Tuesday, June 25, 2013

SIKAP HIPOKRIT AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG TERSERLAH

KUALA LUMPUR - Sikap hipokrit pembangkang terserlah selepas kesemua Ahli Parlimen mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen hari ini.

Tindakan kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang itu sekali gus membuktikan mereka bersetuju dan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang melayakkan mereka menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu juga bertentangan dengan objektif penganjuran beberapa siri perhimpunan haram anjuran pembangkang termasuk yang terakhir di ibu negara Sabtu lalu, kononnya bagi menyampaikan mesej Pilihan Raya Umum Ke-13 penuh penipuan.

Selain itu, keputusan Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat turut mengecewakan kira-kira 200 penyokong pembangkang yang berhimpun di luar Parlimen bagi membantah sidang pertama Dewan Rakyat penggal ke-13 yang bermula hari ini.

Sebelum ini, pembangkang terutama wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan mempertimbang memboikot majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13. –Utusan Online
JAKARTA HARUS BERTINDAK TERHADAP SYARIKAT YANG MENGAKIBATKAN JEREBU – PM

KUALA LUMPUR: Putrajaya mahu Jakarta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang menyebabkan jerebu, tanpa mengira pemilikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menghantar surat kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menggesa kerajaan Indonesia untuk bertindak terhadap pesalah-pesalah.

"Tidak kira sama ada syarikat-syarikat milik Malaysia, Singapura atau Indonesia. Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang menyebabkan jerebu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Najib berkata, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia pada Rabu untuk membincangkan mengenai isu jerebu.


Malaysia, katanya, juga akan menawarkan perkhidmatan pesawat pengebom air kepada Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran. -mStar
JEREBU: PRESIDEN INDONESIA MINTA MAAF KEPADA MALAYSIA & SINGAPURA

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera.

"Atas apa yang terjadi ini, selaku presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden di sini pada Isnin malam.

"Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi," katanya.

Yudhoyono berkata pada masa ini kawasan yang terlibat dengan kebakaran itu iaitu Jambi, Bengkulu, dan Riau ditetapkan sebagai daerah bencana berstatus darurat, dan kerajaan pusat mengerahkan tenaga secara maksimum untuk menangani bencana itu.

Beliau berkata Indonesia bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah itu dan beliau yakin ia akan dapat diatasi dengan segera.

jerebu (16)Yudhoyono berjanji bahawa Indonesia akan berusaha memadamkan titik-titik api yang membakar hutan Indonesia dengan melakukan hujan buatan melalui pembenihan awan selain mengerah pasukan pemadam kebakaran di darat termasuk menggunakan tenaga anggota tentera.

Pada sidang akhbar itu Presiden Indonesia itu turut menyindir beberapa pegawai kerajaan republik itu yang menyebut nama syarikat perladangan yang dipercayai menyebabkan kebakaran itu, yang katanya tidak seharusnya mereka lakukan.

"Dari apa yang saya pantau setiap hari, ada pernyataan dari sejumlah pegawai yang menurut saya tidak semestinya disampaikan seperti itu," katanya.

Beliau berkata syarikat berkenaan belum dipastikan terlibat dalam pembakaran itu dan para pegawai kerajaan harus menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kalau ada syarikat lalai, apa lagi menyebut namanya jelas tidak diperlukan seperti itu. Sama halnya menyebutkan syarikat asing yang dimiliki negara jiran kita, itu juga tidak diperlukan," katanya.

Apa yang lebih penting pada masa ini ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah berlarutan selama seminggu ini, katanya. – BERNAMA/mStar

Monday, June 24, 2013

'RAWAT' PUNCA JEREBU

KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu mengambil pendekatan 'merawat' punca jerebu yang mengancam kesihatan supaya tidak berulang, bukan menghabiskan masa dan tenaga merawat penyakit akibat bencana itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
  
Beliau berkata bencana jerebu berpunca daripada buatan manusia yang boleh dibendung dengan tindakan tegas.
  
Katanya jerebu memberi kesan amat buruk kepada orang ramai terutama mereka yang mempunyai penyakit seperti bronkitis, jantung serta kanak-kanak dan wanita mengandung.
  
"Debu jerebu amat kecil dan ia boleh masuk ke dalam paru-paru. Seorang yang sihat mungkin menghadapi masalah minimal tetapi mereka yang mempunyai masalah kesihatan mungkin berdepan isu serius," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara angkat sumpah jawatan anggota Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini semasa diminta mengulas keadaan jerebu teruk melanda negara berikutan pembakaran terbuka di Indonesia.

Sehingga 11 pagi ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk tiga kawasan di negara ini mencatatkan bacaan yang dikategorikan 'sangat tidak sihat' iaitu Port Dickson, Negeri Sembilan (292); Pelabuhan Klang, Selangor (288) dan Kemaman, Terangganu (253).
  
Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan telah bersedia sepenuhnya untuk menerima serta merawat pesakit yang menghadapi masalah kesihatan akibat jerebu di seluruh negara.
  
"Kita sudah bersedia daripada awal untuk menghadapi peningkatan kes penyakit akibat jerebu ini, namun saya nasihat langkah untuk mencegah penyakit ini perlu kita utamakan dulu seperti memakai topeng dan mengurangkan aktiviti luar," katanya.
  
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia akan menyokong tindakan tegas Indonesia terhadap syarikat yang terlibat melakukan aktiviti pembakaran terbuka termasuk syarikat dari Malaysia.
  
"Sama ada (ia melibatkan) syarikat Malaysia, Singapura atau Indonesia, sila ambil tindakan mengikut undang-undang Indonesia. Ambil tindakan, kami rakyat Malaysia akan sokong," katanya dan menurutnya syarikat berkenaan tidak berhak melanggar undang-undang di negara yang mereka beroperasi.  – Bernama


Sumber: Sinar Harian

PERHIMPUNAN BLACK505 GAGAL CAPAI SASARAN

KUALA LUMPUR - Perhimpunan haram anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan sebagai kebangkitan rakyat bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PR-13) ternyata gagal apabila dihadiri hanya kira-kira 20,000 orang.

Jumlah kehadiran peserta yang berhimpun di tujuh lokasi sebelum berarak ke Padang Merbok ternyata jauh daripada sasaran pemimpin pembangkang iaitu 500,000 orang.

Berikutan keadaan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memberi alasan bahawa ia berlaku kerana masalah jerebu yang melanda ibu negara.

Bagaimanapun alasan Anwar itu ternyata sekadar untuk menutupi kegagalan pakatan pembangkang semata-mata kerana sebahagian besar peserta mula meninggalkan lokasi utama di Padang Merbok seawal pukul 4 petang iaitu sebelum beliau berucap.

Kegagalan untuk menarik lebih ramai peserta menyertai perhimpunan itu dikatakan berlaku berikutan perasaan kecewa penyokong-penyokong pembangkang yang berasa dipermainkan apabila pemimpin-pemimpin mereka membuat keputusan untuk menghadiri majlis angkat sumpah anggota Parlimen.

Tindakan itu dilihat bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa PRU-13 dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) melalui penipuan.

Kekecewaan itu diluahkan oleh sesetengah peserta yang berkhemah di padang berkenaan apabila mereka memaparkan tulis mengkritik sikap hipokrit pemimpin-pemimpin pembangkang.

Berikutan itu juga ia memungkinkan jumlah kehadiran peserta di tujuh lokasi yang ditetapkan oleh penganjur mengecewakan mereka.

Sebagai contoh, tinjauan Mingguan Malaysia di pekarangan Universiti Malaya (UM) yang tersenarai sebagai salah satu lokasi berhimpun peserta hanya disertai kurang daripada 300 penyokong mahasiswa dan golongan muda.

Keadaan itu jelas menunjukkan mahasiswa tidak termakan pujuk rayu dan provokasi pembangkang diketuai Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin supaya mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Di enam lagi lokasi, situasi juga sama biar pun ia dimulai dengan ucapan oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Selain itu, kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan dengan menempatkan jumlah minimum anggotanya memungkinkan hasrat sesetengah peserta untuk melakukan provokasi dengan tujuan mencetuskan huru-hara terbantut.

Bagaimanapun perhimpunan itu tetap menyaksikan sikap biadab sesetengah peserta apabila mereka bukan sahaja membawa sepanduk memaki hamun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga pemimpin negara dan media arus perdana. – Utusan Online


KD: Orang yang waras tidak akan membuang masa melibatkan diri dengan perhimpunan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah ini.
BLACK505: KIBAR BENDERA MERAH PUTIH, PIHAK BERKUASA PERLU BERTINDAK TEGAS

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertindak mengibarkan bendera merah putih sewaktu perhimpunan haram di Padang Merbok di sini semalam.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, tindakan biadab itu memperlihatkan mereka seolah-olah tiada semangat jati diri sebagai rakyat Malaysia.

"Perbuatan mereka amat memalukan kerana telah mencapai tahap mencabar kedaulatan negara dan martabat rakyat.

"Mereka sepatutnya mengenang jasa pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air sebelum bertindak mengikut perasaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar melaporkan perhimpunan haram tajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Merbok di sini sekali lagi menyaksikan kebiadapan beberapa penyokong pembangkang mengarak bendera merah putih yang dikaitkan dengan usaha menukar Jalur Gemilang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom beranggapan perbuatan tidak bermoral tersebut semakin menjadi-jadi berpunca daripada undang-undang yang tidak tegas.

"Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dan segera menahan individu yang terlibat. Mereka harus bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukan," katanya. – Utusan Online

KD: Siapa sebenarnya mereka ini? Sehingga sanggup mengagungkan bendera negara lain..
PEMBANGKANG DIALU-ALU TEGUR KEPINCANGAN NEGERI KEDAH

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang teguran daripada barisan pembangkang atas pengalaman mentadbir negeri Kedah, sebelum ini.
  
Bagaimanapun, Mukhriz berkata teguran tersebut perlu berasaskan fakta dan berharap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang sepatutnya lebih memahami kesukaran mentadbir sesebuah negeri, walaupun pernah mentadbir Kedah hanya lima tahun.
  
Beliau turut berharap agar pihak pembangkang akan lebih bersifat empati terhadap kerajaan sedia ada.
  
"Tegurlah kerajaan negeri kalau ada kepincangan, sebab pihak kami tak fikir kerajaan negeri betul 100 peratus sebab mungkin ada yang terlepas pandang atau maklumat tidak sempurna.
  
"...Pengalaman ini (mentadbir negeri) sangat penting untuk meningkatkan kefahaman dua-dua pihak, dalam demokrasi penting wujud peranan semak dan imbang," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Adun Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sebagai 'orang baharu' dalam Dun Kedah, Mukhriz berkata beliau belum dapat membuat perbandingan mengenai perjalanan sidang DUN, namun berharap ia tidak berlaku seperti dalam Dewan Rakyat.
  
"Kalau banding dengan Dewan Rakyat, harap tak berlaku (dalam Dun). Polemik politik terlampau dalam Dewan Rakyat, suasana agak tegang dan peraturan mesyuarat dilanggar sewenang-wenangnya," kata Mukhriz.
  
"Saya lihat nama-nama (Adun) ramai yang baru, ada juga orang lama dan rasa sidang dewan akan meriah dengan pandangan dan idea baharu. - Bernama/Sinar Harian

KD: Inilah contoh kerajaan negeri yang baik.. menitikberatkan keseimbangan dan sedia menerima pandangan orang lain.