Tuesday, May 8, 2012

USAH RAGUI FATWA

KUALA LUMPUR: Jika fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan diragui di mana lagi tempat rujukan umat Islam kerana ia dibuat sebagai panduan disebabkan banyak perkara baru berlaku akibat arus pemodenan zaman.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali berkata, sesuatu fatwa bukan boleh dikeluarkan sekelip mata atau menggunakan sebelah mata dan ia memerlukan rujukan serta kajian mendalam daripada semua aspek.
“Fatwa mesti dibuat kerana kita kini menongkah alam kehidupan di zaman moden dan banyak benda baru berlaku tidak terdapat secara jelas dalam undang-undang Islam.


 “Kita tidak perlu meragui mereka yang terbabit dalam Majlis Fatwa kerana bukan calang-calang orang, saya sendiri semasa masih menjadi Exco Selangor mengetahui proses dilakukan mufti dan Majlis Fatwa Selangor, berapa banyak kitab dan pandangan ulama mereka perlu rujuk. Ia bukan sekelip mata atau sebelah mata,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini, semalam.

Ahad lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara, bagaimanapun pemimpin pembangkang termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak bersetuju ketetapan itu.

Dr Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, fatwa itu dikeluarkan merujuk kepada perhimpunan Bersih 3.0 pada hujung bulan lalu jelas tergelincir dari matlamat asal menuntut pilihan raya lebih telus sebaliknya bertukar kepada mini revolusi.

AKTA PILIHAN RAYA 1958 WAJAR DIPINDA

PUTRAJAYA: Peruntukan dalam Akta Pilihan Raya 1958 yang melarang penelitian kehakiman terhadap daftar pemilih yan dimuktamadkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar dipinda bagi memastikan ketelusan proses pilihan raya selain perlindungan kepada pengundi dan parti politik.

Saranan itu, antara lain terkandung dalam Audit Penadaftran Pengundi Kebangsaan 2011, yang keluarkan Institut Demokrasi dan Integriti Pilihan Raya Kebangsaan (NIEI) serta Merdeka Centre, baru-baru ini.

Laporan audit itu menyifatkan peranan badan kehakiman dalam menangani permasalahan daftar pengundi selain hak pengundi serta parti politik semakin terhakis berikutan pindaan terhadap Akta Pilihan Raya pada Jun 2002.

Sumber: Berita Harian


TUN M MAHU RAKYAT BERFIKIR SECARA RASIONAL

ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir mahu rakyat berfikir secara rasional mengenai kesan bakal diterima jika menjatuhkan kerajaan melalui rusuhan sebagaimana yang cuba dilakukan pembangkang melalui perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

Bekas Perdana Menteri berkata, negara akan terjerumus kekancah huru-hara berpanjangan jika usaha pihak terbabit berjaya menggulimgkan kerajaan dipilih melalui demokrasi.

“Mereka mahu jadikan negara ini seperti Mesir dan Tunisia yang kerajaannya dijatuhkan melalui rusuhan. Sekarang Syria, bila kerajaan tidak boleh minta kuasa asing tolong jatuhkan tak kirakah guna senjata apa pun.

Rakyat kena fikir perkara ini dan tak boleh benarkan berlaku dengan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang ” katanya.

Sumber: Berita Harian
KERAJAAN PAS KEDAH GAGAL ATASI MASALAH KUIN

ALOR SETAR: Kerajaan Pas Kedah didesak segera menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang didakwa semakin kritikal hingga membebankan kakitangan dan pelajar institusi milik kerajaan negeri itu.

Masalahitu berlarutan sejak akhir tahun lalu, jika dibiarkan boleh menjejaskan reputasi KUIN sebagai universiti milik rakyat Kedah yang menyediakan peluang pendidikan peringkat tinggi kepada lepasan sekolah, khususnyadari negeri ini.

Ketika mendedahkan perkara itu, Adun Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau mendapat maklumat masalah kewangan dihadapi KUIN tidak boleh dipandang remeh kerana kakitangan, termasuk pensyarah mengeluh apabila mula tertekan dengan masalah kewangan itu.

Sumber: Berita Harian    
PERHIMPUNAN GUNA TAKTIK MARXIS

KUALA LUMPUR: Perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu menyerupai taktik perjuangan ala-Marxis, fahaman ideologi komunis, yang membabitkan hasutan politik dan propaganda, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Katanya, demonstrasi jalanan berserta maki hamun dan keganasan adalah salah satu bentuk hasutan dalam fahaman Marxis, manakala propaganda dilakukan bertujuan menghentam badan kerajaan sehingga menggunakan kempen peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, ini termasuk tindakan pembangkang memburukkan sistem negara sebagai tidak adil dengan menyerang integriti pasukan polis, badan kehakiman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dilelongnya (oleh pembangkang) semua itu ke antarabangsa, berjumpa (media asing) BBC, CNN... mengadakan sidang akhbar di Australia, Singapura... inilah propaganda.

“Satu lagi contoh ialah bekas Menteri Besar Perak (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) menuduh Perdana Menteri memanggil semua panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (mendakwa Datuk Seri Najib Razak meminta mereka melakukan sesuatu jika Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13).

“Bagi saya, taktik Marxis jelas dipergunakan oleh kumpulan ini. Satu contoh yang baik ialah perhimpunan BERSIH 3.0 ‘dirampas’ secara agresif, ia cara Marxist walaupun ini bukan bermakna mereka adalah komunis. Namun, taktik gerakan massa bercorak Marxist tidak kurang bahaya.

“Taktik ala-Marxis masih dipergunakan oleh orang berkepentingan di mana-mana seluruh dunia, termasuk gerakan massa ‘Arab Spring’. Saya sudah masak dalam perkara ini. Malah, cemuhan terhadap polis dengan panggilan ‘anjing’ ketika perhimpunan BERSIH 3.0 adalah istilah komunis yang dulu memanggil polis ‘anjing British’,” katanya dalam wawancara khas dengan Berita Harian di sini, semalam.

Justeru, walaupun ancaman komunis di negara ini sudah menjadi sejarah, Rahim menasihati seluruh rakyat Malaysia supaya tetap berwaspada bagi memastikan keselamatan negara tidak berkocak.

“Janganlah sehingga pisang berbuah dua kali. Keadaan huru-hara dan berkocak angkara individu tertentu akan membolehkan pihak mengambil kesempatan.

Janganlah membuka ruang penderitaan rakyat kita yang dulu berulang.

“Saya bimbang perkara seperti ini (demonstrasi jalanan) menjadi modus operandi atau pendekatan aktivis sosial mahu pun ahli politik untuk memperjuangkan ideologi untuk mencapai matlamat mereka, dengan melanggar undang-undang dan bukan secara berparlimen,” katanya.

Dalam konteks ini, Rahim mempersoalkan sikap membisu Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Datuk S Ambiga berhubung tindakan peserta melanggar undang-undang pada perhimpunan BERSIH 3.0.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak berkenaan menuding jari menyalahkan polis yang hanya menjalankan tugas mengikut Akta Polis untuk menjaga ketenteraman awam, termasuk dari segi keselamatan orang ramai dan harta-benda.

“Apakah bagi Majlis Peguam, SUHAKAM dan Ambiga, polis perlu berpeluk tubuh saja apabila keadaan kucar-kacir tercetus daripada perhimpunan aman yang menyemarak menjadi ganas?” katanya.