Thursday, April 18, 2013

PRU13: ANWAR BOLEH TUMBANG DI PERMATANG PAUH

KUALA LUMPUR - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh ditewaskan sekiranya semua pihak bekerjasama untuk menjayakan matlamat itu.

Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, perkara itu bukan sesuatu yang pelik atau mustahil untuk dilakukan.

"Kita yakin kerana calon BN, Dr. Mazlan Ismail dan pengendali blog Papagomo yang bakal mencabar Anwar di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bukan calang-calang orang," katanya ketika menyampaikan ceramah pada majlis pelancaran Buku Jing-Gay tulisan penulis blog Papagomo di Dataran Sri Perak, Perumahan Awam Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini malam tadi.

Yang turut hadir, bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong; bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan Presiden Barisan Bersatu Nambikei, B. Kalaivanar.

Buku tersebut merupakan manifesto yang mengandungi 41 janji ditawarkan Papagomo kepada para pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh. – Utusan Online
PRU13: RAKYAT JANGAN TERTIPU LAGI - NAJIB

SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Selangor memberi sokongan padu kepada pasukan transformasi calon Barisan Nasional (BN) yang diyakininya mampu membawa negeri itu lebih maju dan hebat pada tahun-tahun mendatang.

Sambil menyifatkan rakyat Selangor kini semakin cerdik dan tidak akan tertipu dengan janji- janji pembangkang untuk kali kedua, Pengerusi BN itu berkata, beliau percaya rekod cemerlang BN di peringkat Pusat dapat diterjemahkan dalam membangunkan Selangor jika mandat dikembalikan kepada parti itu 5 Mei ini.

Malah, kata beliau, keyakinan meraih kembali sokongan rakyat itu diperkuatkan lagi dengan kegagalan pakatan pembangkang melaksanakan manifesto mereka sepanjang lima tahun memerintah Selangor.

"Saya dengan rasa rendah diri bagi pihak BN ingin menyatakan kepada rakyat Selangor, kalau percaya kepada kepada kerajaan Pusat, percaya kepada saya ketua kerajaan BN, maka berilah sokongan kepada pasukan BN Selangor.

"Ini kerana pasukan ini menjadi harapan saya untuk membawa transformasi kepada Selangor.

"Kepada pasukan ini, inilah mesej kita. Marilah kita dalam tempoh beberapa hari ini pastikan kita berjumpa dengan semua rakyat. Gunakan masa ini dengan sebaik-baiknya membawa diri dengan pembawaan rasa rendah diri berjumpa rakyat," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada pelancaran Aku Janji atau Manifesto BN Selangor yang merangkumi tujuh teras 56 janji di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta kesemua calon BN Selangor serta para pemimpin parti komponen.

Najib menarik perhatian bahawa harapan BN untuk mencapai kemenangan di Selangor bukan semata-mata untuk manfaat negeri itu tetapi sebenarnya untuk faedah negara keseluruhannya.

"Kira-kira 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini bergantung kepada kejayaan membangunkan Selangor. Sebabnya peratusan KDNK besar, kalau kita tidak jamin KDNK yang tinggi, tak mungkin negara boleh bertukar jadi negara maju.

"Banyak perkara penting perlu kita tentukan dalam pilihan raya umum ini sebab itu bukan soal Selangor sahaja tetapi untuk Malaysia," katanya.

Menurut beliau, BN telah mempelajari kesilapan lalu dan beliau sendiri telah meminta maaf.

"Dan kita semua berazam untuk melakukan yang terbaik dengan semangat kekitaan kita, semangat barisan 1Malaysia BN yang berkongsi kuasa antara paksi falsafah 1Malaysia," katanya. – Utusan Online

ISU VIDEO: MUSTAFA ALI DIMINTA BERSUMPAH DI MASJID

KUALA LUMPUR - Keputusan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali untuk tidak membuat laporan polis berkenaan isu penyebaran video seks yang mirip beliau boleh dilihat sebagai merosakkan kredibiliti perjuangan Islam Pas selama ini.

Menurut Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, adalah lebih baik Mustafa mengangkat sumpah di mana-mana masjid dan menjadikan orang ramai sebagai saksi untuk memperbetulkan kembali fakta berkenaan isu itu jika beliau berada di pihak yang benar.

“Tiada apa yang perlu ditakuti jika beliau tidak melakukan perkara tidak bermoral itu, jadikan kisah Saiyidina Uthman sebagai teladan. Bagaimana khalifah ketiga itu mengangkat sumpah di Masjid Nabawi untuk menafikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Jika di kalangan ahli parti melakukan perkara tidak bermoral seperti ini pun sudah dianggap bertentangan, ini kan pula perwakilan tertinggi parti yang melakukannya. Sudah semestinya dianggap perkara luar biasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas penafian Mustafa Ali berhubung dakwaan penyebaran video seks yang menyerupai dirinya di dalam laman sosial baru-baru ini.

Bagi Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, sebagai pemimpin tertinggi Pas, Mustafa perlu membersihkan imejnya dengan terlebih dahulu membuat laporan polis untuk membolehkan pihak terbabit melakukan penyiasatan terperinci bagi mendapatkan kesahihan adakah beliau (Mustafa) merupakan pelakon utama video itu ataupun tidak.

“Sekarang ini, langkah terbaik, dia sendiri pergi buat laporan polis supaya perkara tersebut boleh disiasat dan dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah jika dia berada di tempat yang benar.

“Sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam masyarakat melihat Pas sebagai tidak konsisten dan goyah dalam memegang prinsip Islamnya, jangan lupa maruah dalam agama perlu dipertahankan bagi menutup keaiban diri sendiri," katanya di sini.

Jelas Abdullah, ekoran video seks ini, kredibiliti jawatankuasa tatatertib Pas sedikit terjejas sejak kebelakangan ini.

“Soal perkaitan moral dan akhlak ahli parti pun tidak mampu diselesaikan ini telah menunjukkan jawatankuasa Pas lemah dalam mengambil tindakan disiplin," jelasnya lagi. -Utusan Online
PRU13: PAS KELANTAN BERGOLAK

KOTA BHARU - Pas Kelantan dikatakan mengalami pergolakan dalaman agak serius dalam menentukan calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.

Difahamkan, sehingga lewat malam tadi, barisan kepemimpinan parti itu diterajui oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, masih belum menemui kata putus soal siapa akan bertanding di beberapa bahagian antaranya, Bachok, Ketereh, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Menurut sumber, senarai calon yang diputuskan awal tidak mendapat sokongan serta menerima bantahan daripada beberapa pihak, sehingga memaksa kepimpinan Pas Kelantan beberapa kali bermesyuarat semula.

Malah wujud dakwaan proses pemilihan calon Pas Kelantan pada kali ini berkonsepkan 'kronisme' apabila wakil yang disenaraikan mempunyai hubungan secara langsung dengan pemimpin tertentu.

Sebagai contoh, meskipun senarai calon belum diputuskan, namun kedengaran poster individu tertentu telah dicetak, sehingga dikatakan mengetepikan konsep musyawarah yang didakwa menjadi pegangan Pas selama ini.

Selain itu, wujud berpuak-puak dalam pemilihan kali ini sehingga ada dakwaan mengatakan senarai calon yang bakal dibariskan merupakan 'suara' atau 'mewakili' kepentingan pemimpin tertentu.

"Konsep anak-beranak, waris-warah, ipar-duai menjadi teras pemilihan calon. Penyakit di zaman Allahyarham Datuk Mohd. Asri Muda nampaknya menjadi turutan dan ikutan," kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Pas dijadual mengumumkan senarai calonnya pada Himpunan Kelantanku Hijau di Padang Perdana, dekat sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan dengan alasan penamaan calon dijangka lebih awal, bukannya 20 April ini.

Pengumuman calon-calon Pas sebaliknya dijadual diumumkan pada malam ini di Padang Majlis Daerah Machang.

Kegagalan Pas yang lewat mengumumkan calonnya berbanding Barisan Nasional (BN) dilihat oleh banyak pihak berpunca daripada pergolakan dalaman yang sedang berlaku.

Menurut sumber itu lagi, Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzly Hassan langsung tidak dilibatkan dalam proses pemilihan pada kali ini dan keadaan itu turut mencetuskan rasa kurang senang pihak tertentu.

Jelas sumber itu lagi, sebelum ini kekecohan sememangnya berlaku dalam pemilihan calon Pas Kelantan, namun senario yang berlaku kali ini lebih serius, dengan Nik Abdul Aziz sendiri dikatakan tidak dimaklumkan mengenai pemilihan calon-calon tertentu.

Satu sumber lain pula memberitahu, kekecohan turut berlaku pada mesyuarat calon Pas Kelantan di JKR 10 malam kelmarin apabila ada individu tidak tersenarai dipanggil untuk mengambil borang penamaan, manakala yang telah tersenarai tidak pula diminta berbuat demikian.

Kekecohan dikatakan turut berpunca dengan pencalonan individu yang dikaitkan dengan pelbagai masalah moral dan skandal kerana tindakan itu dikhuatiri menjejaskan peluang Pas bagi mempertahankan Kelantan.

Malah, dikatakan ada individu tertentu yang belum menerima watikah pencalonan, diminta mengisi borang dan mengambil gambar untuk dijadikan poster kempen.

Masalah berkenaan turut dikaitkan dengan ketidakcekapan pengurusan parti yang dilihat begitu ghairah membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ke Putrajaya sehingga mengabaikan hal dalaman.

Difahamkan, bagi mengelak pergolakan lebih serius, semua calon telah diminta berbaiah, namun tidak dapat pasti sama ada ia akan dipatuhi atau sebaliknya. -Utusan Online

Wednesday, April 17, 2013

PRU13: SEMUA CALON BN PERLU SENTIASA MERENDAH DIRI

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua calon Barisan Nasional (BN) supaya sentiasa merendah diri apabila bertemu dengan pengundi dan bukannya bersikap menunjuk-nunjuk kekayaan yang ada.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sikap menunjuk-nunjuk yang dimaksudkan umpamanya bertemu pengundi dengan menaiki kereta mewah seperti Mercedes- Benz, Porsche atau Lamborghini yang jika itu berlaku, calon berkenaan langsung tidak mencerminkan sifat sebagai calon BN sebenar.

Beliau berkata, calon-calon harus sedar bahawa dalam saat kritikal ini segala perilaku, perwatakan, gerak-geri dan percakapan mereka sentiasa dinilai dan diteliti oleh pengundi.

"Saya minta apabila turun menemui pengundi merendah dirilah. Cakaplah dalam bahasa yang baik, bawalah rupa yang lebih manis. Dengar betul-betul apa yang pengundi ucapkan kepada kita.

"Jangan paling muka ke tempat lain. Bila bersalaman dengan pengundi lihatlah mata mereka. Genggam tangan mereka erat-erat. Jangan pandang ke tempat lain," katanya.

Tambah Muhyiddin, pengundi adalah raja dan calon-calon perlu menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya adalah hamba rakyat.

Beliau berkata, kuasa pengundi adalah besar dan di tangan mereka akan menentukan siapa calon yang menang dan parti mana yang berjaya.

"Saya minta sekali lagi kepada semua calon jangan menunjuk-nunjuk. Waktu ini semuanya sensitif. Bila kita keluarkan satu perkataan pun dinilai. Satu langkah kita pun diteliti. Satu perbuatan kita dikaji. Setiap apa yang hendak kita lakukan hendaklah dibuat secara berhati-hati.

"Dalam situasi sebegini pengundi cukup sensitif dan mereka menilai tentang apa yang kita lakukan. Saya beri nasihat tadi ikhlas supaya kita semua lebih peka," katanya.

Jelas Muhyiddin, beliau sendiri pernah menerima nasihat yang serupa ketika mula-mula menceburi bidang politik.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, setelah segala usaha dibuat, semua calon mesti bertawakal kepada Allah kerana pada akhirnya penentuan akan dibuat oleh Yang Maha Esa.

"Oleh itu pada hari-hari yang mendatang ini bagi yang terpilih dalam kalangan orang Islam bertawakallah. Dalam kitab suci al-Quran ada disebut apabila kita sudah berazam dan bertekad serta berusaha, selepas itu kita bertawakal kepada Allah.

"Kepada calon bukan Islam, bertawakallah mengikut kepercayaan agama masing-masing. Yang menentukan segala-galanya bukan kita, yang menentukan ialah Allah," katanya. - Utusan Online
PRU13: DAP BERPURA-PURA MEWAKILI SEMUA KAUM

KUALA LUMPUR - Tindakan DAP hanya meletakkan calon di kawasan yang pengundinya majoriti Cina membuktikan parti itu hanya berpura-pura mewakili pelbagai kaum di negara ini.

Bendahari Agung MCA, Datuk Seri Tan Chai Ho berkata, pakatan pembangkang secara keseluruhannya lebih gemar menghantar 'calon payung terjun' untuk menentang MCA seperti di kerusi Parlimen Ayer Hitam dan Kluang di Johor.

"Pemimpin keturunan Cina dalam pakatan pembangkang tidak berani menentang UMNO walaupun mereka asyik mengkritik parti itu.

"Saya mencabar DAP untuk meletakkan calon di kawasan UMNO. Ini merupakan cara terbaik untuk DAP membuktikan mereka tidak memecah-belahkan pengundi Cina," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengundi mesti menilai sumbangan dan rekod perkhidmatan seseorang calon sebelum memilih mereka sebagai pemimpin.

"Apabila Pas meletakkan Hu Pang Chow (Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas) di Ayer Hitam, pengundi pasti mempersoalkan apa sumbangan calon tersebut di Ayer Hitam selama ini.

"Apakah tujuan Pas meletakkan Pang Chow di Ayer Hitam dan adakah ia merupakan cara untuk memecah-belahkan pengundi Cina di situ?," soalnya. - Utusan Online
PRU13: TIADA SEBAB TUKAR KERAJAAN BN - TPM

JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak ada sebab untuk rakyat menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 hanya kerana pembangkang menyatakan Barisan Nasional (BN) sudah terlalu 'tua' memerintah negara ini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, bukan soal terlalu lama memerintah tetapi penilaian harus dibuat terhadap kemampuan dan pengalaman BN dalam mentadbir negara ini sejak merdeka dengan pencapaian dan rekod yang baik.

''Apa sebab kita mahu tukar kerajaan, tidak ada sebab untuk menukar kerajaan hanya kerana telah 56 tahun memerintah.

''Ini bukan soal lama memerintah tetapi yang berpengetahuan dan mampu melaksanakan tuntutan rakyat untuk menjadi negara maju," katanya semasa merasmikan majlis Himpunan Komuniti Usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Negeri Johor 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat supaya tidak sekadar membaca manifesto BN tetapi harus yakin dan percaya segala yang dijanjikan akan ditunaikan berbanding manifesto pembangkang yang tidak tentu hala.

Muhyiddin berkata, pembangkang kini berusaha menyebarkan bidaah dan fitnah kononnya kerajaan BN akan bankrap kerana memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurutnya, janji pembangkang seperti mahu memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang menarik perhatian, tetapi rakyat tidak sedar janji itu sebenarnya cuma mahu mengelirukan mereka. - Utusan Online