Tuesday, March 5, 2013

KRONOLOGI PENCEROBOHAN DI LAHAD DATU

Peristiwa berkaitan pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu yang dikaitkan dengan askar Kesultanan Sulu bakal tercatat dalam lembaran sejarah tanahair.


Peristiwa ini pasti tidak dapat dilupakan oleh generasi hari ini, terutamanya mereka yang mempunyai kaitan secara langsung terhadap peristiwa. Apa tidaknya, penceroboh yang sebelum ini dianggap sebagai penjenayah bersenjata kini dianggap sebagai ancaman keselamatan negara (khususnya di Lahad Datu dan kawasan sekitarnya) kerana tindakan mereka telah menyebabkan beberapa anggota keselamatan (wira negara) terkorban.

Ada juga sesetengah pendapat menyebut bahawa kumpulan bersenjata berkenaan telah membuat perancangan teliti sekian lama sebelum memasuki Lahad Datu, Sabah. Malah, dikatakan juga sebahagian daripada penceroboh tersebut telah memasuki Lahad Datu lebih awal dan secara berperingkat menyebabkan kehadiran mereka tidak dapat dikesan.

Walau apapun pandangan, yang pasti, kehadiran mereka mula dikesan pada 9 Februari. Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu.

Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina:
  
9 Feb - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Feb - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
  
12 Feb - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
  
14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

14 Feb - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
      
16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknyapenyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
    
18 Feb - Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
  
24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
  
26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
  
28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
  
1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera.

Anggota yang terkorban ialah dari skuad Komando 69, iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dari Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak Bernam, Selangor. Tiga anggota yang cedera ialah Koperal Azman Ampong, Koperal Mohd Tarmizi Hashim dirawat di Hospital Lahad Datu, manakala Konstabel Mohammad Qaiyum’aiqal Zolkifli yang cedera di bahu kanan dan kedua-dua kaki dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

2 Mac – Lima anggota polis terkorban dalam serang hendap kumpulan bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah. Turut terkoban ialah dua ahli kumpulan bersenjata berkenaan. Kejadian di Semporna itu berlaku susulan pertempuran di antara kumpulan yang mendakwa setia dengan Kesultanan Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia pada Jumaat lalu. Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis negara Tan Sri Ismail Omar pada hari berikutnya.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa mendapat maklumat bahawa sekurang-kurangnya 10 orang penceroboh telah menyusup masuk ke Kampung Lumalong dan Kampung Dasar Lama, Kunak. Tiga orang daripada kumpulan yang dilihat itu memakai celoreng tentera yang sama dengan kumpulan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

3 Mac – Seorang lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah, menjadikan jumlah terkini anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut ialah enam orang.

Stesen radio Filipina pada Ahad melaporkan bahawa kumpulan penceroboh bersenjata di Semporna telah menawan empat orang rakyat Malaysia. Ketua polis negara tidak menafikan berkemungkinan lebih ramai kumpulan penceroboh bersenjata mendarat di Sabah susulan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dan pengikut Kesultanan Sulu. Walau bagaimanapun, beliau berkata pasukan keselamatan sudahpun bertindak untuk mengawal keadaan di kawasan tersebut.

Anggota yang gugur4 Mac – Terdapat laporan menyebut bahawa salah seorang anggota polis dipenggal kepala semasa pertempuran dengan penceroboh bersenjata di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna pada hari Sabtu. Walau bagaimanapun pihak polis memaklumkan bahawa gambar lelaki dipenggal kepala yang tersiar dalam laman web itu merupakan gambar lama yang dipercayai berlaku di sebuah negara jiran beberapa tahun lalu.

Pihak PDRM mengeluarkan kenyataan rasmi senarai anggota yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Anggota yang dimaksudkan ialah; Supt Ibrahim bin Lebar, L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, ASP Micheal Padel, Sjn/D Baharin bin Hamit,  Sjn Abd Aziz bin Sarikun dan Kpl/S Salam bin Togiran (Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga terlibat).

4 Mac – Puluhan kenderaan tentera dilihat memasuki kawasan berhampiran Kampung Tanduo lewat petang ini. Kenderaan tentera yang bertali arus itu, termasuk kereta perisai dan trak membawa anggota tentera, dilihat memasuki kawasan jalan ladang kelapa sawit pada kira-kira jam 6.30 petang ini.

5 Mac – Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada jam 7 pagi ini. Laporan menyebut wartawan BERNAMA turut mendengar beberapa siri letupan di sekitar Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Sumber: SinarHarian/http://kulanzsalleh.com