Thursday, August 2, 2012

ISU DONG ZONG


Dong Zong 'cacing naik ke mata'

KUALA TERENGGANU 31 Julai - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menyifatkan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) seperti 'cacing yang sudah naik ke mata' apabila mengugut kerajaan bagi penubuhan sekolah tinggi bebas Cina.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad menegaskan, tindakan Dong Zong yang biadab itu seolah-olah mencabar kerajaan demi kepentingan mereka dan politik pembangkang.

Beliau berkata, persatuan terbabit jelas cuba mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan melampau ketika kerajaan sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Gagasan memandang serius tuntutan Dong Zong ini dan kami memberi amaran supaya jangan biadab dan kurang ajar. Jangan melampau dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.

"Kami juga berhak menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan demi kepentingan pelajar Melayu, tetapi tidak berbuat demikian kerana bertolak ansur demi kepentingan pelbagai kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dong Zong menjadikan isu pendidikan Cina sebagai modal politik dengan mengugut menyokong pembangkang jika kerajaan tidak membenarkan pembinaan sekolah tinggi bebas Cina meskipun sekolah jenis itu gagal mematuhi peraturan asas sekolah di negara ini.

Semalam, Majlis Perundingan Melayu (MPM) turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan persatuan tersebut yang sanggup mengugut kerajaan agar memenuhi tuntutan mereka.

Syed Anuar berkata, Gagasan berharap kerajaan tidak berkompromi dan tidak sekali-kali tunduk kepada sebarang desakan atau ugutan Dong Zong berhubung isu berkenaan.

"Gagasan berharap kerajaan tidak melayan tuntutan yang dibuat Dong Zong dan kita juga ingatkan kepada mana-mana pihak jangan cabar kesabaran warga pendidik Melayu," ujarnya.



GPMS persoal niat sebenar Dong Zong

KUALA LUMPUR 31 Julai - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempersoalkan niat sebenar Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang mengugut kerajaan agar memenuhi tuntutan mereka supaya dibina sekolah tinggi bebas Cina di Kuantan baru-baru ini.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim berkata, ini kerana kerajaan sebelum ini telah memberi bermacam-macam faedah dan bantuan kepada semua aspek pendidikan di negara ini tanpa mengira kaum dan latar belakang terutama sekali bagi pendidikan masyarakat Cina.

"Namun, ia seperti tidak pernah cukup bagi mereka (Dong Zong). Sudah diberi betis mahu paha. Apa niat mereka sebenarnya? Apa yang kita lihat sikap ini sudah menjadi permainan persatuan ini apabila menjelang pilihan raya umum," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Biro Politik dan Governans Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail yang mengutuk keras tindakan Dong Zong yang berterusan cuba mempolitikkan isu pendidikan Cina demi kepentingan pembangkang.

Dong Zong sebelum ini mengugut untuk menyokong pembangkang sekiranya kerajaan tidak membenarkan pembinaan sekolah tinggi bebas Cina meskipun sekolah jenis tersebut gagal mematuhi peraturan asas sekolah di negara ini.

Jais berkata, Dong Zong kini dilihat lebih gemar mengambil kesempatan terhadap kerajaan dengan membuat tuntutan melampaui batas sambil menggunakan alasan ia adalah demi kepentingan pendidikan kaum Cina tanpa disedari permainan persatuan itu sebenarnya mempunyai niat dan tujuan yang lain.

"Mereka cuba mengaut keuntungan politik di saat menjelang pilihan raya umum. Sikap ini memang sudah lama kita perasan malah kita sedang perhatikan sikap mereka ini.

"Tetapi kita profesional dan tidak mudah melenting apabila mereka membuat tuntutan yang tidak munasabah kepada kerajaan," katanya.

Katanya, GPMS turut memberi amaran keras terhadap Dong Zong supaya tidak berterusan bermain api dengan menimbulkan tuntutan-tuntutan yang tidak masuk akal terhadap kerajaan demi kepentingan diri sendiri.

"Jangan cuba mencabar dan mengugut kerajaan. Mereka ini perlu belajar bersyukur dengan apa yang diperolehi dan apa yang telah kerajaan lakukan selama ini," katanya.

Beliau turut meminta Kementerian Pelajaran supaya tidak melayan sepenuhnya tuntutan Dong Zong itu sebaliknya meneruskan perancangan serta fokus bagi memperbaiki sistem pendidikan di negara ini secara keseluruhannya.

KD: Sebelum ini KD pernah mendengar isu Dong Zong ini, tetapi tidak faham situasi sebenarnya. Tambahan pula isu ini kebanyakannya dilaporkan dalam akhbar Cina. Tetapi sejak dua menjak ini, banyak pula laporan berkaitannya disiarkan dalam akhbar Melayu. Kini, baru KD faham, isu sebenarnya ialah 'tuntutan penubuhan sekolah persendirian Cina'. Nampak isu ini mudah sahaja. Tetapi apabila terbit kesangsian dan pertikaian, maka ia boleh dianggap sesuatu yang serius.  Sejauh mana serius isu ini. KD akan cuba mengikutinya selepas ini.

ISU LAJIM: BISAYA TIDAK TERPENGARUH

BEAUFORT - Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) akan terus berdiri teguh bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak akan terikut-ikut dengan keputusan yang dibuat oleh bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang juga Presiden PBBS.

Timbalan Presiden PBBS, Kamarlin Ombi berkata, majoriti masyarakat Bisaya sebulat suara masih berdiri teguh dengan kerajaan BN yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

"Masyarakat Bisaya khususnya di Beaufort telah banyak menikmati hasil yang dibawa oleh kerajaan BN. Oleh itu, kami menetapkan pendirian untuk terus menyokong dan setia pada parti yang telah banyak mentransformasi negeri ini. –Utusan Online

KD: Pertama kali KD mengetahui nama kaum ini - Bisaya.. Rupa-rupanya ia adalah antara kaum minoriti di Sabah. Mesti ramai yang tidak tahu. Di sini KD sediakan sedikit info mengenai kaum ini. (sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Bisaya)
  • Bisaya adalah kaum pribumi yang berasal dari barat laut dan sepanjang pantai Borneo, Malaysia dan tertumpu di sekitar daerah Beaufort, Sungai Padas, Sungai Klias, Pulau Gaya di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sungai Limbang di timur Sarawak. 
  • Bangsa Bisaya dikenali sebagai Melayu atau Islam oleh suku kaum Dusun, Murut dan Rungus.
  • Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua Bisaya yang pertama adalah Awang Alak Betatar ataupun Sultan Mohammad Shah. Peringkat awal kemasukan kaum Bisaya ke dalam Islam adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian.
  • Bangsa Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia juga merupakan sumber utama pendapatan mereka. Suku kaum ini walaupun dikatakan berkait dengan suku Bisaya di Filipina namun suku kaum Bisaya ini hanya terdapat di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak,Malaysia sahaja.
  • Bisaya yang terdapat di Filipina dikatakan berasal dari Borneo dan penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan oleh faktor politik yang tidak menentu.
KD: Sekadar untuk berkongsi bersama..

ISU AIR: SELANGOR AKAN ADAKAN FORUM AWAM

MStar/SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan forum awam mengenai krisis air di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu berkata, forum itu akan menjemput semua jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan penerangan yang sebenar mengenai masalah air Selangor.

"Jabatan Meteorologi telah memaklumkan bahawa sepanjang bulan Ogos hingga Oktober taburan hujan di seluruh negara termasuk Selangor adalah sekata dan ini bermakna krisis tidak cukup bekalan air di empangan atau loji rawatan air adalah tidak benar.

"Pakar-pakar kita akan memberikan gambaran dan situasi sebenar air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Sementara itu, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu akan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki milik mereka ke 11 kawasan di Balakong dan dua kawasan di Subang Jaya.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan PBT menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dan kos ini kita akan minta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bayar sebab mereka tak jalankan tugas dengan efisien.

"Bukan itu sahaja, berdasarkan lawatan kita ke kolam simpanan air di Balakong mendapati hampir semua kolam tersebut tidak dijaga dan ada yang rosak," katanya.

Beliau menegaskan tindakan tersebut menyebabkan Syabas tidak dapat membekalkan air terawat yang mencukupi kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Banyak kolam air ini tidak diselenggara dengan baik. Kebanyakkannya tidak mempunyai pam air dan motor telah rosak, bukan itu sahaja pintu pagar pun hilang, ini sangat membahayakan keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak," katanya.

Oleh itu, beliau menggesa Syabas mengambil tindakan segera bagi membaik pulih kolam air yang terjejas kerana sumber air sangat penting dalam kehidupan seharian.

"Esok PBT akan buat laporan polis berhubung sikap lepas tangan Syabas terhadap kolam air yang terbiar ini. Kita bimbang ada pihak yang cuba sabotaj dengan tuang racun atau apa sahaja di kawasan kolam air yang tidak berpagar ini.

"Mereka (Syabas) sepatutnya ganti motor dan pam yang rosak supaya bekalan air di kawasan yang terjejas mencukupi," katanya.


KD: semoga forum ini akan menghasilkan jalan penyelesaian bagi krisis air yang berlaku..

SYUKURI KEAMANAN NEGARA – PM
RAUB: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bersempena Ramadan yang mulia ini, rakyat perlu menadah tangan bersyukur ke hadrat Illahi atas nikmat keamanan negara.

Beliau berkata nikmat keamanan dan kemakmuran adalah hasil pengorbanan para pahlawan negara dan hasil daripada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Perdana Menteri berkata banyak dugaan yang terpaksa diharungi negara dan kerajaan dan juga darah pahlawan yang mengalir untuk mewujudkan suasana aman dan tenteram yang dinikmati sekarang.

"Saya tidak boleh jamin pakatan pembangkang boleh tunaikan (dalam soal keamanan), soal perlembagaan pun tak sepakat...ini memberi persoalan yang besar, adakah pembangkang boleh beri jaminan keharmonian?," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama masyarakat daerah Raub yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di padang awam Kampung Gali Tengah, di sini, Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Ketua Umno Bahagian Raub Datuk Shaharuddin Ab Moin.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana aman dan makmur, malah kemakmuran negara ini menjadi tumpuan rakyat negara lain untuk mencari rezeki dan katanya terdapat dua juta pekerja asing yang berdaftar di negara ini.

"Ketika ini di negara-negara lain termasuk negara Eropah, kadar penggangguran telah meningkat, di Eropah misalnya pengangguran 25 peratus, di negara Sepanyol 45 peratus, di Malaysia kita tidak ada masalah pekerjaan, cuma orang kita memilih pekerjaan, kalau nak kerja tak jadi masalah," katanya.


KD: Kata azimat dari PM ini perlu dipahat dalam hati.. Semoga negara terus makmur dan maju..