Thursday, March 28, 2013

PRU13: PERLU TAMPILKAN CALON MUDA

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menampilkan muka-muka baharu yang muda sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengisian calon-calon tersebut wajar bagi membantu Najib mengukuhkan sokongan dan pemerintahan Perdana Menteri itu kelak.

"Saya setuju dengan pandangan Tun Daim Zainuddin, mana yang lama sepatutnya diketepikan, beri peluang kepada muka-muka baharu pula," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Dunia Mengenai Inovasi Global anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Daim yang juga bekas Menteri Kewangan di era kepimpinan beliau bahawa Najib perlu membuat rombakan Kabinet dengan pengisian muka-muka baharu.

Daim dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini menegaskan, kebanyakan barisan Kabinet sekarang sudah melepasi waktu.

Sementara itu, Tun Dr. Mahathir menjangkakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jangkaan itu berdasarkan ada negeri-negeri yang akan terbubar dengan sendirinya sekiranya pembubaran Parlimen tidak dibuat dalam masa terdekat ini.

"Sebenarnya tempoh 'edah' Parlimen pun semakin hampir, sudah tentu (pembubaran) tidak lama lagi," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Dunia Mengenai Inovasi Global anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang diasak dengan soalan yang sama, secara berseloroh berkata: "Kalau saya masih menjadi Perdana Menteri, tahun lalu sudah bubar (Parlimen). Tapi saya bukan Perdana Menteri lagi."

Mengulas mengenai hasrat Lim Kit Siang untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah, Dr. Mahathir menyifatkan Penasihat DAP itu sengaja mempertaruhkan nasibnya untuk menguji kekuatan BN di negeri itu.

Secara sinikal beliau berkata, Kit Siang sebenarnya mahu melihat pandangan dan penerimaan rakyat Johor terhadap parti itu.

"Dia (Kit Siang) pun tahu BN mempunyai penguasaan besar di Johor tetapi kalau dia rasa dia boleh diterima di sana biarlah.

"Kita lihat sahaja keputusan pilihan raya nanti," ujar beliau lagi.

Minggu lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan telah memberi laluan kepada Kit Siang untuk bertanding kerusi parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. –Utusan Online
GUAN ENG DICABAR BENTANG MANIFESTO DI RTM

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dicabar mengambil peluang membentangkan manifesto pakatan pembangkang menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit selepas pembubaran Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata, pemimpin pembangkang itu tidak sepatutnya mengelak daripada menerima tawaran tersebut dengan mengenakan pelbagai syarat tidak munasabah.

Menurut beliau, peluang itu juga bagi menjawab kritikan Ahli Parlimen Bagan berkenaan kononnya kerajaan tidak adil dalam menyediakan ruang kepada pemimpin pembangkang menggunakan media arus perdana terutama untuk membentangkan manifesto mereka.


"Guan Eng perlu membentangkan manifesto pembangkang itu tanpa menggunakan transkrip bagi membuktikan manifesto mereka benar-benar terbaik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. –Utusan Online


KADAR JENAYAH PERLU TERUS DITURUNKAN – PM

KUALA LUMPUR: Walaupun kadar jenayah telah menurun 27 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan kadar jenayah itu terus menurun.

Beliau menarik perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan pelbagai transformasi termasuk memperkenalkan perkhidmatan komuniti polis dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi.

"Sudah pasti pelbagai transformasi yang diperkenalkan itu tidak boleh membawa perubahan dalam sekelip mata, ia memerlukan masa serta fokus untuk melakukan penambahbaikan terhadap pasukan polis," katanya dalam entri terbaru bertajuk 'Pasukan Polis Moden Yang Membanggakan Kita' di laman blognya.

Perdana Menteri menegaskan PDRM akan sentiasa bekerjasama dengan rakyat untuk mencapai matlamat memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat dan bahagia menerusi pelbagai perubahan serta inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional.

"Saya harap setiap apa yang dirancang untuk masa depan negara dapat dicapai dengan sokongan terus menerus anda semua," katanya.

Dalam pada itu, Najib mengakui beliau sentiasa kagum dengan semangat warga polis selama ini.

"Membesar bersama ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak sentiasa membuatkan saya sedar dan hargai perjuangan mereka dalam mempertahankan keamanan negara.

"Sejak zaman darurat sehinggalah insiden 13 Mei, mereka sentiasa menjadi benteng keselamatan kepada kita semua," tegas beliau.

Merujuk sambutan Hari Polis ke-206, Isnin lepas, Najib berkata rakyat sekali lagi bangga melihat semangat juang anggota keselamatan yang bertugas dalam Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Kiram di Sabah.

"Kita juga kagum dengan keberanian lapan anggota serta pegawai PDRM yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara. Saya harap perjuangan mereka ini sentiasa dikenang setiap rakyat," katanya.

Najib telah mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) supaya kestabilan dan keselamatan di Sabah terus terpelihara.

"Menerusi inisiatif ini, kerajaan juga akan pastikan proses pilihan raya yang adil dan bersih tidak digugat di kawasan terbabit," tambahnya. BERNAMA/mStar
INSIDEN PENCEROBOHAN LAHAD DATU SATUKAN RAKYAT MALAYSIA TANPA MENGIRA ASAS POLITIK

LANGKAWI: Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah mempunyai impak positif apabila ahli politik termasuk pembangkang mula menyedari kepentingan pertahanan yang kuat untuk negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, insiden yang menyaksikan ramai anggota keselamatan terbunuh dan cedera itu membuktikan ia bukan sandiwara kerajaan dan ekoran itu serangan politik oleh pembangkang terhadap isu pertahanan dan keselamatan negara juga makin berkurangan.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah menerima hakikat bahawa soal pertahanan bukanlah sesuatu yang boleh dipolitikkan...nampaknya selepas insiden ini, pembangkang tidak banyak lagi mempertikaikan kemampuan tentera dan polis kita," katanya kepada pemberita di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2013) di sini, Rabu.

Insiden itu telah menyatukan rakyat Malaysia dan hasil pemantauan Kementerian Pertahanan ke atas ceramah politik mendapati semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia khususnya pembangkang meningkat tinggi.

Langkah Kementerian Pertahanan membawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP menaiki kapal selam kelas Scorpene pada LIMA 2011 juga mengurangkan serangan pembangkang ke atas aset strategik negara itu, katanya.

Menteri Pertahanan itu juga berkata, pembangkang sebelum ini sering mempolitikkan isu pertahanan dan keselamatan negara sehingga mendedahkan maklumat sensitif mengenai aset pertahanan negara.

Mengenai tindakan lima bekas pegawai kanan tentera, yang terdiri daripada jeneral bersara, mempolitikkan isu pencerobohan itu untuk kepentingan politik mereka, Ahmad Zahid berkata mereka tidak harus mempolitikkan mana-mana operasi tentera sekiranya mereka berminat untuk terjun ke gelanggang politik.

"Mereka ini beranggapan bahawa mereka lebih pintar daripada pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedia ada, hanya mereka yang sekarang ini merosakkan minda orang politik walaupun zaman mereka sebenarnya sudah berlalu," kata beliau.

Mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka, Ahmad Zahid berkata rakyat boleh menolak dengan tidak memilih mereka menjadi wakil rakyat.

Katanya kerajaan juga tidak mengambil tindakan terhadap mereka dari sudut perintah Majlis Angkatan Tentera kerana tidak mahu dilihat sebagai menganianya mereka.

Lagi pun, kata beliau, kelima-lima mereka tidak mewakili suara angkatan tentera kerana baru-baru ini lebih 200 bekas pegawai kanan tentera berpangkat brigadier jeneral ke atas telahpun menyatakan sokongan kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. -BERNAMA/mStar
PRU13: PEMIMPIN PAS & PKR BERTELAGAH PEMBAHAGIAN KERUSI DI KELANTAN

KOTA BARU: Persaingan antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) Kelantan telah menyebabkan pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini bertelagah dalam merebut kerusi yang telah diputuskan oleh pemimpin parti masing-masing.

Ketua PAS cawangan Guchil Hulu, Muhamad Bustamam Yaacob akan bertanding sebagai calon Bebas menentang penyandang kerusi DUN Guchil yang juga wakil rakyat PKR, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.

Muhamad Bustamam berkata dia akan tetap bertanding melawan Tuan Zamri Ariff walaupun ia bertentangan kerjasama yang dipersetujui dalam PR.

Sinar Online memetik Bernama, melaporkan Muhamad Bustamam dipetik sebagai perkata ahli diperingkat akar umbi telah menggesa dia bertanding menentang Tuan Zamri Ariff.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz mengkritik tindakan berkenaan dengan berkata perkara tersebut akan hanya menimbulkan perpecahan dalam pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan yang diambil oleh ahli PAS telah mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui dalam pembahagian kerusi.

Pada pilihan raya umum 2008, Tuan Zamri Ariff menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi.

Guchil merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Tanah Merah, dan ia merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi oleh PKR daripada lima yang mereka bertanding pada 2008.

Sementara itu di Bachok, penyandang kerusi berkenaan Nasharuddin Mat Isa tidak akan mempertahankan kerusi tersebut dan PAS bahagian mempunyai masalah untuk mencari calon yang sesuai.

Mereka perlu calon yang kuat untuk berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Datuk Dr Awang Adek Hussain yang mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Walaupun Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohammed,70, dilihat sebagai calon yang sesuai, bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Zaiyadi Awang Noh yang juga ahli PKR pada ketika ini dilihat turut melobi untuk mendapatkan kerusi berkenaan. Tindakan tersebut turut menimbulkan pertelagahan dengan Ketua Pemuda PAS Bachok, Ahmad Marzukh.

Sumber dalam parti berkata kira-kira 70 peratus akar umbi menyokong Omar, yang pernah menjadi wakil rakyat selama lima penggal bagi kerusi berkenaan.

Sumber berkenaan turut mengesahkan ahli diperingkat akar umbi tidak selesa dengan Zaiyadi kerana ramai ahli keluarganya masih dalam Umno.— Bernama/mStar