Wednesday, December 11, 2013

PUSAT PENEMPATAN MANGSA BANJIR PERLU DIKAJI SEMULA - JAILANI

HULU TERENGGANU: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari meminta supaya pusat penempatan bagi mangsa banjir di pusat pemindahan di Hulu Terengganu dikaji semula demi keselesaan penghuninya.

Beliau berkata tempat penempatan seperti di surau dan masjid yang kecil agak tidak selesa untuk mangsa banjir, lebih-lebih lagi jika mereka ditempatkan dalam bilangan yang ramai.

"Sekarang juga terdapat penempatan yang bercampur antara wanita dan lelaki dan ini sangat kurang sesuai. "Insya-Allah perkara ini akan kita kaji supaya pada musim banjir akan datang tidak akan berlaku lagi masalah sebegini," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena lawatannya ke sekitar kampung yang terlibat dengan banjir di Hulu Terengganu.

Dalam lawatan itu, Jailani turut memberi bantuan berupa keperluan makanan serta pakaian untuk mangsa banjir.

Sumber: mStar Online
BANJIR: MANGSA DINASIHAT IKUT NASIHAT PEGAWAI KESIHATAN, ELAK PENYAKIT

SUBANG: Mangsa banjir diminta mengikut arahan dan nasihat pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat pemindahan bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit berbahaya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramanian berkata berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) kementerian, semua pegawai kesihatan yang bertugas di pusat pemindahan akan memberi khidmat nasihat dari segi makanan, minuman serta memastikan persekitaran terjamin.

Katanya kementerian menugaskan seorang pegawai kesihatan di setiap pusat pemindahan yang menempatkan 1,000 mangsa.

"Pegawai kesihatan yang bertugas akan melawat pusat itu (pusat pemindahan)tiap-tiap hari. Dari segi kesihatan, kami sudah bersedia dengan SOP dan protokol bag memastikan kami mencegah penularan wabak ketika banjir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian dana RM500,000 oleh Yayasan Sime Darby untuk program pembedahan epilepsi di Pusat Perubatan Ara Damansara (PPAD) di sini, Selasa.

Sumber: mStar Online

MALAYSIA DILANDASAN BETUL LAKUKAN TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN 

PUTRAJAYA: Malaysia berada di landasan betul untuk menjayakan inisiatifnya, terutama melalui Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia, dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata rangka tindakan itu menangani sebahagian besar isu, termasuk kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang terkandung di dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

"Kami mengambil bahagian dalam PISA sejak 2009 dan rangka tindakan ini meneliti hasilnya hingga 2011 dan kami juga nampak kemerosotan yang dialami (kualiti pendidikan)," katanya kepada media selepas pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia Disember 2013: Pendidikan Berprestasi Tinggi di sini, Selasa.

"Sebab itulah rangka tindakan itu turut mengenal pasti sasaran Malaysia untuk melonjak ke peringkat satu pertiga teratas dalam kalangan negara yang menyertai penilaian itu, daripada kedudukannya sekarang," kata beliau.

Mengulas laporan itu, Wahid berkata: "Isu yang ditimbulkan laporan ini tentang sekolah autonomi dan peningkatan penyertaan pemegang kepentingan dalam sistem berkenaan, telah dikenal pasti dalam rangka tindakan itu, manakala langkah telah dan akan diambil untuk menangani syor yang dikemukakan".

Katanya menurut perspektif kerajaan, ia perlu terus memberi fokus terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dikenal pasti dalam rangka tindakan itu.

Sumber: mStar Online