Thursday, July 5, 2012

UNISEL: APA KATA ORANG LAMA?
Kontroversi Unisel
      
Ketika menyelak lembaran Sinar Harian, KD terpandang isu ini. Sebelum ini, KD tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai Universiti Selangor atau nama ringkasnya Unisel, tetapi apabila satu muka surat akhbar itu menggunakan tajuk ‘Kontroversi Unisel’, KD teruja membacanya.

Laporan hari ini menyiarkan pandangan dari dua  ‘orang lama’ Unisel iaitu Bekas Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Razali Agus dan Bekas Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Unisel, Halid Hasbullah.

Profesor Datuk Dr Razali Agus berpendapat, operasi Unisel ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) lebih menguntungkan kerana kemasukan pelajar yang ramai. Kemasukan lebih ramai pelajar bermakna lebih untung kepada Unisel. Sebab itu , pada tahun 2007 semua kakitangan universiti itu diberikan bonus sebulan gaji.

Sementara itu, bagi Halid Hasbullah, persepsi yang mengaitkan Unisel sebagai ‘universiti pembangkang’ dan alat politik adalah antara punca penurunan jumlah kemasukan pelajar sejak 2008. Selain itu, kes rogol yang mengaitkan seorang Timbalan Naib Canselor juga menyebabkan ibu bapa berasa gusar untuk menghantar anak mereka ke universiti itu. Keadaan ini menjelaskan sejak pembangkang mengambil alih, Unisel menghadapi pelbagai isu termasuk peletakan beliau dan bekas Dekan Fakulti Perniagaan, Profesor Dr Khalifah Othman yang berpunca daripada ketidakadilan terhadap mereka.

Kini,  selepas keputusan kerajaan membekukan pinjaman PTPTN kepada universiti itu, Unisel terus bergolak. Apakah yang terjadi selepas ini? Siapa pun tidak dapat menduga. 
CADANGAN HUDUD DI JOHOR

Isu cadangan Hudud di Johor terus menjadi isu paling hangat diperkatakan minggu ini. Sokongan demi sokongan terus diterima. Pastinya badan bukan kerajaan (NGO) Islam adalah pihak paling gembira dengan cadangan ini, sekaligus menawarkan khidmat bantuan nasihat dan pandangan.

Hari ini, dalam akhbar Sinar Harian, beberapa pihak lagi memberi reaksi. Ia termasuklah Kerajaan Kedah, Perkasa, Murshid dan Ilmu. Berikut adalah petikan pandangan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pihaknya akan patuh pada ketetapan Pas Pusat berhubung perkara itu. Bagaimanapun, perkara berkaitan hudud lebih sesuai dibincangkan di peringkat mufti atau ulama untuk lebih kefahaman, berbanding membincangkan pihak mana terlebih dahulu melaksanakannya.

Setiausaha Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan ini. Walau bagaimanapun, Perkasa tidak bersetuju sekiranya hukum hudud itu dilaksanakan ‘ala’ Pas.

Pihak Multaqa Asatizah & Pendakwah Malaysia (Murshid) pula menawarkan kesediaan membantu mana-mana pihak yang ingin melaksanakan hukum hudud Islam itu. Namun, sebelum itu, pelbagai aspek perlu diambil kira bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjadi isu berbangkit.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) yang diwakili Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya sebulat suara menyokong cadangan itu, sekali gus menawarkan penglibatan Ilmu secara sukarela dalam  membantu melicinkan proses perlaksanaan hukum hudud di Johor. Sebagai langkah awal, Ilmu memutuskan untuk mengeluarkan surat rasmi kepada Umno Johor yang mengutarakan pendapat dan cadangan Ilmu berhubung perkara tersebut.

KD: Apa yang dibimbangkan, isu ini dipolitikkan. Hanya pandai cakap, tetapi tiada satu pun tindakan diambil. Kalau begitulah, memang tidak wajar. Ini kerana, isu agama bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah dan dipermainkan. Semua yang berkenaan pasti sudah maklum. Jangan kerana obses dengan politik, hal agama dibolak-balikkan.

Yang penting, KD percaya jika sesuatu perkara diusulkan dengan niat yang baik dan murni, diselaraskan dengan sokongan dan kerjasama dari semua pihak, pasti ia dapat dilaksanakan dengan lancar serta praktikal. 
HARGA PETROL RON97 TURUN 20 SEN
      
KUALA LUMPUR: Harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.60 seliter, berkuat kuasa esok.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, keputusan menurunkan harga tersebut berikutan purata harga minyak di pasaran bagi Jun 2012 telah menurun.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 bagi bermula hari ini. - Bernama

KD: Yeehaaa!!! Pasti ramai yang bersorak riang. Sebelum ini iaitu pada 6 jun lalau, kerajaan telah menurunkan sebanyak 10sen seliter. Hari ini, dengan pengurangan sebanyak 20 sen , ramai pengguna RON97 menarik nafas lega kerana ia sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka.