Wednesday, May 8, 2013

PRU13 BUKTI 'TSUNAMI CINA, MELAYU TAMAK – TUN M

Tun Dr Mahathir Mohamad.PUTRAJAYA -  Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sememangnya menampakkan berlaku 'tsunami kaum Cina' selain wujud masyarakat Melayu yang tamak.

Dr Mahathir berkata, beliau pernah menyentuh perkara itu dalam beberapa kempen pilihan raya sebelum ini, misalnya di Johor, apabila menyatakan negeri itu menyaksikan pelaksanaan konsep perkongsian kuasa yang baik bagi kaum Melayu, Cina dan India.

"... tetapi datang Kit Siang (penasihat DAP Lim Kit Siang), dia membawa konsep Malaysian Malaysia yang bertujuan menimbulkan kebencian orang Cina terhadap kaum Melayu, kononnya dikatakan (Melayu) memiliki segalanya setelah merdeka," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Beliau berkata, situasi itu dilihat berkembang di seluruh negara sehingga menyebabkan kaum Cina menolak persahabatan masyarakat Melayu sekali gus tercetus 'tsunami kaum Cina'.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merujuk kekalahan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di kerusi Parlimen Gelang Patah lebih kepada faktor 'tsunami kaum Cina', dan menyaksikan mereka lebih cenderung menyokong pembangkang.

Sejurus pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kemenangan Barisan Nasional (BN), Najib berkata, beliau sama sekali tidak menduga keputusan PRU13 akan berlandaskan sikap perkauman, jauh sekali mencapai peringkat seburuk itu.

Dr Mahathir turut berpendapat kaum Melayu kini semakin lemah dan berpecah-belah kerana sikap tamak mengejar kuasa serta jawatan sehingga mengabaikan perjuangan Melayu itu sendiri, iaitu berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara.

"Pada masa sama, tidak boleh kecualikan orang Melayu yang jadi tamak, masing-masing hendak kuasa, tidak kira cara mana. Kalau perlu jual bangsapun, akan mereka jual bagi mendapat apa yang mereka hendak," katanya.

Beliau berkata, masyarakat Melayu dilihat tidak memahami konsep sebenar pilihan raya yang diadakan bagi tujuan membentuk sebuah kerajaan, apabila kebanyakan mereka menganggap ia hanya sebagai sebagai platform untuk kepentingan diri semata-mata sehingga berlaku perpecahan.

"Orang Melayu ini tidak faham. Mereka ingat dalam pilihan raya ini untuk mendapat tempat, gaji, peluang dapat kerja, kalau menang jadi Yang Berhormat (YB) yang dapat elaun dan kemudahan, bukan untuk berkhidmat perjuangkan bangsa, agama dan tanah air, mereka lupa sama sekali.

"Mereka tidak nampak pilihan raya sebagai satu cara membentuk kerajaan, tetapi berebut hendak tempat bagi diri sendiri sehinggakan fikir kalau menang akan dapat tempat, keuntungan yang banyak dan dapat projek," katanya. – Bernama/Sinar Harian

SUARA PR DIJANGKA LEBIH KUAT DI PARLIMEN - Penganalisis

SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) membuka laluan besar kepada Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen, sekali gus tidak akan membolehkan Barisan Nasional (BN) yang kekal menerajui kerajaan pusat 'senyum lebar' dengan kejayaan itu.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PR telah terus berjaya memecahkan 'keselesaan' BN dan bakal memeriahkan Dewan Rakyat.

"Politik akan menjadi lebih meriah. Walaupun kali ini BN menang namun telah kurang lagi banyak kerusi berbanding 2008 menjadikan BN sekarang ini lagi lemah di mana suara PR lebih kuat di Parlimen.

"PR telah menang bergaya di Selangor dan Pulau Pinang dengan dua per tiga majoriti, ini menunjukkan PR semakin kuat," katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, kejayaan yang ditunjukkan calon PR dalam merampas kuasa di kawasan-kawasan bandar khususnya menunjukkan kepercayaan rakyat kepada parti perikatan tersebut.

Beliau berkata, walaupun  keputusan pilihan raya menunjukkan prestasi Pas dan PKR sedikit susut berbanding DAP,  namun strategi meletakkan calon kedua-dua parti tersebut sedikit sebanyak berjaya menggugat kedudukan undi kaum Melayu serta India daripada BN.

Keputusan rasmi PRU13 menyaksikan BN berjaya membentuk semula kerajaan baru dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding sebanyak 140 kerusi lima tahun lalu. PR berjaya menambah sehingga 89 kerusi Parlimen berbanding 80 kerusi pada 2008.

Jumlah peningkatan yang ditunjukkan PR telah disumbangkan oleh DAP meningkat sebanyak 10 kerusi Parlimen menjadikan 38 kerusi berbanding lima tahun lalu yang mencatat 28 kerusi.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berpendapat walaupun PR berjaya mengurangkan majoriti undi terutama di kawasan bandar namun isu perbalahan di antara parti dalam perikatan masih tidak dapat diselesaikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pemimpin tertinggi PKR juga tidak berjaya mengatasi DAP.

Justeru, dari segi kemenangan yang diperolehi parti oleh DAP, pemegang gelaran ketua pembangkang boleh diserahkan kepada pemimpin tertinggi parti tindakan demokrasi tersebut.

"Sistem politik akan tetap menghadapi suasana seperti tahun 2008 hingga 2012, di mana pembangkang akan terus membangkang dan menimbulkan provokasi mengenai isu-isu negara.

"Kalau ikut dari segi kemenangan calon DAP, mungkin ketua pembangkang akan bertukar kepada pemimpin DAP, tapi terpulang kepada rundingan mereka sendiri dan walaupun BN mencatat penurunan sedikit tetapi satu negeri PR telah diambil semula," katanya. –Sinar Harian

KEPUTUSAN NIK AZIZ BERSARA TEPAT

BACHOK – Keputusan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengejutkan banyak pihak.

Beliau yang sebelum ini menegaskan akan berkhidmat sehingga hujung nyawa mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sejak 23 tahun lalu.

Bagi seorang pemerhati politik, Datuk Alex Ong, keputusan Nik Abdul Aziz itu suatu pilihan tepat untuk memberi laluan kepada timbalannya sebelum ini, Datuk Ahmad Yakob.

“Menilai segala pengalaman yang ada pada beliau (Nik Abdul Aziz) selama lebih 29 tahun ini, ia adalah  keputusan tepat. Beliau dipercayai rakyat dan jasanya dikenang rakyat semua lapisan masyarakat kerana sifatnya sendiri mesra terhadap semua kaum.

“Saya berharap agar persaraannya tidak dipolitikkan mana-mana pihak dan beri peluang kepada beliau untuk tumpu kepada keluarga, beribadah dan menjadi mentor kepada menteri besar baru,” katanya semalam.

Alex juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad yang baru mengangkat sumpah petang kelmarin di depan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian.

Ahmad adalah Adun Pasir Pekan selama beberapa penggal.

Manakala timbalan menteri besar yang baru ialah Adun Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Alex berharap Ahmad juga mempunyai visi dan ciri-ciri dimensi baru dalam segala perkara dan di samping meneruskan perjuangan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat akar umbi di Negeri Kelantan.

Manakala, Adun Jelawat yang baru mengangkat sumpah kelmarin, Abdul Azziz Kadir juga menyuarakan sokongannya terhadap pelantikan menteri besar baru.

“Dari segi ranking, beliau (Ahmad) memang layak dilantik sebagai menteri besar baru selepas persaraan Tok Guru.

“Kami akan terus menyokong beliau dalam meneruskan gerak kerja dan dasar parti tidak mengira siapa pun menteri besar atau exco yang dilantik musim ini,” katanya semalam. –Sinar Harian