cuba menggambarkan mereka sebagai kerajaan prihatin terhadap semua kaum dengan mengeksploitasi warga emas kaum Melayu dan India yang menerima bantuan tahunan RM100.
 
Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata, penyiaran gambar yang menunjukkan warga emas kaum berkenaan yang kelihatan sangat gembira kerana menerima bantuan berkenaan hanyalah sandiwara semata-mata.

"Saya melihat Ketua Menteri, Lim Guan Eng melalui akhbar Buletin Mutiara cuma memberikan gambaran kononnya DAP menjaga kebajikan orang Melayu dan India sedangkan hakikat sebenar bukan begitu.

"Jika dihitung, dengan wang sebanyak RM100 setahun, berapa sen yang dapat digunakan sehari oleh warga emas untuk menampung perbelanjaan mereka?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas muka depan terbitan terbaharu Buletin Mutiara yang menyiarkan laporan tentang keputusan kerajaan negeri meneruskan pemberian bantuan berkenaan sambil memaparkan gambar warga emas kaum Melayu dan India memegang duit RM100 dalam keadaan sangat gembira.

Menurut Aminah, beliau percaya tindakan berkenaan dilakukan semata-mata untuk kepentingan politik, lebih-lebih lagi syarat mendapatkan bantuan berkenaan juga menyusahkan apabila warga emas terpaksa mendaftar terlebih dahulu.

"Saya juga kasihan melihat warga emas berkenaan dipergunakan. Bagi RM100 setahun tetapi mereka canangkan dengan gahnya.

"Sekiranya benar-benar ikhlas, semua itu tidak perlu. Bagi bantuan kematian pula, hanya diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mesti mendaftar terlebih dahulu," katanya.

Jelas Aminah, dalam konteks memberikan bantuan, kerajaan Pusat secara konsisten telah melakukannya sejak dahulu lagi menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Jumlah yang diberi JKM lebih banyak dan secara bulanan, malah tidak memilih bulu apabila semua kaum akan menerimanya sekiranya mereka memerlukan. Bahkan, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk menyalurkan bantuan ini kepada rakyat.

"Kalau hendak dikira bantuan, kerajaan Pusat telah melakukan yang terbaik bermula daripada bayi berada dalam perut ibu lagi tetapi tidak dicanang seperti mana kerajaan DAP Pulau Pinang buat.

"Mereka sangat bermegah-megah dengan bantuan kecil sedangkan masalah asas rakyat negeri ini seperti harga rumah yang melambung tinggi masih tidak diselesaikan," katanya.

Secara sinis, Aminah bertanya adakah hanya itu kemampuan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menjaga kebajikan rakyat selepas memasuki tahun keenam diberi mandat mentadbir negeri ini? –Utusan Online