Monday, July 22, 2013

AHLI SYIAH CECAH SEJUTA? 

SHAH ALAM – Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi anggaran tepat kerana tidak mempunyai data mengenainya.

“Jumlah yang tepat kita tidak ada. Kita hanya mengambil kira jumlah itu berdasarkan pelbagai pandangan dan laporan di media.

“Ada laporan mengatakan 300,000 orang. Paling ramai pernah dilaporkan mengenai jumlah pengikut Syiah di Malaysia ialah sejuta orang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jumlah sebenar pengikut ajaran Syiah di Malaysia.

Diminta mengulas mengenai cadangan mewartakan fatwa anti-Syiah di negara ini, Mohd Kamilzuhairi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan.

“Saya tidak mahu komen panjang. Terserah kepada kepada menteri terlibat untuk buat keputusan mengenai Syiah.

“Cuma apa yang boleh saya kata, sesuatu perkara yang salah lambat laun pasti akan musnah. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Kerajaan Kedah bercadang mewartakan fatwa anti Syiah selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat kebangsaan sebelum ini. –Sinar Harian