Wednesday, September 19, 2012

DEMI WANG, KARUNG WANG BERISI RM1.2 JUTA DILARIKAN

Kejadian berlaku di Kamunting, Taiping, Perak
TAIPING - 'Kawan makan kawan', itulah istilah yang tepat bagi menggambarkan tindakan seorang pengawal keselamatan yang sanggup menembak rakan setugasnya sebelum melarikan enam beg plastik berisi wang tunai berjumlah kira-kira RM1.2 juta yang dibawa dalam sebuah van keselamatan di Jalan Tekah, Asam Kumbang di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa, Hasnul Hafis Saad, 28, dalam perjalanan pulang bersama suspek ke syarikat tempat mereka bekerja, Safeguard Securicor di Kampung Boyan selepas mengambil wang mesin deposit di beberapa bank berhampiran.

Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan empat kesan tembakan di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.

Sehingga pukul 8.30 malam ini, polis masih memburu rakan mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan ke atas van tersebut mendapati enam daripada 13 plastik hitam mengandungi wang bernilai RM1.2 juta telah hilang dalam kejadian itu.

"Kita masih siasat bagaimana van itu boleh berada di jalan tersebut sedangkan kita dimaklumkan oleh pihak syarikat bahawa ia bukan laluan van itu hari ini.

"Siasatan awal juga mendapati tiada kesan pergelutan dan kesan kekerasan dari luar van berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yusof berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya sedang mengesan rakan mangsa yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, polis sedang mengesan seorang lelaki, Mohd. Hafizuddin Zainal Abidin (gambar), 25, yang dipercayai dapat membantu siasatan kes tersebut.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi 05-8291222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. –Utusan Online
HUDUD TAK BAIK BUAT PEMBANGKANG

Karpal Singh
PETALING JAYA - Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi amaran pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tetap melaksanakan hudud bakal memberi kesan tidak baik terhadap pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Pas akan diberi nasihat secara mendalam agar mematuhi peruntukan Perlembagaan yang telah diterima pakai sejak negara mencapai kemerdekaan," katanya sebagai reaksi segera kepada pendirian terbaru Nik Abdul Aziz.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini melalui laman blognya menegaskan, pelaksanaan hudud tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia diwajibkan di dalam Islam dan hukum tersebut bukan satu pilihan untuk manusia menerima atau menolak.

"Tiada hukum atau undang-undang di dunia ini sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dahulu baru ia dilaksanakan," kata Nik Aziz pada 24 Ogos lalu.

Menurut Karpal seperti dipetik dalam akhbar The Sun hari ini, hujah Mursyidul Am Pas itu tidak mempunyai asas undang-undang selain tidak rasional kerana ia mengabaikan jangkaan awam bahawa semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen, mesti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Malah Parlimen juga tunduk kepada Perlembagaan. Parlimen tidak boleh melulus atau mengiktiraf undang-undang yang diluluskan Dewan Undang Negeri (DUN) yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya merujuk kepada Enakmen Kod Jenayah Syariah Negeri Kelantan yang diluluskan Pas 19 tahun lalu.

Dalam pada itu, Karpal menolak dakwaan Nik Abdul Aziz kononnya hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di Kelantan kerana wujud bantahan dari Kerajaan Persekutuan.

"Undang-undang seperti hudud adalah terbatal penubuhannya. Persetujuan dari Kerajaan Persekutuan tidak serta tidak boleh memberi apa-apa kuasa," tegas Karpal yang konsisten menolak hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.

"Pas perlu menerima realiti. Walaupun ia pahit, desakan agar hukum hudud dilaksanakan di Malaysia hanyalah retorik semata-mata," tambahnya.

Perdebatan dan perbalahan antara Pas dan DAP mengenai hukum hudud berterusan selepas isu itu kembali ditimbulkan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hasan baru-baru.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menegaskan bahawa pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud selagi tidak mendapat persetujuan DAP dan hukum itu juga tiada dalam perancangan Buku Jingga. -UtusanOnline

SELANGOR BELUM PUTUSKAN PILIHAN RAYA DUN BERASINGAN ATAU SERENTAK PRU13

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak ataupun berasingan dengan pembubaran Parlimen oleh kerajaan Persekutuan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perancangan untuk membuat pilihan raya DUN berasingan atau serentak dengan PRU-13 merupakan strategi kerajaan negeri namun ini bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menentukan tarikh PRU-13.
 
"Kita tak tahu tarikh pilihan raya yang sebenar...ini adalah jawapan kepada spekulasi, ada baiknya pilihan raya berasingan dan ada baiknya pilihan raya di buat secara bersama...perbincangan ini berdasarkan spekulasi (berhubung tarikh pilihan raya) dan strategi bagaimana kita mahu menghadapinya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengumumkan pendiriannya bahawa Selangor tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan negeri-negeri lain pada PRU-13.

Anwar, yang juga anggota Parlimen Kepala Batas turut menjangkakan PRU-13 diadakan November berpandukan isyarat yang semakin jelas ditunjukkan oleh Perdana Menteri.

Abdul Khalid berkata: "Kita tengoklah pada strategi, ada baiknya kita buat pilihan raya berasingan...namun ikutlah pada keperluan...jika pilihan raya di buat pada 8 Mac tahun depan, tidak bolehlah kita nak buat pilihan raya berasingan.

"Apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Anwar itu hanyalah strategi pilihan raya bagi pihak kita...sebab orang bertanya (berhubung pilihan raya berasingan)kepada dia...jadi dia pun jawablah," katanya.

Abdul Khalid berkata sebab utama kerajaan negeri belum membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara serentak atau tidak adalah kerana pihaknya mahu memastikan pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih.

"Sehingga kini, kita dapati hampir 50,000 orang pengundi masih belum dapat dikenal pasti status mereka di Selangor ini dan kita akan menggunakan pelbagai cara untuk mencari dan mengenal pasti kewujudan pengundi ini," kata Menteri Besar.-BERNAMA/MStar
LEBIH BANYAK RUMAH MAMPU MILIK AKAN DIBINA

PETALING JAYA: Kerajaan berharap untuk membina kira-kira 30,000 hingga 50,000 rumah mampu milik pada tahun hadapan bagi golongan yang berpendapatan sederhana.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata pihak pemaju swasta bekerjasama dengan kerajaan, rumah mampu milik yang berharga tidak lebih daripada RM300,00 akan dapat dibina.

"Golongan berpendapatan sederhana yang mempunyai pendapatan antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan hanya mampu untuk membeli rumah seperti ini. Kita merasakan permintaan untuk rumah sedemikian sangat tingg," katanya selepas merasmikan 'The Winners Announcement of The Golden Bull Award 2012' di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai apa yang beliau mahukan untuk kementeriannya dalam Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan.

Sambil mengakui rumah berharga antara RM300,000 hingga RM400,000 adalah agak ‘mustahil’ untuk ditemui di Kuala Lumpur, beliau mencadangkan Syarikat Perumahan Malaysia Berhad, menggunakan tanah awan untuk membina rumah tersebut.

Chor juga mencadangkan agar rumah berkenaan didina di lokasi di luar Kuala Lumpur sebagai contoh di Kajang, Semenyih dan Rawang.

Ditanya sama ada insentif akan ditawarkan kepada syarikat pemaju yang membina lebih banyak rumah mampu milik, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri lebih fleksibel dengan membenarkan pemaju swasta membina rumah yang bernilai tidak lebih daripada RM200,000.

Beliau berkata pada ketika ini pemaju hartanah dikehendaki mengikut kuota 30 peratus untuk membina rumah kos rendah dalam satu projek.

"Pada tahun 1980 an, permintaan bagi rumah kos rendah adalah tinggi tetapi kini ramai yang mampu membeli rumah kos sederhana. Pemaju akan menanggung kerugian dan lebih bersedia untuk membina rumah sedemikian," katanya. -MStar