Wednesday, September 12, 2012

DANA ASING: 135 NGO BANTAH SIASAT SUARAM

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menjalankan siasatan terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berhubung isu penerimaan dana asing bagi membiayai pertubuhan tersebut mendapat bantahan daripada lebih seratus pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga mendakwa tindakan kerajaan menjalankan siasatan terebut menimbulkan keraguan terutama kepentingan politik.

"Mengapa selepas Presiden Rangkaian Melayu Malaysia (JMM) mempersoalkan kesahihan Suaram sebagai badan NGO, barulah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjalankan siasatan mereka?

"Jika dilihat persatuan-persatuan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, mereka juga menerima dana asing.

"Kita ingin beritahu kerajaan bahawa Suaram tidak akan berdiri sendiri, kita akan menyokong mereka," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama 135 NGO yang menyatakan sokongan terhadap Suaram.

Suaram sebagai sebuah NGO bebas sebelum ini dipersoalkan berikutan menerima peruntukan tahunan secara konsisten dari 'National Endowment for Democracy' (NED) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sejak 2006.

Menurut portal AIDC, seperti dinyatakan dalam laporan tahunan NED, Suaram menerima sejumlah US$385,000 (RM1,218,328.65) bagi tahun 2006, 2007, 2008 dan 2009.

Dalam pada itu Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong berkata, NGO yang menerima dana asing daripada pelbagai sumber menggunakan peruntukan tersebut untuk menjalankan program tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Jika itu adalah wang George Soros (spekulator mata wang), apa yang dia lakukan (salurkan dana) adalah urusan dia. Tetapi mengapa kerajaan cuba mempertikaikan dana ini kerana semata-mata Soros terlibat dalam spekulasi mata wang pada lewat 90-an," katanya.

"Ia bukan dana asing, ia adalah pembiayaan global. Kerajaan Malaysia juga ada menerima pembiayaan dari negara luar dan memberi dana kepada negara luar untuk program tertentu, adakah ini bermakna mereka berkhidmat untuk kepentingan asing?," katanya.

Suaram juga dianggarkan menerima dana berjumlah RM558,000 daripada sebuah NGO di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan Soros.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan dokumen masing-masing bertarikh 17 Oktober 2007, 18 Disember 2008 dan 12 Februari 2010, dana berjumlah keseluruhan AS$188,775.65 diterima Suaram daripada Open Society Institute di New York di mana Soros ialah pengasas dan pengerusi NGO terbabit./MStar

NIK AZIZ ULANGI MAHU ADAKAN PILIHAN RAYA SERENTAK

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Selasa mengulangi pendirian PAS Kelantan sama sekali tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya Mursyidul Am PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata pembubaran DUN akan diadakan serentak dengan kerajaan pusat sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen.

"Tidak..tidak..tidak (untuk membubarkan DUN sendirian), kita buat serentak dengan Pusat," katanya ringkas kepada pemberita di pejabatnya di sini. -BERNAMA/MStar
TEGURAN SULTAN JOHOR, ZAHID PERLU BERTANGGUNGJAWAB

KUALA LUMPUR: PAS memandang serius teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang murka dengan pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata, teguran itu perlu diambil tanggungjawab oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan negara ini.

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab, jangan pula pegawai yang dimangsakan pula di dalam kes ini.

"Teguran ini datang daripada seorang Sultan. Selama ini pihak pembangkang sudah kerap kali membuat teguran. Semua kritikan itu dibangkul sampahkan sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Ismail Ibrahim yang murka ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera. -Harakahdaily