Wednesday, October 24, 2012

ISU HUDUD: MCA TIDAK TOLAK UNDANG-UNDANG ISLAM- DR M

KUALA LUMPUR: Kenyataan MCA berhubung isu hudud bukan bermaksud komponen Barisan Nasional (BN) itu menolak pelaksanaan undang-undang Islam.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataan MCA itu sekadar untuk memberi peringatan kepada masyarakat Cina agar tidak menyertai DAP.

"Mereka berkata begitu bertujuan untuk menakutkan masyarakat Cina bukan orang Melayu atau Islam agar tidak menyertai DAP.
 
"Sejak dulu MCA tidak pernah membantah Malaysia sebagai negara Islam dan mengamalkan ajaran Islam," katakan pada sidang media selepas majlis dialog di Universiti Malaya, di sini, Selasa.

Dr Mahathir mengulas ketika ditanya tentang kenyataan dan pandangan MCA pada mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Sabtu lalu.

Tambah beliau, isu hudud tidak seharusnya dijadikan bahan politik bagi meraih sokongan bukan untuk kepentingan Islam.

"Isu ini tidak boleh dijadikan satu bahan kepentingan politik bukan untuk Islam, jika PAS mahu melaksanakannya ia perlu adil kepada semua masyarakat.

" Mereka konon berpegang kuat kepada agama Islam, siapa yang menolak hudud pula tidak pegang kuat kepada Islam," katanya. -mStar

KD: Rasanya penjelasan dari Tun M ini tidak akan memuaskan hati pihak yang berkenaan terutama rakyat yang menyokong pelaksaaan hukum hudud. Sebaliknya, pihak MCA sendiri perlu membuat penjelasan yang telus lagi terang.
AES PATUT DITERUSKAN UNTUK KEBAIKAN - DR M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seharusnya diteruskan demi kebaikan bersama.

Beliau berkata, desakan pembangkang untuk menangguhkan perlaksanaan AES hanya akan merugikan rakyat.

“Ini benda baik, kalau rakyat rasa hendak jadikan benda yang baik ini sebagai isu, rakyat yang akan rugi.

“Kalau di sini (Malaysia) nak buat apa pun kena pikir nak menang atau kalah dalam pilihan raya, padahal semua orang tahu sistem ini AES adalah baik seperti di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada satu majlis dialog simposium anjuran Universiti Malaya pada Selasa.

Dr Mahathir secara peribadi tidak menolak pelaksanaan AES dalam negara dan ia tidak perlu ditangguhkan semata-mata untuk pilihan raya umum.-mStar

Tuesday, October 23, 2012

SELANGOR MAHU GUNA TEKNOLOGI PENAPISAN AIR MEMBRAN UNTUK RAWAT BEKALAN AIR

MB : Teknologi Membran Lagi Murah dan Praktikal

SHAH ALAM, 23 OKT : Penggunaan teknologi penapisan air membran untuk merawat bekalan air di Selangor dianggarkan 1 / 3 lebih murah daripada kos pembinaan loji rawatan mega Langat 2.

Teknologi daripada Kanada itu kata Menteri Besar Selangor lebih praktikal dan menjimatkan daripada Langat 2 yang dianggarkan menelan kos RM 3 bilion.

Abdul Khalid berkata, kos penggunaan teknologi membran adalah kurang daripada RM1 bilion untuk dipasang di 10 buah loji strategik kerana tidak semua 27 loji memerlukannya.

Ini menyangkal dakwaan daripada Kerajaan Pusat bahawa teknologi tersebut tidak praktikal bagi Selangor, sekaligus menjustifikasikan Langat 2.

Menurut Abdul Khalid teknologi membrane telah mengalami perkembangan pesat yang menawarkan kos pembinaan yang lebih rendah.

“Teknologi ini sangat kompetitif dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah,” katanya.

“Kini telah terdapat lapan buah negara yang sudah memasarkan teknologi itu sedia ada,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu-Lembu Korban di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Tambah beliau, Singapura juga turut bercadang menggunakan teknologi membran dalam tempoh 30 tahun akan datang supaya ia tidak perlu mengimport air daripada Johor.

Ujar beliau, teknologi itu juga lebih mesra alam berbanding Langat 2 yang memerlukan kerajaan negeri menebuk Banjaran Titiwangsa bagi membina terowong untuk mensalurkan air daripada Pahang.

Abdul Khalid berkata, teknologi itu juga mampu menambahkan satu juta meter padu sehari air terawat pada kadar 1/3 daripada kos Langat 2.

“Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ‘hilang’ atau Non Revenue Water (NRW),” kata Abdul Khalid.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata teknologi membran tidak praktikal untuk Selangor.

Menjawab dakwaan Muhyiddin, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor boleh memanggil perunding daripada Kanada untuk memberi taklimat kepada Muhyiddin dan pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Kerajaan negeri tidak menentang Loji Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

“Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisien pada harga munasabah,” katanya. –selangorku.com
IKLAN KELIRU, PALSU DIAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG MULAI 1 JAN DEPAN

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari tahun hadapan sebarang iklan mengelirukan atau palsu disiarkan dalam media cetak atau elektronik, pengiklannya boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu mengeluarkan iklan mengelirukan dan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan produk dan kebolehdapatan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

"Bagi pertubuhan pula, boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan di sini, Isnin.

Ismail Sabri berkata, butiran mengenai tindakan ke atas pengiklan terkandung dalam garis panduan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengiklanan berikutan pindaan terhadap Bahagian XIA, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini.

"Pindaan itu adalah bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan palsu atau mengelirukan bertujuan melindungi pengguna daripada tertipu dengan iklan-iklan tersebut.

Sebanyak 38 kes aduan mengenai iklan telah kami terima setakat hari ini," katanya.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa pengiklanan tersebut mendapat kerjasama daripada beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya serta dianggotai beberapa ahli akademik dengandipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Sumber Maklumat, Dr Zuraidi Ishak.

"Jika iklan berkaitan dengan produk kesihatan, kami akan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan. Kami hanya menguruskan iklan produk atau perkhidmatan yang mengelirukan dan bertujuan menipu pengguna," katanya.

Beliau berkata Garis Panduan iklan tersebut akan mengawal selia pengiklan terdiri daripada pemilik barang atau perkhidmatan, agensi pengiklan atau mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha penyiaran iklan melalui media cetak atau elektronik.

"Garis panduan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pengguna dalam mengenal pasti kandungan iklan palsu atau mengelirukan, selain sebagai rujukan kepada pengiklan agar bertanggungawab sepenuhnya terhadap iklan mereka.

"Iklan yang akan disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata perkara yang dilarang seperti dakwaan penyembuhan terhadap penyakit-penyakit kronik dan tatacara penggunaan logo halal juga diterangkan dalam garis panduan itu.

"Beliau berkata kriteria-kriteria turut diambil kira apabila menyatakan terma-terma dan syarat dalam iklan seperti penggunaan bahasa yang ringkas, saiz dan font yang jelas serta kedudukannya yang mudah dilihat oleh pengguna dalam iklan bilboard," katanya.
Menurut Ismail Sabri, buku garis panduan itu akan diedarkan kepada orang ramai mulai hari ini. - BERNAMA

Monday, October 22, 2012

GST, CUKAI KEKAYAAN SERENTAK

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kerajaan disaran melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai kekayaan (wealth tax) serentak bagi mengelakkan isu ketidakadilan terhadap golongan pertengahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BoardRoom Ltd., Kim Teo berkata, memandangkan pelaksanaan GST sebelum ini dikatakan akan membebankan golongan kelas pertengahan kerana mereka merupakan kumpulan pengguna utama dalam ekonomi, pengenalan cukai kekayaan dapat merapatkan jurang antara golongan kaya dan pertengahan.

''Pengenalan GST merupakan kaedah paling berkesan bagi kerajaan mewujudkan aliran pendapatan baharu, dan pada masa yang sama mengurangkan penggantungan ke atas pendapatan menerusi petroleum. –UtusanOnline
HARGA ROKOK NAIK 20 SEN 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) telah mengumumkan peningkatan 20 sen kepada harga semua rokoknya mulai esok.

"Kami dimaklumkan secara rasmi oleh Kastam Diraja Malaysia pada Khamis 18 Oktober tentang kenaikan yang dimandatkan dalam harga luar kilang rokok-rokok kami antara 26 peratus hingga 58 peratus berkuat-kuasa Jumaat, 19 Oktober 2012.

"Berikutan itu, cukai eksais dan jualan telah dinaikkan," kata Pengarah Urusan BAT Malaysia, William Toh dalam satu kenyataan.
 
Harga baharu rokok  adalah seperti berikut:-

Rangkaian DUNHILL - RM10.20
Rangkaian KENT - RM10.20
Rangkaian PETER STUYVESANT - RM8.70
Rangkaian PALL MALL - RM8.70
PALL MALL Biasa - RM10.60
BENSON & HEDGES - RM10.20
LUCKY STRIKE PLAIN - RM10.60
ROTHMANS INTERNATIONAL - RM10.60

BAT Malaysia adalah sebahagian daripada kumpulan British American Tobacco, yang merupakan kumpulan tembakau paling antarabangsa dunia dan kumpulan tembakau tersenarai yang kedua terbesar dunia. –BERNAMA/UtusanOnline
PRU-13 SESUAI BILA-BILA MASA DARI SEKARANG - TUN M

SERI ISKANDAR: Pilihan raya umum ke-13 sesuai diadakan bila-bila masa sahaja, termasuk pada tahun ini namun terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih tempoh yang sesuai, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata sama ada diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan iaitu sebelum mandat lima tahun Barisan Nasional (BN) tamat, bila-bila masa dari sekarang juga merupakan masa yang baik untuk mengadakan pilihan raya.

"Bergantung kepada Datuk Seri Najib apa keputusannya. Pandangan saya adalah pandangan saya. Saya fikir kita sudah sampai penghujung, ia tidak menjadi masalah sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, Ahad.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) boleh menunggu waktu yang sesuai untuk memuktamadkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum namun ini juga memberi peluang kepada parti pembangkang untuk membuat persediaan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga. –BERNAMA/mStar

Friday, October 19, 2012

AES BERJAYA DI 90 NEGARA

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 90 negara di seluruh dunia terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 sehingga 60 peratus.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan telah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini.

Oleh itu katanya, kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula penggunaan sistem berkenaan walaupun mendapat tentangan daripada sesetengah pihak.

"Saya telah jelaskan dan ingin tekankan sekali lagi bahawa kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melakukan kajian dan menangguhkan pelaksanaan AES.

"Kami telah melakukan kajian hampir 10 tahun dan sistem ini terbukti berjaya di 90 negara luar. Selain itu, kami juga menerima reaksi positif daripada majoriti pengguna jalan raya yang mahukan AES dilaksanakan kerana tidak gembira dengan sikap buruk pengguna jalan raya lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebanyak 831 lokasi hitam kemalangan bakal dilengkapi (AES) termasuk 14 lokasi yang telah beroperasi sejak 23 September lalu dan lokasinya ditentukan berdasarkan data kemalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Cho Ha turut menolak dakwaan bahawa kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memasang dan melaksanakan sistem tersebut.

Katanya, kerajaan tidak mengeluarkan satu sen pun kerana sistem berkenaan dikendalikan oleh syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab selama lima tahun.

"Selepas habis tempoh lima tahun, syarikat tersebut akan menyerahkan semua kamera, kenderaan, termasuk peralatan di pusat operasi," jelasnya. -UtusanOnline


KD: AES = adalah jaminan kepada pemandu yang berhemah... tetapi cabaran kepada pemandu yang gemar melanggar undang-undang lalu lintas..
PM LANCAR GAGASAN NAJ1B
Najib Tun Razak 
LUMUT - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan "Gagasan NAJ1B", iaitu lanjutan kepada pendekatan Gagasan Aman Jaya yang selama ini dipraktikkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Gagasan NAJ1B yang merupakan akronim kepada Gagasan Negeri Aman Jaya 1Malaysia Bersatu, cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dilancarkan sempena program Jamuan Janji Ditepati, di sini.

Majlis itu merupakan antara beberapa acara yang dihadiri Perdana Menteri sempena lawatan beliau ke Teluk Intan, Seri Manjung dan Lumut.

Zambry berkata Gagasan NAJ1B akan memperkukuh lagi slogan "Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir" dalam memastikan semua rakyat mendapat nikmat daripada limpahan kemakmuran negeri di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Beliau berkata gagasan itu juga merupakan terjemahan kepada pendekatan 3P iaitu Pandang, Perasaan dan Penyelesaian yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Melalui pendekatan-pendekatan ini, pada akhirnya, rakyat yang hidup aman dan berjaya akan menyumbang kepada pencapaian matlamat negara Malaysia yang bersatu padu melalui konsep 1Malaysia," katanya. – Bernama/SinarHarian
UNSUR ANARKI DALAM MEDIA DIGITAL SEMAKIN JELAS - KADIR JASIN

PETALING JAYA: Unsur anarki dalam media terutama berasaskan Internet di Malaysia dijangka akan menjadi lebih buruk melalui perang siber menjelang pilihan raya umum.

Ia dikhuatiri mengakibatkan pengundi membuat pilihan kerana kekeliruan dan bukan kefahaman, kataTokoh Wartawan Negara Datuk A.Kadir Jasin.

Semasa berkongsi pemerhatian itu dalam wacana "Komunikasi Massa: Antara Demokrasi dan Anarki" di sini, Khamis beliau berkata anarki dalam media digital secara terang-terangan memutar-belitkan fakta dan dalam masa yang sama tidak menghormati hak menjawab (mereka yang dilibatkan).

Katanya unsur anarki dalam media berlaku apabila mereka yang tidak terlatih dalam selok belok kewartawanan, tidak arif mengenai undang-undang berkaitan dan etika kewartawanan serta mentakrifkan kebebasan secara literal, telah melantik diri menjadi 'wartawan'.

"Boleh dijangkakan perang siber ini mungkin memburukkan unsur anarki ini yang akan berlaku dengan lebih hebat dalam masa yang singkat apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan tarikh PRU (pilihan raya umum) ditentukan. "Ini situasi yang perlu diperhatikan oleh pengkaji-pengkaji media, PRU akan datang banyak bukan ditentukan oleh kefahaman, tetapi kekeliruan.

"Ini kemungkinan yang sangat berbahaya apabila orang yang akan keluar mengundi, tidak keluar mengundi atau merosakkan undi kerana kekeliruan," kata Kadir.

Kadir yang juga blogger 'The Scribe A Kadir Jasin' berkata pengendali blog tidak harus menyiarkan komen-komen yang memihak kepada mereka sahaja.

Beliau berkata kewartawanan warga ) di alam siber kini juga sudah dicemari oleh orang politik dan kapitalis.

Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, laman-laman blog terang-terangan dimiliki, diilhamkan dan dibiayai parti-parti politik, dan sekaligus memberi gambaran bahawa medium Internet itu diakui berkesan dan mempunyai peluang ekonomi dalam kegiatan itu.

"Dulu tidak ada blogger upahan, sekarang banyak blog yang sudah tidak berkecuali. Dulu nampak anti-establishment atau tidak menyokong pihak berkuasa, hari ini tidak lagi bersikap demikian," katanya.

Kadir ketika menyimpulkan wacananya berkata anarki siber sudah menjadi sebahagian landskap komunikasi massa malah merumitkan industri itu sendiri.

"Hari ini seorang programmer mencipta satu program yang dihakmilikkan, sebaik sahaja disebarkan atau dilancarkan akan ada beratus-ratus atau beribu-ribu orang yang cuba memecahkannya, mereka (ini) juga adalah anarkis alam siber," katanya.

Beliau juga menyimpulkan bahawa ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi memberi kesan dalam pendemokrasian maklumat selain memecahkan monopoli media tradisional dan media arus perdana ke atas maklumat dan pendakyahan (propaganda).

"ICT sudah mula melahirkan generasi tanpa sempadan, tanpa wajah dan terdedah kepada penerimaan berita 'hearsay' atau cakap mulut. Bagi saya ia membimbangkan akibat ketidakcekapan dan ketidak bertanggungjawaban pengguna dan pemilik teknologi," katanya.

Kadir yang ditanya mengenai cadangan penubuhan Majlis Media Sosial, berkata beliau tidak menentang penubuhan majlis itu. "Tubuhlah, kalau hendak buat, saya tidak bangkang. (Tapi jika) hendak kawal media Internet, hampir mustahil sebab sampai sekarang tidak boleh kesan semua pemilik blog, tutup hari ini, esok (timbul) yang baharu," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas wacana itu, Kadir menggesa wartawan supaya memainkan peranan mereka dalam usaha mencegah penyebaran unsur anarki dalam media.

"Wartawan perlu selalu mengingatkan diri agar menulis berdasarkan fakta, selalu membuat kajian dengan banyak membaca dan tidak terlalu bergantung pada kenyataan akhbar dan teks ucapan semata-mata,"katanya.

Katanya, wartawan kini lebih seharusnya jauh lebih berpengetahuan dan bijak menggunakan maklumat yang terdapat dalam Internet untuk memberikan artikel yang bermaklumat tepat kepada khalayak.-BERNAMA/mStar