Sunday, April 14, 2013


PRU13: BN TAMPIL CALON TIDAK DIJANGKA

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor akan menampilkan beberapa calon yang tidak dijangka untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, calon-calon tersebut terdiri daripada golongan profesional, tokoh korporat, guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang pernah digugurkan pada pilihan raya umum sebelum ini.

Beliau berkata, nama mereka dan kesemua calon yang akan bertanding mewakili untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada waktu dan tempat yang akan ditetapkan.

Menurutnya, beliau difahamkan calon yang paling muda akan bertanding mewakili BN Selangor berusia 33 tahun dan yang paling tua ialah 61 tahun.

''Kesemua calon BN Selangor sudah dikenal pasti dan saya rasa mungkin mereka sendiri sudah tahu akan menjadi calon. Ada muka baru, ada yang lama termasuk penyandang kerusi BN pada pilihan raya umum 2008 dan mereka yang buat come back.

''Tetapi bagi Selangor, kita minta Pengerusi BN sendiri serahkan watikah kepada calon. Tarikh dan tempatnya saya tidak pasti, kena check dulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon BN Selangor yang telah dipilih untuk bertanding pada PRU13 selepas menghadiri Majlis Mesra Datuk Seri Noh Omar Bersama Komuniti Usahawan Tekun Nasional Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas isu sama, Noh berkata, beliau amat berharap calon yang tidak terpilih akan menerima keputusan yang dibuat dengan hati terbuka dan terus membantu mereka yang dipilih untuk memenangi PRU13 termasuk menawan kembali Selangor.

''Calon yang layak ramai tetapi kerusi dipertandingkan tak banyak. Saya tidak nafikan ada beberapa tempat pemimpin BN tidak gembira dengan keputusan ini.

''Tetapi lebih baik kita fikirkan kemenangan BN kerana jika menang jadi calon tetapi kalah untuk dapatkan kerajaan pun tidak guna. Di Selangor peluang BN untuk menang memang sudah ada, jangan kerana terlalu ikutkan rasa kecewa peluang itu terlepas," ujar beliau. - Utusan Online