Wednesday, April 24, 2013

PRU13: MARUAH PAS TERGADAI JIKA PEMBANGKANG MENANG

KOTA BHARU - Tahaluf siyasi yang dijalin oleh Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya merosakkan dan bakal menyebabkan maruah Pas yang kononnya memperjuangkan Islam hancur.

Menurut Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah, maruah Pas akan tergadai manakala ketuanan Melayu boleh hilang sekiranya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Jelas Abdullah, pandangan beliau itu mengambil kira pendirian Pas mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan beberapa isu lain melibatkan kepentingan agama dan umat Islam yang gagal Pas pertahankan.

Selain itu, ia juga berkaitan dengan hasrat pakatan pembangkang yang dilaporkan mahu mengubah Perlembagaan negara.

"Ia juga mengambil kira pencapaian Pas dalam siri pilihan raya umum lalu dengan menyaksikan parti itu memenangi jumlah kerusi lebih kecil berbanding sekutunya DAP dan PKR.

"Mengikut kajian yang Minda Pondok buat, Pas memang tak boleh menang banyak melebihi sekutu mereka sedangkan calon dalam PKR ramai bukan Melayu. Ini bermakna, sekiranya pakatan menang, ketuanan Melayu boleh hilang dan Pas juga akan hancur," katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdullah diminta mengulas keresahan banyak pihak mengenai kedudukan Pas selepas pilihan raya umum ini mengambil kira jumlah kerusi yang ditandinginya dan pencapaian lampau parti itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Pas bertanding di 74 kerusi Parlimen berbanding PKR (99) dan DAP (50), namun rekod lampau Pas menunjukkan, parti itu hanya memenangi jumlah kerusi lebih kecil berbanding dua sekutunya itu.

Mengulas lanjut Abdullah berkata, sekiranya Pas bertanding di lebih banyak kerusi, maka peluang parti itu untuk menang dan mendominasi pakatan pembangkang lebih cerah.

Namun katanya, keadaan tersebut tidak berlaku berikutan sikap pemimpin Pas yang kerap tunduk kepada sekutunya terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau sifatkan tidak layak sama sekali menjadi ketua kerajaan.

"Anwar tidak layak menjadi ketua kerana politik yang diamalkannya bersifat politik balas dendam. Mungkin Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih layak.

"Dalam pada itu, kesedaran orang Melayu di seluruh negara semakin tinggi mengenai hakikat perjuangan pakatan yang boleh mengancam kedudukan mereka pada masa hadapan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati ahli-ahli Pas yang masih taksub dengan pemimpin mereka supaya berfikir secara lebih waras dan objektif mengenai kedudukan parti tersebut yang akan tergugat jika masih bersama pakatan.

Abdullah turut meminta ahli Pas berfikir dan merenung bagaimana pemimpin Pas sanggup mengetepikan dasar perjuangan parti dengan membenarkan DAP menggunakan logo Pas meskipun pucuk pimpinan DAP secara terus menerus menentang hasrat Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

"Tahaluf yang Pas bina ini sebenarnya merosakkan dan orang Melayu wajib menolak parti itu. Jangan beri walau satu undi kerana kemenangan Pas bermakna kemenangan kepada DAP, PKR. Jika ini berlaku Melayu akan jatuh," katanya. –UTUSAN ONLINE

KD: Mungkinkah ini akan terjadi???
EKONOMI: HARGA EMAS JATUH

KUALA LUMPUR - Harga emas yang jatuh sejak beberapa hari lalu merupakan peluang terbaik untuk orang ramai membeli emas bagi simpanan kekayaan untuk masa depan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold, Datuk Louis Ng berkata, harga emas yang turun mendadak itu bukanlah satu berita buruk tetapi peluang kepada pelabur baharu.

Katanya, walaupun harga jatuh pada tahap yang rendah dalam sejarah, namun, harga emas telah mencecah harga yang tinggi sejak sekian lama.

"Jadi sekarang adalah masa yang sesuai untuk membeli emas sementara harga masih rendah, terutamanya bagi pembeli baharu.

"Menurut sumber-sumber yang dipercayai, sejak beberapa hari lepas, orang ramai dari negara-negara Asia di rantau ini telah bergegas ke kedai emas untuk membeli emas menyebabkan kebanyakan kedai kehabisan stok.

"Ini kerana mereka sedar bahawa emas ialah aset pelindung yang selamat dan berguna semasa kesusahan. Emas adalah mata wang yang tidak boleh dimanipulasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 15 April lalu, harga emas telah jatuh secara mendadak mengakibatkan keruntuhan harga terbesar sejak 1993.

Kejatuhan harga emas itu mengakibatkan ramai pelabur veteran terkejut dan mungkin telah menyebabkan kerugian bagi sesetengah pelabur.

Namun, harga emas telah mencecah harga yang tinggi buat kian lama yang menyebabkan ramai tidak mampu untuk memilikinya.

"Emas selalunya digemari di Asia. Bagi mereka, secara tradisinya, emas dibeli sebagai hadiah untuk pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, hari lahir, ulang tahun, dan sebagainya.

"Kini harga emas telah jatuh, membuatkan lebih ramai orang mampu untuk memiliki emas, terutama bagi pembeli baharu yang ingin menyimpan emas untuk perlindungan kekayaan masa depan," ujarnya.

Permintaan emas telah semakin meningkat sejak tahun 2000, disebabkan oleh negara-negara membangun sedar bahawa emas boleh dijadikan kekayaan baru mereka. –UTUSAN ONLINE
PAS LAKSANA HUDUD JIKA MENANG PRU13

ARAU - Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, Pas berpendirian bahawa apabila DAP tampil memohon menggunakan logo Pas, bermakna DAP secara tidak langsung bersetuju dengan dasar yang bakal dilaksanakan parti itu.

Jelasnya, dalam mesyuarat yang diadakan, Pas sedia membenarkan penggunaan lambang parti mereka sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak DAP untuk bertanding menggunakan logo sendiri.

"Kalaulah betul SPR tak terima logo mereka (DAP), mereka guna logo Pas.

"Jadi penerimaan mereka pada logo Pas itu maknanya mereka setuju dengan dasar Pas. 'that's the answer'," katanya ketika menyampaikan ceramah Ibu Tunggal di Kampung Belukar, Guar Sanji di sini hari ini.

Menurut Haron, hukum hudud adalah asas perjuangan Pas dan dasar itu tidak boleh diubah.

Tegasnya, apabila tiba masanya, PKR atau DAP harus bertolak ansur dengan kehendak Pas untuk terus melaksanakan hukum hudud.

"Bila, di mana, apa dia terpulang kepada cara pelaksanaan, kita lihat dulu. Bila sampai masa kita pegang kuasa, mesti ada yang pegang kuasa ini tiga pihak iaitu Pas, DAP dan PKR.

"Mesti ada polisi beri dan terima. Ada masa Pas kena beralah, ada masa kita menerima, ada masa kita memberi," katanya.

Pendirian Haron itu jelas bertentangan dengan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sebelum ini memberitahu penggunaan logo Pas tidak bermakna parti itu menerima setiap dasar perjuangan Pas. –UTUSAN ONLINE


KD: Tapi, bagaimana pula dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden PAS ini?


ISU VIDEO: MUSTAFA ALI PERLU BUAT PENJELASAN

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali digesa menjelaskan sama ada dakwaan yang mengaitkan beliau dalam aksi video seks mempunyai kaitan dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana timbul spekulasi dalam kalangan orang ramai yang menganggap Mustafa sebagai mangsa peras ugut puak Anwarinas sejak tahun lepas.

Berikut kenyataan penuh Khairul:

1 - Kita ingin meminta penjelasan Mustafa sama ada insiden klip video lucah baru-baru ini ada kena-mengena dengan insiden keputusan Majlis Syura Ulama Pas untuk menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Ini spekulasi orang ramai yang menganggap Mustafa sebagai mangsa peras ugut puak Anwarinas sejak tahun lepas.

2 - Betulkah jawatan Setiausaha Agung Pas bakal diambil alih oleh bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Kamaruddin Jaafar selepas pilihan raya umum nanti? - Kamaruddin dikatakan rapat dengan puak Anwarinas di dalam Pas yang mahukan Anwar sebagai pemimpin mereka.

Kita harapkan maklum balas daripada Mustafa sebab perkara ini menjadi tanda tanya ramai pihak di dalam dan di luar Pas. –UTUSAN ONLINE
JIKA PAKATAN MEMERINTAH, PERLEMBAGAAN MUNGKIN DIUBAH - TUN M

LUMUT - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat negara ini yang Perlembagaan Persekutuan mungkin diubah dan digantikan dengan dasar-dasar yang merugikan mereka jika pakatan pembangkang dibiarkan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Perdana Menteri berkata, dasar meritokrasi yang sering dilaung-laungkan pembangkang juga mungkin dilaksanakan sehingga menyebabkan segala peluang hanya diberikan kepada kumpulan terbaik manakala kurang cemerlang akan terus ketinggalan.

Menurut beliau, berdasarkan dasar kongsi kuasa dan kekayaan yang diamalkan Barisan Nasional (BN) selama ini, golongan kurang cemerlang tetap diberikan peluang untuk berjaya termasuk memegang jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan.
"Kalau parti lawan berkuasa dan laksanakan meritokrasi, segala peluang diberikan kepada yang terbaik. Maka, kita kurang baik dan ramai daripada kita bukanlah yang terbaik, mereka yang kurang kebolehan tidak akan mendapat peluang.

"Mereka tidak akan dapat peluang pegang jawatan ketua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan naib canselor universiti kalau dasar meritokrasi dilaksanakan. Kita bukan tidak mahu meritokrasi, tetapi kita juga beri pertimbangan kepada mereka yang baik tetapi bukan yang terbaik," katanya.

Dr. Mahathir berkata, tiada sesiapa boleh memberikan jaminan yang pakatan pembangkang tidak akan meminda Perlembagaan Persekutuan.

"Sama ada diubah atau tidak bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat memberikan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen kepada parti lawan, mereka berhak mengubah perlembagaan," katanya.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir turut mengingatkan umat Islam di negara ini tentang bahaya yang bakal dihadapi mereka sekiranya terus berpecah-belah kepada tiga parti seperti berlaku sekarang.

Menurut Dr. Mahathir, umat Islam di negara ini boleh melihat sendiri nasib umat Islam di selatan Thailand dan Singapura yang tidak mendapat layanan baik kerana menjadi golongan minoriti dan diperintah pihak lain.

Beliau berkata, apabila parti umat Islam menjadi parti minoriti, mereka terpaksa menagih sokongan daripada pihak lain untuk mendapat kuasa dan sudah tentu pihak berkenaan mengharapkan balasan yang akan mengenepikan kepentingan umat Islam.

"Kalau satu pihak mempunyai kekuatan menentukan parti mana akan menang, maka mereka akan minta kepada parti yang memohon bantuan dan parti itu berjanji akan memberi bermacam-macam kepada mereka. Dengan itu, negara kita akan berat sebelah kerana puak majoriti sudah menjadi minoriti kerana sudah tidak ada kekuatan," katanya.

Beliau berkata, bukan sesuatu yang mustahil untuk umat Islam di negara ini bersatu di bawah satu parti seperti yang pernah berlaku semasa menentang pelaksanaan Malayan Union oleh penjajah British dahulu. –UTUSAN ONLINE
PRU13: KIT SIANG TOLAK ANWAR JADI PM?

KUALA LUMPUR - Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri pilihan menunjukkan hubungan kepimpinan dalam pakatan pembangkang yang semakin rapuh.

Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh Siew Hock berkata, ura-ura Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipilih menjadi Perdana Menteri hanya satu taktik DAP untuk memancing dan memperdaya pengundi kaum Cina.

"Tindakan Kit Siang bertanyakan khalayak di Johor sama ada mereka memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri telah menunjukkan wajah sebenar DAP.

"Hakikatnya, Kit Siang langsung tidak menyebut Anwar sebagai pilihan Perdana Menteri dan ini menunjukkan satu undi DAP bermakna satu undi kepada Pas, mereka hanya mahu menguji reaksi dan penerimaan komuniti Cina terhadap Pas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Jason, niat DAP bertanding di Johor adalah bagi memberi peluang kepada Pas berkuasa di negeri itu dan mengambil kedudukan Menteri Besar.

"Sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih Kerajaan Pusat, Pas yang akan memperoleh kejayaan dengan mendapat jawatan Perdana Menteri dan mereka akan memperkukuhkan lagi kedudukan di Johor," katanya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan berkata, pertembungan akan berlaku dalam DAP antara keluarga Kit Siang dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Begitu juga setiap kali isu hukum hudud Pas timbul, Karpal berkeras menolak perkara itu, namun Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP akan cuba menyembunyikan niat sebenar Pas," katanya.

Jelasnya, berbanding dengan Karpal, keluarga Lim mempunyai pengaruh lebih besar dalam DAP sehingga kenyataan mereka menjadi polisi parti sementara kata-kata Karpal hanya disifatkan sebagai pandangan peribadi. -UTUSAN ONLINE