Sunday, December 8, 2013

UMNO TIDAK PERNAH RASIS - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Umno tidak pernah bersikap rasis malah bersikap adil kepada semua kaum di negara ini.

Beliau berkata, demi keseimbangan sosial dan keadilan jangka panjang bersama kaum lain, orang Melayu dan Bumiputera mesti dipertingkatkan kedudukan mereka.

Najib menegaskan supaya tidak ada pihak yang bersikap apologetik kerana ini adalah hak orang Melayu dan Bumiputera yang perlu dilaksanakan.

"Tetapi kita tidak nafikan hak kaum lain. Bila masa kaum lain terbantut perkembangan kedudukan mereka di negara kita?

"Bila masa kita laksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), adakah mereka (kaum bukan Melayu) terpinggir, adakah rezeki terputus? Terbukti bahawa Umno adil kepada semua kaum," katanya pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Sehubungan itu, Najib meminta supaya tiada pihak yang menunding jari kepada Umno sebagai rasis.
"Umno bukan rasis, Umno tidak pernah rasis. Umno sentiasa bersikap adil kepada semua.

"Dan kita hendak mereka (kaum lain) untuk sama-sama dengan kita... Cina, India, Kadazan, Iban dan semua (kaum) untuk sama-sama dengan kita tetapi kepimpinan negara ini diterajui Umno untuk memberi keadilan," katakan.


Sumber: mStar Online

PULAU PINANG TETAPKAN SYARAT JUAL SEMULA RUMAH

GEORGE TOWN: Rumah di Pulau Pinang yang dibeli pada harga RM400,000 dan ke bawah tidak lama lagi akan dilarang untuk dijual semula dalam tempoh masa yang tertentu tanpa persetujuan kerajaan.

Diumumkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang akan mengenakan peraturan perumahan yang ketat mulai 1 Februari tahun depan bagi mengekang spekulasi hartanah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, rumah mampu milik yang dibeli pada harga di bawah RM400,000 di Pulau Pinang dan RM250,000 di tanah besar itu tidak boleh dijual selama lima tahun, manakala unit perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang berharga sehingga RM72,500 di seluruh negeri tidak boleh dijual selama 10 tahun.

Beliau berkata, pemilik unit-unit ini yang mahu menjual mereka dalam tempoh berkenaan perlu membuat rayuan kepada kerajaan negeri dahulu dan unit-unit hanya boleh dijual kepada mereka yang berkelayakan iaitu "pembeli yang disenaraikan" yang berdaftar dengan jabatan perumahan negeri.

Lim dalam satu kenyataan media pada Ahad bahawa, peraturan itu melibatkan pembelian rumah sebelum ini dan akan datang.


Sumber: mStar Online
PAHANG PERTIMBANG MANGSA BANJIR DIKECUALI BAYAR BIL AIR

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang mempertimbang untuk mengecualikan mangsa banjir membayar bil air di sepanjang tempohmereka ditimpa musibah banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah itu adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan beban rakyat yang ditimpa banjir'luar biasa' beberapa hari lepas.

"Kita akan tengok daripada bulan berapa sampai bulan berapa.

"Saya harap (mangsa banjir) sabarlah. Saya juga sedih melihat kemusnahan yang berlaku akibat banjir dan keadaan yang menimpa mangsa sebab saya tidak ada banyak wang untuk diberikan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsabanjir di pusat pemindahan Wisma Belia di sini Ahad.

Seramai 10 pegawai perubatan dan 10 jururawat akan ditempatkan di pusatpemindahan berkenaan bagi memantau tahap kesihatan dan memberi rawatan segerakepada mangsa.

Turut hadir Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Profesor Datuk Dr Abu Hasan Asaari Abdullah.

Adnan dalam pada itu berkata, kerajaan juga akan berusaha mencari mekanisme terbaik untuk memastikan bantuan dapat disalur secara berkesan kepada mangsa banjir berikutan terdapat rungutan berhubung agihan bantuan di pusat pemindahan.

"Bencana banjir kali ini adalah luar biasa dan turut melibatkan bilangan mangsa terlalu ramai di kawasan-kawasan tidak dijangka menyebabkan proses menghulurkan bantuan sedikit bercelaru.

"Oleh itu, kita (kerajaan negeri) akan mendapatkan mekanisme terbaik untuk memastikan semua mangsa terlibat banjir menerima bantuan," katanya.

Katanya lebih 1,000 anggota tentera juga ditempatkan di 16 lokasi terjejas banjir melibatkan lapan daerah di Pahang sejak beberapa hari lalu.

Lapan daerah terlibat banjir di negeri itu ialah Bera, Temerloh, Lipis, Jerantut, Rompin, Pekan, Maran dan Kuantan melibatkan keseluruhan mangsa lebih 40,000 orang.

"Anggota tentera ditempatkan bagi memberi bantuan perubatan serta membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir di kawasan terlibat.

"Tentera juga menghantar tukang-tukang masak untuk menyediakan makanan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di semua daerah terjejas," katanya. –BERNAMA

Sumber: mStar Online

KD: Inilah contoh kerajaan negeri yang prihatin..

MAT SABU TERLIBAT SYIAH?

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggemparkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 apabila meminta Jakim mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah.

Menteri Dalam Negeri itu ketika sesi penggulungan PAU hari ini memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.

Dalam Muktamar Pas ke 59 baru-baru ini, Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden Pas.

Ahmad Zahid juga turut menggesa pemimpin Pas supaya tidak berselindung di sebalik perjuangan parti dan menyeru ahli Pas menolak ajaran sesat.

"Kita tahu pemimpin Syiah dalam Pas, parti itu perlu ketepikan politik sebegini, saya hairan bagaimana pemimpin ini boleh dilantik dalam parti.

"Saya berbesar hati jika Pas turut ikut banteras ajaran syiah, alangkah bagus Pas menunjukkan keberaniannya menolak pemimpin besar itu," katanya lagi.

Dalam pada itu, sebagai usaha membanteras ajaran sesat termasuk ajaran Syiah, beliau mencadangkan supaya Jabatan Kemajuan Agama Islam dengan kerjasama KDN menubuhkan suruhanjaya khas bagi menangani gejala tersebut.

Selain menguatkuasa Akta Pertubuhan 1966, usaha itu perlu bagi membendung ajaran sesat daripada menular di negara ini yang boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

"Ajaran Syiah semakin bahaya, musuh Islam ialah Syiah dan kerajaan sedang giat menanganinya dengan Jakim," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian