Thursday, March 28, 2013

GUAN ENG DICABAR BENTANG MANIFESTO DI RTM

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dicabar mengambil peluang membentangkan manifesto pakatan pembangkang menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit selepas pembubaran Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata, pemimpin pembangkang itu tidak sepatutnya mengelak daripada menerima tawaran tersebut dengan mengenakan pelbagai syarat tidak munasabah.

Menurut beliau, peluang itu juga bagi menjawab kritikan Ahli Parlimen Bagan berkenaan kononnya kerajaan tidak adil dalam menyediakan ruang kepada pemimpin pembangkang menggunakan media arus perdana terutama untuk membentangkan manifesto mereka.


"Guan Eng perlu membentangkan manifesto pembangkang itu tanpa menggunakan transkrip bagi membuktikan manifesto mereka benar-benar terbaik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. –Utusan Online


KADAR JENAYAH PERLU TERUS DITURUNKAN – PM

KUALA LUMPUR: Walaupun kadar jenayah telah menurun 27 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan kadar jenayah itu terus menurun.

Beliau menarik perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan pelbagai transformasi termasuk memperkenalkan perkhidmatan komuniti polis dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi.

"Sudah pasti pelbagai transformasi yang diperkenalkan itu tidak boleh membawa perubahan dalam sekelip mata, ia memerlukan masa serta fokus untuk melakukan penambahbaikan terhadap pasukan polis," katanya dalam entri terbaru bertajuk 'Pasukan Polis Moden Yang Membanggakan Kita' di laman blognya.

Perdana Menteri menegaskan PDRM akan sentiasa bekerjasama dengan rakyat untuk mencapai matlamat memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat dan bahagia menerusi pelbagai perubahan serta inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional.

"Saya harap setiap apa yang dirancang untuk masa depan negara dapat dicapai dengan sokongan terus menerus anda semua," katanya.

Dalam pada itu, Najib mengakui beliau sentiasa kagum dengan semangat warga polis selama ini.

"Membesar bersama ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak sentiasa membuatkan saya sedar dan hargai perjuangan mereka dalam mempertahankan keamanan negara.

"Sejak zaman darurat sehinggalah insiden 13 Mei, mereka sentiasa menjadi benteng keselamatan kepada kita semua," tegas beliau.

Merujuk sambutan Hari Polis ke-206, Isnin lepas, Najib berkata rakyat sekali lagi bangga melihat semangat juang anggota keselamatan yang bertugas dalam Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Kiram di Sabah.

"Kita juga kagum dengan keberanian lapan anggota serta pegawai PDRM yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara. Saya harap perjuangan mereka ini sentiasa dikenang setiap rakyat," katanya.

Najib telah mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) supaya kestabilan dan keselamatan di Sabah terus terpelihara.

"Menerusi inisiatif ini, kerajaan juga akan pastikan proses pilihan raya yang adil dan bersih tidak digugat di kawasan terbabit," tambahnya. BERNAMA/mStar
INSIDEN PENCEROBOHAN LAHAD DATU SATUKAN RAKYAT MALAYSIA TANPA MENGIRA ASAS POLITIK

LANGKAWI: Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah mempunyai impak positif apabila ahli politik termasuk pembangkang mula menyedari kepentingan pertahanan yang kuat untuk negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, insiden yang menyaksikan ramai anggota keselamatan terbunuh dan cedera itu membuktikan ia bukan sandiwara kerajaan dan ekoran itu serangan politik oleh pembangkang terhadap isu pertahanan dan keselamatan negara juga makin berkurangan.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah menerima hakikat bahawa soal pertahanan bukanlah sesuatu yang boleh dipolitikkan...nampaknya selepas insiden ini, pembangkang tidak banyak lagi mempertikaikan kemampuan tentera dan polis kita," katanya kepada pemberita di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2013) di sini, Rabu.

Insiden itu telah menyatukan rakyat Malaysia dan hasil pemantauan Kementerian Pertahanan ke atas ceramah politik mendapati semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia khususnya pembangkang meningkat tinggi.

Langkah Kementerian Pertahanan membawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP menaiki kapal selam kelas Scorpene pada LIMA 2011 juga mengurangkan serangan pembangkang ke atas aset strategik negara itu, katanya.

Menteri Pertahanan itu juga berkata, pembangkang sebelum ini sering mempolitikkan isu pertahanan dan keselamatan negara sehingga mendedahkan maklumat sensitif mengenai aset pertahanan negara.

Mengenai tindakan lima bekas pegawai kanan tentera, yang terdiri daripada jeneral bersara, mempolitikkan isu pencerobohan itu untuk kepentingan politik mereka, Ahmad Zahid berkata mereka tidak harus mempolitikkan mana-mana operasi tentera sekiranya mereka berminat untuk terjun ke gelanggang politik.

"Mereka ini beranggapan bahawa mereka lebih pintar daripada pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedia ada, hanya mereka yang sekarang ini merosakkan minda orang politik walaupun zaman mereka sebenarnya sudah berlalu," kata beliau.

Mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka, Ahmad Zahid berkata rakyat boleh menolak dengan tidak memilih mereka menjadi wakil rakyat.

Katanya kerajaan juga tidak mengambil tindakan terhadap mereka dari sudut perintah Majlis Angkatan Tentera kerana tidak mahu dilihat sebagai menganianya mereka.

Lagi pun, kata beliau, kelima-lima mereka tidak mewakili suara angkatan tentera kerana baru-baru ini lebih 200 bekas pegawai kanan tentera berpangkat brigadier jeneral ke atas telahpun menyatakan sokongan kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. -BERNAMA/mStar
PRU13: PEMIMPIN PAS & PKR BERTELAGAH PEMBAHAGIAN KERUSI DI KELANTAN

KOTA BARU: Persaingan antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) Kelantan telah menyebabkan pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini bertelagah dalam merebut kerusi yang telah diputuskan oleh pemimpin parti masing-masing.

Ketua PAS cawangan Guchil Hulu, Muhamad Bustamam Yaacob akan bertanding sebagai calon Bebas menentang penyandang kerusi DUN Guchil yang juga wakil rakyat PKR, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.

Muhamad Bustamam berkata dia akan tetap bertanding melawan Tuan Zamri Ariff walaupun ia bertentangan kerjasama yang dipersetujui dalam PR.

Sinar Online memetik Bernama, melaporkan Muhamad Bustamam dipetik sebagai perkata ahli diperingkat akar umbi telah menggesa dia bertanding menentang Tuan Zamri Ariff.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz mengkritik tindakan berkenaan dengan berkata perkara tersebut akan hanya menimbulkan perpecahan dalam pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan yang diambil oleh ahli PAS telah mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui dalam pembahagian kerusi.

Pada pilihan raya umum 2008, Tuan Zamri Ariff menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi.

Guchil merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Tanah Merah, dan ia merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi oleh PKR daripada lima yang mereka bertanding pada 2008.

Sementara itu di Bachok, penyandang kerusi berkenaan Nasharuddin Mat Isa tidak akan mempertahankan kerusi tersebut dan PAS bahagian mempunyai masalah untuk mencari calon yang sesuai.

Mereka perlu calon yang kuat untuk berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Datuk Dr Awang Adek Hussain yang mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Walaupun Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohammed,70, dilihat sebagai calon yang sesuai, bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Zaiyadi Awang Noh yang juga ahli PKR pada ketika ini dilihat turut melobi untuk mendapatkan kerusi berkenaan. Tindakan tersebut turut menimbulkan pertelagahan dengan Ketua Pemuda PAS Bachok, Ahmad Marzukh.

Sumber dalam parti berkata kira-kira 70 peratus akar umbi menyokong Omar, yang pernah menjadi wakil rakyat selama lima penggal bagi kerusi berkenaan.

Sumber berkenaan turut mengesahkan ahli diperingkat akar umbi tidak selesa dengan Zaiyadi kerana ramai ahli keluarganya masih dalam Umno.— Bernama/mStar
MANIFESTO PEKATAN: TOLAK TAWARAN 10 MINIT DI RTM BUKTI PEMBANGKANG TAKUT


KUALA LUMPUR — Tindakan pembangkang menolak tawaran kerajaan membentangkan manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-13 mereka melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), membuktikan mereka takut tidak dapat menandingi manifesto Barisan Nasional (BN), menurut beberapa pemerhati.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Dr Zainal Kling hari ini berkata pembangkang seharusnya menerima tawaran itu sekiranya mereka yakin skop manifesto yang ditawarkan boleh memanfaatkan rakyat dan benar-benar boleh direalisasikan, jika menang PRU13.

"Tetapi mereka ini dalam berkempen untuk pilihan raya lebih banyak memburuk-burukkan pihak lain, menyebabkan mereka akhirnya memberikan banyak alasan untuk menutup kelemahan sendiri termasuk menolak tawaran yang diberikan," katanya semasa dihubungi Bernama di sini.

Selain itu, Zainal juga menyifatkan pembangkang tidak berani untuk membentangkan manifesto secara terbuka kerana PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sehaluan dan mempunyai matlamat perjuangan yang berbeza walaupun berada dalam kapal yang sama.

Pada Selasa, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu sidang media bahawa mereka mengikut langkah PAS dan DAP menolak tawaran kerajaan untuk muncul 10 minit membentangkan manifesto di RTM selepas pembubaran Dewan Rakyat.

Tawaran itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 22 Mac lalu dan semua parti politik diberi masa selama 10 minit untuk mengemukakan skop dan manifesto mereka.

Sementara itu, bekas Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Zainal Abidin Borhan berkata pembangkang tidak sepatutnya menolak tawaran yang diberikan ‘bulat-bulat' kerana ini peluang mereka muncul di saluran media rasmi dengan manifesto mereka.

Beliau menambah kata pembangkang juga tidak sepatutnya mempersoal tempoh masa 10 minit yang diberikan, sebaliknya mengambil peluang yang ada terlebih dahulu sebelum memohon untuk dipanjangkan tempoh penyiaran jika manifesto mereka memerlukan lebih masa.

"Tempoh 10 minit boleh dimanfaatkan secara baik sekiranya pembangkang kreatif dalam mengiklankan manifesto mereka seperti menggunakan tayangan slaid berbanding sesi wawancara yang memerlukan lebih masa," katanya.

Beliau juga berkata tawaran itu membuktikan kerajaan cuba melakukan pembaharuan dan bertolak ansur dengan kehendak pembangkang, sebaliknya pembangkang yang sering tidak berpuas hati, terus menuduh kerajaan sebagai tidak berlaku adil.

"Tuduh-menuduh bukan budaya dan tamadun kita. Jika tidak berpuas hati seharusnya duduk berbincang dengan baik untuk mencari penyelesaian," katanya.

Presiden Pemikir Profesional Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar pula menyifatkan tindakan pembangkang menolak tawaran itu menunjukkan mereka tidak ikhlas dalam memperjuang nasib rakyat seperti yang sering dilaung-laungkan.

"Ini peluang yang baik untuk mereka menjelaskan manifesto mereka di televisyen kerajaan kerana banyak kali mengatakan tidak pernah diberikan peluang, tetapi bila sudah terbuka di depan mata, banyak pula ragam dan helah dibangkitkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata pembangkang tidak seharusnya melepaskan peluang itu dengan sewenang-wenangnya.

"Tawaran untuk membentangkan manifesto di televisyen merupakan permulaan yang baik dalam pembaharuan yang dilakukan kerajaan menuju ke arah kebebasan media.

"Seharusnya semua parti politik termasuk pembangkang mengambil peluang dan jika terdapat kekurangan, ia boleh diutarakan dan penambahbaikan boleh dilakukan pada masa hadapan," katanya. — Bernama/

Wednesday, March 27, 2013

PRU13: GARIS PANDUAN KERAJAAN SEMENTARA
 
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Pejabat Peguam Negara untuk menentukan segala garis panduan bagi sesebuah kerajaan sementara.

"Apabila tiba masanya, perkara ini perlu dilakukan. Saya kira selepas ini kita minta AG's Chambers (Pejabat Peguam Negara) untuk menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara," katanya.

Mohamed Nazri diminta mengulas mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang akan terbubar secara automatik pada 28 Mac iaitu Khamis ini dan bukannya hari ini seperti dilaporkan sebelum ini.

"Saya tidak nampak apa-apa masalah kerana kita ada 60 hari selepas DUN dibubarkan dan saya fikir sebaik Parlimen dibubarkan kita akan tetapkan tarikh (pilihan raya).

"SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mahukan supaya semua pilihan raya itu diadakan pada satu hari (serentak), itu adalah hak SPR untuk menentukan," katanya.

Mohamed Nazri berkata, sesebuah kerajaan sementara hanya boleh meneruskan segala komitmen yang sudah dibuat sebelum DUN dibubarkan dan tidak boleh membuat komitmen baharu.

"Antara tarikh pembubaran dan pembentukan kerajaan baharu, kerajaan sementara hanya boleh mentadbir, tetapi anda tidak boleh membuat sebarang pengumuman atau komitmen baharu," katanya. - BERNAMA

Tuesday, March 26, 2013

KSA1M : PINJAMAN MUDAH UNTUK PENJAWAT AWAM?

KUALA LUMPUR - Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau Ah Long dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

"Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Omar berkata, melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam telah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.

Omar berkata, kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu. – BERNAMA/Utusan Online