PARLIMEN: MP PR TERKESAN TITAH AGONG
KUALA LUMPUR –
Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah supaya
semua ahli Parlimen menerima keputusan pada PRU13 lalu ketika pembukaan Sidang
Mesyuarat Pertama penggal pertama Parlimen ke-13 semalam turut diakui terkesan
kepada ahli Parlimen pembangkang.
Menurut Ahli
Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan, titah Tuanku itu cukup
berkesan dan berharap wakil rakyat lain dapat bekerjasama untuk membangunkan
negara pada masa akan datang.
"Ya, kita
boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan negara, itu peranan kita
sebagai pembangkang.
"Kita
sekarang ini bekerja di Parlimen dan di luar untuk sama-sama membangunkan
negara dan kita mengharapkan kerajaan selain daripada menyebut mengenai
pembangunan negara perlu juga melihat ketirisan dan masalah lain yang berlaku.
"Peranan
kami sebagai pembangkang untuk menegur pihak kerajaan," katanya kepada
Sinar Harian Online.
Sementara itu,
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pula berkata, titah Agong itu disambut baik dan positif kerana sebaik
sahaja mengangkat sumpah, bermulalah
tugas sebagai wakil rakyat.
"Titah
Tuanku itu saya ambil positif dan ia langsung tidak bertentangan dengan usaha
kita memastikan ada usaha penambahbaikan sistem pilihan raya.
"Kami
perlu berada dan menjalankan tugas di Parlimen selepas wakil rakyat PR ini
mendapat mandat yang besar,” katanya.
Bagaimanapun
tegasnya, pemimpin PR akan memastikan 'kecurangan' dan penipuan pilihan raya
lalu akan terus dibawa ke muka pengadilan supaya pilihan raya akan datang lebih
bersih dan telus.
"Soal
menuntut reformasi pilihan raya dan juga memastikan bahawa semua penipuan perlu
diselesaikan baik, bukan kerana soal siapa yang menang pilihan raya yang lalu.
"...tetapi
ia soal memastikan pilihan raya kita pada masa akan datang lebih baik supaya
tidak timbul kecurigaan dan ketidakyakinan terhadap sistem pilihan raya,”
katanya.
Dalam pada
itu, menurut Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi pula menegaskan,
pihaknya menerima keputusan PRU13 lalu meskipun mendakwanya berlaku banyak
penipuan dan penyelewengan hingga menjejaskan kemenangan PR.
"Kami
daripada pihak pembangkang tidak menolak keputusan pilihan raya, sebab itu kita
datang angkat sumpah.
"Apa yang
kami tolak ialah kepincangan, penyelewengan dan penipuan yang akan dibuktikan
melalui petisyen yang telah difailkan ke mahkamah.
"Perkara
itu juga diakui pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri apabila mengakui
kelemahan dakwat kekal, itu yang kita
tolak dan tentang,” dakwanya.
Selain itu,
Ahli Parlimen Nibong, Datuk Dr Mansor Othman pula menafikan pemimpin PR menolak
keputusan pilihan raya lalu sambil menyifatkan sistem pilihan raya di negara
memerlukan penambahbaikan yang berterusan bagi menjamin proses itu berjalan
dengan bersih dan adil pada masa akan datang.
"Keputusan
PRU13 itu termasuk dalam sistem itu, bukan tidak terima tapi banyak benda yang
boleh dilakukan,” katanya.
Bagi Ahli
Parlimen Petaling Jaya Selatan pula, Tony Pua, mana-mana pihak perlu
menghormati keputusan pilihan raya lepas dan perlu akur terhadap kemenangan BN
yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan meskipun PR memperolehi undi
popular yang lebih tinggi iaitu 51 peratus pada PRU13 lalu.
"Saya
rasa keputusan pilihan raya memang dihormati, buat masa ini BN sudah menjadi
kerajaan, sudah tubuhkan kabinet, ahli Parlimen PR juga telah mengangkat sumpah
untuk mengambil tempat dalam Parlimen sebagai pembangkang.
"Ini
tidak bermaksud kita tidak boleh membuat cadangan atau kenakan tekanan kepada
pihak kerajaan untuk membuat perubahan ke atas dasar pilihan raya yang akan
datang lebih adil dan bebas kepada semua pihak.
"Ini
merupakan perkara yang penting bagi rakyat Malaysia sebab sistem demokrasi
memang mengutamakan siapa yang menjadi majoriti,” katanya.
Pendapat itu
senada dengan wakil rakyat penggal pertama dari DAP, iaitu Ahli Parlimen Bukit
Bendera, Zairil Khir Johari yang menegaskan titah Tuanku itu perlu disahut
dengan melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara dan menjalankan tugas
sebaik mungkin kepada rakyat.
Namun beliau
agak teruja apabila Tuanku turut menyelitkan kepentingan golongan muda kepada
masa depan negara dalam titah baginda.
"Saya
rasa yang menarik dalam titah Tuanku itu ialah saya rasa jarang dalam titah
DiRaja akan bercakap tentang orang muda.
"Mungkin
ini adalah satu pengiktirafan kepada golongan ini dan ini juga kekurangan di
negara ini di mana kita banyak dikatakan "Brain Drain".
"Saya
rasa inilah cabaran Malaysia yang perlu diberi tumpuan dan saranan Tuanku itu
memang betul dan tepat,”katanya. –Sinar Harian