Tuesday, December 3, 2013

TPP: MALAYSIA USAH IKUT TELUNJUK NEGARA BESAR

KUALA LUMPUR - Kaukus Parlimen perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan memastikan perjanjian yang membabitkan Malaysia tidak akan mengikut telunjuk negara-negara besar.

Pengerusi Kaukus Parlimen TPP, Datuk Ahmad Hamzah berkata, ia penting bagi menjaga kedaulatan negara daripada dicemari mana-mana pihak.
 
“Diharapkan kerajaan terus merundingkan perkara ini secara sukarela tanpa tekanan mana-mana pihak berlandaskan Perlembagaan Malaysia, kuasa-kuasa negeri dan dasar penting dipertahankan.

"Dalam memastikan perkembangan ekonomi negara, harus ada perlindungan promosi, pencapaian dan kesejahteraan yang mendahulukan rakyat,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Katanya, pihaknya akan terus mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi mengikuti perkembangan terbaru berkenaan TPP.

“Pertemuan sekerap mungkin dengan Miti serta pihak lain yang berkepentingan agar dapat bertukar maklumat dengan pihak kementerian dan seterusnya akan menjemput pakar-pakar untuk memberi keterangan tentang isu kritikal di dalam perjanjian TPP sebelum merangka laporan kaukus.

“Walaupun butiran rundingan tidak dapat didedahkan, kaukus Parlimen mendapati pihak kerajaan Malaysia menunjukkan usaha dan dedikasi bagi memastikan kepentingan negara diutamakan dalam perbincangan TPP,” katanya.

Kata beliau, sehingga kini tidak banyak kemajuan yang tercapai dalam rundingan yang baharu tamat dan isu tertunggak sejak pusingan di Brunei pada 21 hingga 30 Ogos masih tidak diselesaikan.

“Negara terakhir menyertai proses ini ialah Jepun apabila rundingan ke-18 mengenai TPP berlangsung di Kota Kinabalu, Julai lalu,” katanya.

Negara-negara yang terlibat dalam rundingan TPP ini adalah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam, Jepun dan Malaysia.


Sumber: Sinar Harian
KENAIKAN TARIF ELEKTRIK TAMPUNG KOS PENJANAAN TNB

Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkata, kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa pada 1 Januari ini perlu dilakukan bagi menampung kenaikan kos penjanaan susulan peningkatan harga bahan api global.

Ia juga untuk memenuhi pelaburan dalam infrastruktur bekalan elektrik bagi memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap dan berterusan dapat dibekalkan kepada pelanggan, selain untuk menampung perubahan kos operasi pada masa akan datang.

Syarikat utiliti itu berkata, kos bagi bekalan gas bersubsidi meningkat daripada RM13.70/ bagi sejuta metrik unit thermal British (mmBTU) kepada RM15.20 mmBTU.

Harga pasaran bagi gas asli cecair (LNG) pula kini berada pada paras RM41.68/mmBTU sementara arang batu pada AS$87.50 (RM280.7) satu tan, katanya dalam kenyataan menjelaskan rasional kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen/kWj yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Kuala Lumpur semalam.

TNB berkata, daripada kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen/kWj itu, sebanyak 78.60 peratus daripadanya adalah bagi menampung kenaikan harga gas bersubsidi dan harga LNG, manakala 3.4 peratus lagi adalah bagi arang batu.

Biayai pelaburan

“Baki 18 peratus (atau 0.9 sen perkilowatt sejam (sen/kWj) pula adalah bagi membiayai peningkatan dalam kos operasi serta pelaburan yang diperlukan untuk membangunkan serta membaik pulih infrastruktur industri bekalan elektrik agar bekalan tenaga elektrik yang mampan dan berdaya harap dapat dikekalkan,” katanya.

Syarikat utiliti itu menjelaskan, ia berdepan dengan lima komponen kos utama dalam menjana, menghantar dan mengagihkan elektrik kepada pengguna akhir.

Katanya, komponen berkenaan ialah kos bahan api seperti arang batu, gas dan lain-lain jenis bahan api yang digunakan oleh stesen jana kuasa; kos pembelian tenaga elektrik daripada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan penjana stesen jana kuasa TNB; kos penyelenggaraan dan operasi; kos pembelian peralatan; dan perbelanjaan modal untuk membina dan membaik pulih projek infrastruktur seperti rangkaian pengagihan dan penghantaran, sub-stesen, pusat kawalan dan loji jana kuasa.

Tarif kekal sejak Jun 2006

Kumpulan itu, katanya melabur kira-kira RM3.5 bilion sehingga RM4 bilion setiap tahun untuk bekalan dan sistem peningkatan baru pada rangkaian pengedarannya.

Ia berkata, TNB juga melabur antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion setiap tahun khusus bagi meningkatkan lagi rangkaian penghantaran dan pembangunan bekalan.

Kali terakhir kerajaan menyemak tarif elektrik ialah pada Jun 2011 apabila ia dinaikkan 2.23 sen/kwj atau 7.12 peratus kepada paras semasa iaitu 33.54 sen/kwj daripada 31.31 sen/kWj.

Kenaikan itu dibuat setelah tarif elektrik tidak berubah sejak Jun 2006 dan sebagai sebahagian daripada proses rasionalisasi subsidi di tengah-tengah peningkatan harga LNG bagi sektor tenaga.

KONSEP WASATIYAH MALAYSIA DIPUJI

Pemimpin Parti Keadilan dan Kebebasan Mesir, Dr Abdul Moujud Dardery, memuji konsep wasatiyah yang diterapkan dalam sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, konsep berkenaan berkait rapat dengan dasar pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan transformasi dalam pelbagai bidang seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, konflik melanda negaranya boleh dielakkan jika konsep demokrasi dan wasatiyah diamalkan Malaysia turut diamalkan negara berkenaan.

Contohi demokrasi negara

“Saya sudah baca buku Memacu Transformasi karya Najib dan mengakui ia adalah dasar yang baik. Buku berkenaan perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab untuk dijadikan contoh negara Arab supaya mengamalkan demokrasi seperti diamalkan Malaysia,” katanya pada forum semalam.

Selain beliau, empat ahli panel lain ialah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y Yun; Duta Peru ke Malaysia, Marco V Balarezo; wakil kerajaan Ukraine, Anatoly K Orel dan EXCO Kedah, Datin Nor Sabrina Mohd Noor.

Forum ‘Apabila Kesederhanaan Dipinggirkan, Keangkuhan Menjadi Punca Konflik’ itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Joseph Y Yun berkata, konflik dalaman sesebuah negara hanya boleh ditangani pihak di negara itu sendiri dan bukannya menerusi campur tangan luar.

Puji prinsip urus hal ehwal negara

Yun turut memuji inisiatif Malaysia menguruskan hal ehwal membabitkan kepentingannya dalam isu domestik atau antarabangsa tanpa bantuan asing.

“Malaysia adalah negara berprinsip. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara ini, saya tahu AS dan negara ini boleh bersahabat baik dan bekerjasama dalam pelbagai hal berdasarkan konsep kesederhanaan diamalkan Kerajaan Malaysia.

“Saya melihat Malaysia negara Islam teladan bagi kebanyakan negara Islam yang lain, terutama dalam hal menyelesaikan konflik,” katanya.

PENYELARASAN TARIF ELEKTRIK: KAEDAH LINDUNGI KEPENTINGAN GOLONGAN RENDAH

KUALA LUMPUR: Pengumuman kenaikan kadar purata tarif elektrik yang tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dilihat sebagai kaedah untuk melindungi kepentingan dan menjaga kebajikan mereka.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman bersetuju dengan kadar kenaikan itu demi melindungi kebajikan golongan berpendapatan rendah.
 
“Kadar kenaikan itu boleh diterima kerana golongan berpendapatan rendah tidak terjejas. Ia tidak memberi kesan kepada mereka yang menggunakan elektrik pada kadar biasa iaitu 300kwj.

“Bagaimanapun, jika tidak mengamalkan penjimatan elektrik dan melebihi penggunaan biasa, ia mungkin memberi kesan kepada mereka,” katanya semalam.

Sumber:  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/
KENAIKAN TARIF BAKAL BERI KESAN PADA KADAR INFLASI

PUTRAJAYA - Kenaikan kadar baharu tarif elektrik di Semenanjung, Sabah dan Labuan dijangka memberi kesan kepada ekonomi negara dengan peningkatan kadar inflasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kadar inflasi itu dijangka meningkat berdasarkan pemerhatian terhadap kesan peningkatan harga barangan sebelum ini.

"Peningkatan inflasi akan ada setiap kali peningkatan harga barang seperti sebelum ini apabila harga subsidi minyak dikurangkan sebanyak 20 sen kadarnya meningkat kepada 2.6 peratus.

"Kadar keuntungan siling (CPR) pada bulan Oktober juga meningkat pada tahap 2.8 peratus, walau bagaimanapun, kadar ini masih rendah iaitu di bawah tiga peratus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Kesejahteraan Rakyat Malaysia di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Abdul Wahid ketika diminta mengulas kesan kenaikan itu, enggan memberi komen lanjut sebelum mendapat maklumat lengkap berhubung kenaikan tarif tersebut.

"Saya tidak pasti (kesan kenaikan) sebab belum lihat laporan terperinci, jadi saya akan komen kemudian.

"Kita perlu lihat nanti apa impaknya keputusan meningkatkan tarif elektrik dan dalam masa sama akan pastikan golongan memerlukan bantuan tidak berasa kesan yang terlalu tinggi," katanya.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/
KEMENTERIAN DIGESA KAJI SEMULA KENAIKAN TARIF ELEKTRIK – CUEPACS, LPKPM
 
KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air digesa mengkaji semula kenaikan kadar purata tarif elektrik sebelum dikuatkuasakan mulai Januari depan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan demi kebajikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, jika kadar purata tarif elektrik di Semenanjung dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj (atau 14.89 peratus) iaitu daripada 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj, keadaan itu secara tidak langsung akan memberi bebanan kewangan kepada golongan berkenaan.

"Saya dapati langkah menaikkan kadar purata elektrik tersebut tidak selari dengan prinsip kerajaan untuk mendahulukan rakyat.

"Walaupun kadar baharu tersebut menjimatkan perbelanjaan kerajaan, namun mereka perlu lihat perbelanjaan rakyat terutamanya apabila kos sara diri semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berhubung kenaikan kadar purata elektrik tersebut hari ini.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof. Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, kenaikan itu wajar ditangguh memandangkan sehingga kini rakyat masih tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Jelasnya, beliau menerima banyak aduan mengenai bekalan elektrik yang sering terputus sedangkan pengguna membayar untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik.

"Ini tidak adil kepada rakyat. Mereka perlu membayar nilai tinggi untuk perkhidmatan yang sering tergendala melainkan TNB memperbaiki kelemahan tersebut dan memberi jaminan serta perkhidmatan terbaik," ujar beliau.

Katanya, jika kerajaan bertegas melaksanakan kadar baharu tersebut, perlu ada mekanisme untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terjejas.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/