ELAUN MENTERI
DIKURANGKAN MULAI 1 JAN
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam,
termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10
peratus, berkuatkuasa 1 Januari.
Tindakan itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk
mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun depan, katanya dalam
kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan
timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali
Hamsa.
Beliau berkata kerajaan juga akan mengurangkan elaun keraian
sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama
Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.
Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu
juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus,
katanya dalam kenyataan dua muka surat itu.
Najib berkata kerajaan juga akan meminda kelayakan Tiket
Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan
penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.
Selain itu, kerajaan juga akan mengurangan lima peratus kos
utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan,
selain membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.
Perdana menteri berkata kerajaan juga memutuskan untuk
mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan
premis pejabat.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan
mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan
termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
Beliau berkata cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan
terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang
dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.
Kerajaan juga akan mengurangkan penggunaan syarikat
pengurusan acara atau 'event management' serta pemberian saguhati (door gifts)
atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang
melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam, katanya.
Najib berkata kerajaan juga akan mengurangkan penyediaan
makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan
banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau
sebarang acara rasmi kerajaan.
Kerajaan juga akan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan
Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia
(1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan
bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel, katanya. – Bernama
Sumber: Sinar Harian