Monday, May 13, 2013

PERHIMPUNAN ‘SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT’ TIDAK WAJAR

SHAH ALAM - Pihak yang membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu tidak sewajarnya mengadakan perhimpunan atau demonstrasi.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Datuk Mohamed Aziz berkata, tindakan sedemikian seolah-olah menafikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

“Tiada sebab untuk mereka tidak puas hati dengan keputusan PRU13. Pemantau PRU13 sendiri mengakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugas dengan telus.

“Mereka yang melakukan perhimpunan ini tahu tiada perkara yang boleh dipertikaikan dalam keputusan PRU13. Sebab itu, mereka cuba menimbulkan isu-isu lain yang tiada kaitan dan bertujuan untuk membangkitkan kemarahan rakyat,” katanya, semalam.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Sri Gading berkata, sekiranya benar wujud keraguan dalam keputusan PRU13, pihak berkenaan perlu menggunakan saluran yang betul iaitu undang-undang.

“Mereka yang tidak berpuas hati itu sudah tentu menjalani proses mengundi. Jadi, mereka sepatutnya tahu perjalanan sistem sewajarnya.

“Kalau tak puas hati, kemukakan petisyen bantahan di mahkamah. Itu cara terbaik dan bukannya berdemonstrasi,” katanya. -mStar


PASCA PRU13: KEGHAIRAHAN MEREBUT KUASA PUNCA MASYARAKAT MELAYU BERPECAH

GEORGETOWN - Keghairahan sesetengah pihak untuk merebut kuasa menjadi penyebab kepada perpecahan masyarakat Melayu pada hari ini, kata Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Mohd Yussof Latiff.
  
Beliau berkata perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu amat ketara terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas.
  
"Sekarang ni orang Melayu berpecah kerana nak berebut kuasa. Inilah berlakunya perpecahan di kalangan orang Melayu. Bila tak bersetuju, tubuh parti lain...Melayu jadi lemah balik sehingga kita dipandang hina dalam negara kita sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) kali ke-42, di sini hari ini.
  
Beliau berkata masyarakat Melayu kini terbahagi kepada tiga puak yang membawa kepada perbezaan politik di mana boleh mengakibatkan perseteruan dan kerenggangan yang sangat serius.
  
Katanya, jika keadaan ini berterusan adalah tidak mustahil masyarakat Melayu akan menjadi 'peminta sedekah' di dalam negaranya sendiri.
 
Mohd Yussof berkata masyarakat Melayu seharusnya menghayati dan menilai semula 'Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu' yang termaktub pada 5 Ogos 1957 bagi memastikan kesinambungan sejarah dan survival masyarakat Melayu.
  
Beliau berkata masyarakat Melayu perlu membangunkan semula semangat 'Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu' itu yang mengetengahkan kepentingan dan keistimewaan masyarakat Melayu, perlembagaan negara, bahasa Melayu dan agama Islam. 
  
"Maka telah tiba masanya orang-orang Melayu bersatu-padu dalam satu wadah pembelaan bagi menjamin kebahagiaan hidup dan masa depan orang-orang Melayu dengan mempertahan dan menjunjung semangat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu," katanya.

Mohd Yussof turut menyarankan kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Negara yang dianggotai semua kaum tanpa mengira fahaman politik, berperanan sebagai platform untuk membincangkan pembangunan yang dapat memberi faedah kepada semua kaum. – Bernama/ Sinar Harian
ORANG MELAYU PERLU BERJIHAD PERKASA PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR - Orang Melayu diseru supaya berjihad memperkasakan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan bangsa itu kekal menjadi pentadbir negara dan negeri.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, hal ini kerana dalam Perlembagaan di peringkat Persekutuan dan negeri, perkara berkaitan pelantikan Melayu Islam sebagai pentadbir boleh dilonggarkan.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, hendaklah melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat. Itu sahaja dan tidak ada disebut Melayu Islam.

"Tetapi mengikut amalan demokrasi oleh kerana negara ini negara Islam, Yang di-Pertuan Agong apabila melantik Perdana Menteri, bukan sahaja perlu mendapat majoriti itu tetapi hendaklah ia seorang Islam dan Melayu," katanya.

Menurut Mohd. Noor, bagi peruntukan Perlembagaan negeri pula, raja atau sultan hendaklah melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada seorang yang mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kedua, dia mestilah orang Melayu Islam dan ketiga, syarat kedua itu, raja atau sultan dengan budi bicara boleh melonggarkan syarat ini bagi menepati syarat pertama," jelas beliau.

Katanya, dengan syarat ketiga itu, siapa sahaja mendapat majoriti, individu terbabit boleh dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

"Oleh itu kalau DAP dapat majoriti, maka orang Cina boleh menjadi Menteri Besar. Macam mana? Kalau kita kata tidak boleh, maka pindalah Perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga. Beritahu di Melaka dan Pahang yang mendapat majoriti dua pertiga, mansuhkan klausa itu," tegasnya.

Beliau juga memberi bayangan bahawa Singapura boleh dibawa masuk ke dalam Malaysia dengan suara majoriti di Dewan Rakyat.

"Tak perlu persetujuan Majlis Raja-Raja, tetapi nak bawa masuk Singapura ke dalam Malaysia memerlukan hanya Akta Parlimen, Pas dengan satu majoriti maka masuklah Singapura ke Malaysia. Bayangkan akibatnya. Ini agenda pengkhianatan.

"Sebab itu (isu) kalimah Allah 'dicampakkan' agar orang Pas dan UMNO, orang Melayu berpecah dengan matlamat akhirnya untuk menawan hati orang bumiputera Sabah dan Sarawak. Nampak tak telunjuknya ke mana? Tetapi orang Melayu termakan umpan, nasib baik bumiputera Sabah dan Sarawak masih menyokong kita," tegasnya.

Sebab itu jelasnya, pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu adalah sesuatu perkara yang benar-benar berlaku.

Selain persoalan terhadap Perlembagaan, orang Melayu juga perlu berjuang dalam memperkasa dan menambah tanah rizab Melayu yang tertakluk di dalam Perlembagaan.

"Isytiharkan tanah rizab ini di kawasan-kawasan bandar dan dalam erti kata lain, menyusun semula masyarakat. Isytiharkan tanah rizab Melayu untuk berladang dan menternak, cari tanah yang baik untuk Melayu berladang dan berniaga dan kalau ada bukit, beri kepada Melayu buat kuari.

"Kita susun atur tanah ini dan agih-agihkan untuk Melayu. Begitu juga dalam bidang ekonomi yang sehingga kini 20 peratus daripadanya dimiliki orang Melayu. Jadi susunlah strategi supaya dalam tempoh 10 tahun ini, kekayaan Melayu menguasai 67 peratus," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bekerjasama menghapuskan rasuah dalam kalangan orang Melayu iaitu daripada kelompok ahli politik sehingga ke kakitangan kerajaan.– Utusan Online