Saturday, March 23, 2013

PRU13: HASRAT KIT SIANG BERTANDING GUNA LAMBANG PAS DIPERSOAL

KUALA LUMPUR - Langkah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran partinya dipersoal memandangkan agenda perjuangan antara kedua-dua parti itu berbeza sama sekali.

Penganalisis politik, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan berkata, Kit Siang dan pimpinan DAP tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan platform parti lain terutamanya Pas sedangkan mereka boleh menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jika benar itu berlaku, Pas selepas ini akan dianggotai dan dipimpin oleh orang-orang kafir.

"Menggunakan logo Pas berbanding PKR dibimbangi mempunyai niat jahat untuk memecah-belahkan umat Melayu dan Islam sekiranya parti yang dipinjam untuk ditandinginya itu menang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Online petang ini.

Zainal Abidin diminta mengulas kenyataan Kit Siang di dalam akaun twitternya hari ini berhubung cadangan beliau untuk bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya ROS menggantung pendaftaran DAP.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk para ahli dan bekas pemimpin DAP telah mendesak ROS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran DAP berikutan kedegilan parti tersebut mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu selepas berlaku “kesilapan" ketika pemilihannya tahun lalu.

Menurut  Zainal Abidin, sekiranya hal itu berlaku, DAP secara tidak langsung dia telah menunjukkan belang untuk mempergunakan Pas untuk menjadi alat perjuangan politik mereka dan wujud persengketaan antara Pas dan DAP jika keputusan PRU-13 memihak kepada parti kedua terbesar orang Melayu itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi berkata, tidak mungkin DAP akan menguasai Pas jika parti itu memenangi PRU-13 kerana yakin bilangan ahli parti itu lebih ramai berbanding DAP.

"Kita mengalu-alukan calon-calon DAP menggunakan Pas dan PKR untuk bertanding di dalam PRU-13. Di dalam parti Pas sendiri, kami mempunyai sayap parti iaitu Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri daripada bukan Islam.

"Setakat ini, kami telah menerima penyertaan lebih 30,000 ahli di dalam dewan himpunan itu," katanya.

Bagaimanapun, menurut Mustafa, para pemimpin DAP termasuk Kit Siang yang berhasrat bertanding atas tiket Pas perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Pas terlebih dahulu. -Utusan Online
KESILAPAN CEC, ROS DIGESA TIDAK BERLEMBUT TERHADAP DAP

KUALA LUMPUR - Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa tidak lagi menggunakan pendekatan berlembut terhadap DAP, sebaliknya mengambil tindakan tegas ekoran kegagalan pemimpinnya memberi kerjasama dalam siasatan berhubung kesilapan yang berlaku ketika pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan, ROS perlu adil bertindak mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Menurut beliau, DAP tidak boleh dikecualikan daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan pendaftaran jika didapati melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

"Perkara ini bukan luar biasa. Kita pernah menyaksikan UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan tidak sah kerana tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.
"Jika UMNO boleh diharamkan atas dasar kesilapan teknikal, mengapa tidak DAP? Kenapa kita mesti takut dengan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman  berhubung kesukaran dihadapi ROS untuk menyelesaikan siasatan berikutan tidak mendapat kerjasama daripada pemimpin tertinggi DAP.

Abdul Rahman memberitahu, pihaknya telah menghantar notis memanggil seorang pemimpin tertinggi DAP ke pejabat ROS untuk memberi keterangan bagaimanapun beliau memberi pelbagai alasan seperti tiada masa.-Utusan Online

KD: Yang salah, tetap salah... jangan pula cuba mengakkan benang yang basah.