Thursday, July 4, 2013

TUKAR AGAMA KANAK-KANAK: DAP GESA PINDA PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melakukan pindaan terhadap Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan berlakunya'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar agama kanak-kanak kepada Islam.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Inggeris tidak memberi tafsiran jelas mengenai maksud 'ibu bapa' yang menjadi syarat membolehkan penukaran kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

"Maksud ibu bapa dalam Perkara 12(4) mestilah secara tatabahasanya bermaksud kedua-dua ibu dan bapa sekiranya masih hidup.

"Salah tafsir terhadap perkataan 'ibu bapa' boleh membawa kepada penyalahgunaan dalam kes penukaran agama kepada Islam," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu menyatakan agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mempertikaikan maksud 'parent' dalam Perlembagaan Persekutusan versi bahasa Inggeris yang bermaksud 'ibu bapa' dan bukannya ibu atau bapa.

Pertikaian berhubung isu berkenaan timbul berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penggubalan peruntukan Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 berhubung persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu Muhyiddin berkata, penggubalan RUU itu juga dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes pertikaian kanak-kanak 'diislamkan' tanpa persetujuan kedua-dua waris.– mStar
ATM SEDIA GERAK ASET BAWA PULANG RAKYAT MALAYSIA DARI MESIR

NILAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menggerakkan asetnya sekali lagi bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir jika keadaan di negara itu terus bergolak.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, bagaimana pun setakat ini belum ada keperluan ke arah itu dan keputusan mengenainya akan diputuskan kerajaan melalui koordinasi Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra.

"Kita memang telah bersedia sekiranya ada keperluan, tapi setakat ini belum ada keperluan dan saya yakin bahawa krisis yang dihadapi oleh Mesir ini dapat diselesaikan dalam beberapa ketika dan keadaan akan kembali reda," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) ke-45 di Stadium Universiti Sains Islam Antarabangsa, di sini Khamis.

Sekiranya, keadaan memerlukan ATM untuk menggerakkan asetnya, Zulkifeli berkata, beliau menjangkakan ia tidak akan menghadapi sebarang masalah lebih-lebih lagi, proses sama pernah dilakukan sebelum ini.

"Ops Piramid yang lalu begitu rumit sekali kerana kita perlu berhubung dengan negara-negara seperti Arab Saudi dan sebagainya. Jadi sekarang ini kita sudah ada hubungan itu dan jika kita perlu membawa pulang rakyat kita dari Mesir mungkin tidak akan menghadapi masalah," katanya.

– BERNAMA/mstar

Tuesday, July 2, 2013

~

ISU AIR MENTAH: SAYA HANYA SEDIA JUMPA MUKHRIZ –GUAN ENG

GEORGETOWN - “Saya hanya sedia jumpa (Menteri Besar Kedah, Datuk) Mukhriz (Tun Mahathir) sendiri, bukan dengan orang lain," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika mengulas kenyataan Mukhriz bahawa pihaknya akan menghantar wakil untuk berbincang mengenai isu caj air mentah dari Sungai Muda yang dikenakan oleh kerajaan negeri itu terhadap Pulau Pinang.

Dalam kenyataan terdahulu, Mukhriz berkata, beliau akan mengarah Setiausaha  Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Puat Mohd Ali dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Anas Ahmad Zakie untuk untuk mewakilinya dalam perbincangan itu.

Bagaimanapun bagi Guan Eng, langkah hantar wakil tidak sesuai dan tidak tepat.

"Saya hanya sedia jumpa dengan Mukhriz, bila-bila masa saja," katanya.

Menurut Guan Eng, rundingan mengenai caj air sewajarnya dibincang antara ketua kerajaan (ketua menteri dan menteri besar) sahaja, bukan melalui pihak ketiga.

Walaupun sudah buka pintu untuk rundingan, namun Guan Eng tetap dengan pendirian bahawa Pulau Pinang tidak perlu bayar sesen pun kepada Kedah dengan alasan air itu dianugerah secara percuma ikut undang-undang antarabangsa.

Kelmarin, Mukhriz meminta Pulau Pinang bersikap lebih terbuka untuk membincangkan isu air mentah yang dibangkitkan sejak tahun lalu.

Kerajaan Kedah penggal lalu mengenakan caj air mentah sebanyak RM20 juta setahun kepada Pulau Pinang. –Sinar Harian

~

PRK KUALA BESUT: MIC BANTU BN KEKALKAN KERUSI DUN 

KUALA LUMPUR - MIC akan menurunkan jenteranya bagi membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu pada pilihan raya kecil kerusi berkenaan.
  
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jumlah masyarakat India di kawasan berkenaan hanya beberapa ratus orang dan pihaknya yakin dapat bertemu mereka seberapa ramai mungkin.
  
"Kami akan berjumpa dengan seberapa banyak masyarakat India, 0.08 peratus (daripada jumlah pengundi) tidak banyak, beberapa ratus sahaja, ia kawasan Umno," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.
  
Dun Kuala Besut bakal menyaksikan pilihan raya kecil, yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13), berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar pada Rabu lepas.   
  
Pada PRU13, 5 Mei lepas, Dr A. Rahman mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut untuk BN dengan mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi itu.

Dun Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi berdaftar.  – Bernama/Sinar Harian

~

PRK KUALA BESUT: CALONNYA BUKAN AZHAR IDRUS, TAPI WAN AZHAR

KUALA TERENGGANU – Ustaz Azhar Idrus tiada dalam senarai pilihan Pas untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.
 
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut ketika menjawab soalan pemberita mengenai desas-desus pendakwah terkenal itu akan dipilih mewakili Pas,  memberikan jawapan 'tidak' sebanyak tiga kali.

Terdahulu, ketika ditanya mengenai 'Ustaz Azhar' beliau mengiyakan kerana menyangka pemberita merujuk kepada Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yang juga dikenali sebagai Ustaz Azhar.

“Antara banyak nama yang naik, termasuk nama Ustaz Azhar (Wan Azhar Wan Ahmad), dia sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan (Besut),” katanya.

Bagaimanapun, beliau membetulkan identiti orang yang disenaraikan itu selepas menyedari Ustaz Azhar yang dimaksudkan media adalah Azhar Idrus.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan Ustaz Azhar Idrus sebagai kemungkinan disenaraikan calon Pas pada PRK ini.

Mengulas lanjut mengenai Azhar Idrus, Mohd Abdul Wahid menjelaskan, ikon agama itu tidak berminat bertanding bagi mewakili parti politik.

“Dia orang Ladang (kawasan di bandar Kuala Terengganu), orang sini. Banyak maklumat yang kita terima menyatakan dia tidak berapa minat bertanding, tetapi kita tengoklah nanti (apakah beliau ingin bertanding) suatu masa nanti kerana belum muktamad,” katanya.

Selain Wan Azhar, satu-satunya calon Muslimat yang ditempatkan di kerusi Dun Kuala Besut pada PRU13 lalu, Napisah Omar turut disenarai pendek.

Beliau turut menjelaskan, kebanyakan senarai nama adalah daripada kalangan anak tempatan dan pihaknya sedang meneliti perkara itu untuk mengetengahkan calon terbaik bagi memastikan kemenangan Pas.

Mohd Abdul Wahid turut mengumumkan Adun Paka yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas Negeri.

“Jentera pilihan raya sudah kita lantik dan lepas ini, kita akan pastikan jentera kita bergerak lancar,” katanya.

Dalam pada itu, panel guaman Pas sedang mengkaji peraturan dan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan jika berlaku kedudukan seri 16-16 di negeri ini. -Sinar Harian

~

PRK KUALA BESUT: KERUSI DUN KEKAL MILIK PAS

KUALA LUMPUR - PKR telah memutuskan bahawa kerusi bagi Dun Kuala Besut kekal milik Pas, kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan panjang bersama pimpinan PKR pusat dan Terengganu.

“PKR telah buat ketetapan ini dalam satu majlis, kelmarin.

“Kita akan sokong calon Pas yang akan terus kekal di Dun Kuala Besut. PKR Terengganu dan Pusat telah mengerahkan jentera untuk membantu kemenangan Pas di sana,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, pendirian itu akan dibawa pada mesyuarat pimpinan PR minggu ini.

Menurut Azmin, walaupun terdapat gesaan daripada peringat negeri Terengganu untuk meletakkan calon PKR di kerusi tersebut, namun keputusan yang telah dibuat itu harus dihormati semua pihak.

Isu perebutan kerusi Dun Kuala Besut mula tercetus apabila Azmin dalam kenyataannya semalam tidak menolak untuk meletakkan calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Sementara itu, mengulas kenyataan Lim Guan Eng agar Pas memboikot PRK Kuala Besut sebagai tanda protes keputusan PRU13 lalu,  Azmin berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP itu adalah pendapat peribadi.

“Mengenai keputusan akhir kita akan tahu lepas majlis pimpinan PR rakyat (yang dijangka Rabu ini),” katanya.– Sinar Harian

~~

ISU PENGHARAMAN SISHA: MENGANDUNGI 100 BAHAN KIMIA TERMASUK NIKOTIN

sisha
SENAI – Sisha didapati mengandungi lebih 100 bahan kimia berbahaya termasuk nikotin, tar dan giserin yang turut terkandung dalam sebatang rokok dan cenderung meningkatkan risiko barah kepada penggunanya.

Pakar Perunding Hospital Columbia Asia, Dr Dimitraj Maniam berkata, walaupun kandungan kimia dalam rokok lebih padat, namun sisha boleh memberi kesan buruk jangka panjang berikutan tempoh masa ia dihisap lebih lama berbanding rokok.

“Biasanya sisha dihisap dalam tempoh 45 minit hingga satu jam atau lebih, asap sisha dihidu pengguna menyamai 50 hingga 60 batang rokok.

“Walaupun kesannya tidak sama, namun tetap mendatangkan risiko bahaya khususnya bagi mereka mempunyai sejarah keluarga menghidap barah.

“Ia biasanya akan meningkatkan kecenderungan penyakit barah terhadap bahagian mempunyai hubungan langsung dengan penggunaan shisha termasuk paru-paru, tekak dan mulut,” katanya.

Selain itu, katanya, kandungan nikotin dan tar boleh mendatangkan ketagihan terhadap pengguna yang menyebabkan keinginan mereka untuk terus menghisap sisha sentiasa meningkat.

“Ramai beranggapan mereka gemar menghisap sisha disebabkan perasa buah-buahan dan manisan yang terdapat padanya.

“Tetapi sebenarnya tanggapan ini salah kerana kandungan nikotin dan tar merupakan punca ketagihan mereka terhadap sisha,” katanya.

Beliau turut bersetuju sekiranya penggunaan dan penjualan shisha dikawal agar tidak memberikan kesan buruk terhadap kesihatan orang ramai.

“Saya nasihatkan kepada pengguna agar berhenti dari terus menghisap sisha, mungkin kesan buruknya belum dapat dilihat, namun ia akan memberi kemudaratan pada masa akan datang,” katanya..– Sinar Harian