Thursday, September 6, 2012

KEDUTAAN JERMAN SALUR DANA KEPADA SUARAM?

KUALA LUMPUR: Kedutaan Jerman di sini mengaku menyalurkan dana kepada Suara Inisiatif Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Guenter Georg Gruber berkata, kedutaan membiayai inisiatif-inisiatif projek spesifik.

"Projek dengan Suaram adalah pada 2010 yang kami telah buat penilaian," katanya dan menurutnya beliau tidak ingat projek itu berkaitan apa dan "jumlah (dana) adalah terhad".

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Malaysia Pahang dan dua syarikat Jerman di sini Rabu.

Siasatan awal oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati wujud transaksi dana antara Suara Inisiatif, yang didaftar di bawah Akta Syarikat 1965, dan Suaram.

SSM telah dikritik oleh beberapa NGO atas dakwaan gagal bertindak terhadap Suaram yang, antara lain mengaku menerima dana daripada negara-negara asing.

Kritikan itu berikutan laporan bahawa Suaram bukan sebuah NGO tetapi sebaliknya adalah sebuah syarikat iaitu Suara Inisiatif Sdn Bhd.

Ketika ditanya sama ada kedutaan itu akan membiayai projek lain Suaram, Duta itu berkata, kedutaan akan mengkaji mana-mana cadangan "mengikut penilaian kami".

"Kami juga menyokong Majlis Peguam berhubung hak masyarakat pribumi. Kamilakukannya setiap masa. Ini adalah sebahagian sistem nilai-nilai kami," katanya. – BERNAMA/MStar
PAS LANCAR '12 TAWARAN' UNTUK SARAWAK

MIRI: PAS melancarkan manifesto ‘12 Tawaran PAS Sarawak: Membangun Sarawak Yang Maju dan Berkebajikan’ untuk ‘menakluki’ Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ini.

‘12 Tawaran PAS Sarawak’ yang dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, ialah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Untuk Reformasi Tanah NCR Sarawak; Kemiskinan Sifar Tanpa Mengira Kaum.

PAS juga menawarkan Lebuh Raya Pan-Borneo Sebagai Lebuh Raya Terbaik; SCORE Sebagai Hab Tek-nologi Hijau Berinovatif; Sarawak Sebagai Agropolitan Pengeluar Makanan Utama Malaysia; Jalan Raya, Bekalan Elektrik dan Air Bersih Untuk Semua;

Dalam bidang pendidikan pula, Capaian Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Semua; Meningkatkan Royalti Hasil Petroleum Sarawak Kepada 20 peratus; Tabung Warisan Petroleum Anak Sarawak; Tawaran Khas Untuk Golongan Wanita dan Tawaran Khas Untuk Golongan Muda.

Abdul Hadi menyifatkan dokumen ‘12 Tawaran PAS Sarawak: Membangun Sarawak Yang Maju dan Berkebajikan’ adalah terjemahan praktikal Agenda Negara Berkebajikan yang diutarakan oleh PAS dalam konteks negeri Sarawak yang dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan sejak sekian lama.

Katanya dokumen tersebut juga merupakan ‘blueprint’ politik PAS untuk negeri Sarawak dan akan menjadi asas perjuangan PAS di peringkat persekutuan dalam membela nasib rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.

“Semoga dokumen ‘12 Tawaran PAS Sarawak’ ini akan memberi impak yang positif terhadap gerak kerja parti khususnya dalam memenangi hati rakyat Sarawak dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Abdul Hadi dalam ucapannya pada majlis sempena Program Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di sini, malam kelmarin mengajak seluruh jentera dan penyokong PAS serta parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk bekerjasama dan berkongsi ‘kekuatan’ menum-bangkang BN yang disifatkan beliau sebagai ‘gajah’ dan mereka umpama semut. -Harakahdaily
HARGA RUMAH MAHAL INTIPATI BAJET 2013

PETALING JAYA 5 Sept. - Isu harga rumah yang melambung tinggi di Lembah Klang merupakan antara intipati yang bakal dibentangkan dalam Bajet 2013 pada 28 September ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, isu tersebut mendapat perhatian kerajaan kerana ia adalah cadangan utama rakyat untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kerajaan cukup sedar tentang kegelisahan dan kebimbangan seluruh rakyat tentang kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kita sedang menilai dan akan menangani dengan cara terbaik masalah itu termasuk menambah baik Skim Rumah Pertamaku," katanya ketika ditemui selepas melancarkan portal kemudahan dagangan mytradelink di sini hari ini.

Beliau turut membayangkan kemungkinan kerajaan akan menilai semula harga rumah kos rendah serta membabitkan penyertaan lebih banyak institusi perbankan dalam pembiayaan kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, Donald enggan mengulas lanjut dan meminta rakyat sabar menanti Bajet 2013 yang kini dalam peringkat akhir disediakan.

"Bajet 2013 boleh dianggap sebagai bajet terbaik bagi menghadapi krisis ekonomi dunia dan transformasi Malaysia untuk mencapai negara berpendapatan tinggi pada 2020.

"Memang rakyat mahu tahu pelbagai perkara dalam bajet ini termasuk penurunan cukai pendapatan individu dan insentif-insentif lain. Jadi kena tunggulah 28 September ini," ujarnya.-Utusan Online