Tuesday, August 21, 2012

DAP MAHU UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT PARTI

Post Pic
GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang merancang untuk melaksanakan undang-undang "anti lompat parti" di negeri itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kertas kerja mengenai perkara itu akan dibincangkan di mesyuarat exco negeri akan datang.

"Kita akan mendapatkan nasihat dari penasihat undang-undang negeri.

"Jika ahli-ahli exco bersetuju, (undang-undang) "anti lompat parti" akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri pada November nanti," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Pengerusi DAP Karpal Singh semalam turut menyuarakan pendirian yang sama menentang tindakan lompat parti.

Beliau berkata tindakan merupakan perkara yang serius kerana melibatkan pengkhianatan anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang dipilih rakyat.
   
"Anda tidak boleh mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan kehendak rakyat dan DAP tidak akan bertolak ansur dengan tindakan melompat parti," kata beliau.

Walau bagaimanapun katanya, mahkamah telah mengisytiharkan bahawa tindakan melompat parti tidak menyalahi undang-undang namun melanggar hak perlembagaan untuk kebebasan berpersatuan.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini "meraikan" tindakan lompat parti oleh pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Sabah selain menyifatkan wujud budaya baru dalam pendekatan politik tanah air.

Katanya latarbelakang bukan lagi menjadi kepentingan sebaliknya individu yang mampu memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

“Pada saya, tidak kira samada anda bekas ahli Umno, bekas ahli NGO, bekas ahli MCA, itu bukan masalah.

“Anda haruslah menerima budaya baru dalam kehidupan politik kita, terima agenda baru.." kata beliau dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ Jumaat lalu.-AntaraPos.com