Tuesday, December 31, 2013

ELAUN MENTERI DIKURANGKAN MULAI 1 JAN

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari.

Tindakan itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun depan, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus, katanya dalam kenyataan dua muka surat itu.

Najib berkata kerajaan juga akan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

Selain itu, kerajaan juga akan mengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan, selain membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

Perdana menteri berkata kerajaan juga memutuskan untuk mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

Beliau berkata cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

Kerajaan juga akan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau 'event management' serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam, katanya.

Najib berkata kerajaan juga akan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

Kerajaan juga akan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel, katanya. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

Monday, December 30, 2013

TURUN JAMIN HIMPUNAN AMAN

SHAH ALAM - Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) memberi jaminan perhimpunan yang akan diadakan malam esok bakal berlangsung aman.

Pengerusinya, Muhamad Azan Safar berkata, himpunan yang berkonsepkan duduk dan bantah ini bertujuan untuk rakyat memberi mesej jelas berhubung isu protes kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Himpunan ini juga bebas dari sebarang provokasi dan ancaman yang menggugat kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

“Peserta himpunan juga diseru untuk membawa bendera Malaysia tanda patriotik dan cinta kita kepada negara selain memakai pakaian tema yang berwarna hitam,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, peserta dilarang membawa poster atau sepanduk yang mengandungi unsur provokasi dan ancaman.

Menurut beliau lagi, mana-mana ahli  politik yang ingin turut serta diminta tidak membawa ideologi politik dalam perhimpunan itu.

“Himpunan ini adalah himpunan rakyat, yang akan diraikan dan disambut juga oleh rakyat.

“Mana-mana kumpulan termasuk ahli politik sewajarnya turun sebagai rakyat tanpa bendera yang melambangkan parti masing-masing,” katanya.

Menurut Azan, waktu berkumpul adalah pada jam 9 malam dan peserta dijangka bersurai secara aman setelah meraikan tahun baharu 2014.

Sumber: Sinar Harian

KURANG BELANJA SEKTOR AWAM: PENGUMUMAN PM BERI KESAN POSITIF

SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan sektor awam melalui 11 langkah bermula 1 Januari ini, dilihat sebagai usaha memulihkan imej kerajaan di mata rakyat.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, langkah mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri akan beri kesan positif kepada kerajaan.

Bagaimanapun, tindakan mengurangkan elaun keraian lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas pula, dijangka  beri reaksi berbeza di kalangan penjawat awam elit.

"Langkah ini adalah satu usaha untuk kurangkan kos perbelanjaan yang dijangka menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih baik.


Sumber: Sinar Harian
31 DISEMBER HARI TERAKHIR TEBUS REBAT TOUCH N GO

SHAH ALAM – Pengguna Touch n Go diingatkan untuk menebus rebat sebanyak 20 peratus bagi penggunaan lebuh raya esok (31 Disember), iaitu hari terakhir tahun 2013.

Sinar Harian difahamkan, mulai 1 Januari 2014, pemberian rebat tersebut akan dimansuhkan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, syarikat pengendali sistem pembayaran elektronik, Touch n Go Sdn Bhd tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada tawaran rebat sebanyak 20 peratus bagi pengguna lebuh raya diterus atau dimansuhkan.

Menurut sumber, semua keputusan hanya akan diputuskan kerajaan dan Touch n Go  tidak menerima sebarang arahan berhubung perkara itu.

Katanya, jika kerajaan mengambil langkah untuk memansuhkan rebat tersebut, ia boleh dilakukan terus tanpa notis.

“Memandangkan ini adalah hadiah daripada kerajaan kepada rakyat, jadi itu hak mereka untuk terus atau sebaliknya.

“Pengurusan Touch n Go tidak berhak memberi sebarang kenyataan berhubung hal ini,” katanya.

Rebat Touch n Go termasuk dalam 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan 100 hari sebagai perdana menteri pada 11 Julai 2009.


Sumber: Sinar Harian

JANGAN RAKYAT SENGSARA PEMIMPIN SELESA 

SHAH ALAM - Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff hari ini bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Pulai (BN), Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan bahawa kerajaan perlu memahami segala permasalahan rakyat dan cuba mencari jalan terbaik untuk mengatasinya dalam istilah mudahnya ialah memahami denyut nadi rakyat.

Menurutnya, mengambil satu contoh, dari aspek ekonomi, sekiranya berlaku bebanan terhadap ekonomi negara kedua-dua pihak sama ada daripada pemimpin mahupun rakyat perlu sama-sama memikul bebanan tersebut, agar tidak timbul istilah ‘berat sebelah’, atau hanya satu pihak sahaja yang terpaksa menanggung beban tersebut.

“Bagi saya pemimpin jangan hanya pandai melepaskan diri mereka sahaja, cuba fahami masalah rakyat.

“Setiap bebanan negara itu dipikul bersama, jangan hanya rakyat yang terpaksa menanggung sengsara tetapi pemimpin selesa.

“…oleh itu saya sangat kecewa sekiranya pemimpin memberi aspirasi palsu kepada rakyat, bagi saya rakyat tidak tuntut lebih, tetapi mereka hanya mahukan sedikit ruang untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas lanjut, Agus menegaskan pemimpin yang tidak mempunyai ‘jiwa rakyat’ pasti akan ditolak oleh rakyat kelak.

“Ingatlah pemimpin jangan sampai satu hari nanti kamu ditolak oleh rakyat, dek kerana sikap kamu yang tidak pernah memahami denyut nadi rakyat.

“Setiap persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat itu perlu difahami dan dijawab sebaik mungkin, bukan dibalas dengan jawapan yang seolah-olah memandulkan rakyat,” tegasnya.

Hari ini dalam satu kenyataan, Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan BN perlu memahami denyut nadi agar tidak ditolak oleh rakyat dalam PRU yang akan datang.


Sumber: Sinar Harian

Bantuan persekolahan RM100 diagih 15 JanuariBANTUAN PERSEKOLAHAN RM100 DIAGIH 15 JANUARI

KUALA LUMPUR: Bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan mula diagihkan selepas 15 Januari depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, ketika dihubungi berkata, beliau akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara itu hari ini.

Sumber: Bernama/mStar
KOS SARA HIDUP MENINGKAT, KERAJAAN KOMITED BANTU RAKYAT

KUALA LUMPUR: Yayasan 1Malaysia yakin kerajaan berusaha mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana berikutan peningkatan kos sara hidup.

Pemegang Amanahnya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan bijak mengurangkan bebanan rakyat kesan kenaikan tarif elektrik, cukai pintu serta harga barang dan perkhidmatan.

Pada masa sama katanya, perlu banyak usaha dilaksanakan bagi mengukuhkan ekonomi negara dalam semua sektor yang secara langsung meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rapat jurang pendapatan

Beliau berkata, usaha perlu terarah kepada merapatkan jurang pendapatan yang terlalu besar dalam kelompok berpendapatan tinggi dan rendah agar kenaikan kos hidup tidak dirasai semua lapisan masyarakat.

“Kita yakin usaha kerajaan memastikan syarikat konsesi lebuh raya tidak akan mendapat keuntungan besar atau kurang munasabah menerusi peningkatan kadar tol dapat mengurangkan tanggungan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kami yakin kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan rakyat dibebani masalah kewangan kesan peningkatan kos hidup,” katanya di sini, semalam.

Lam Thye berkata, dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat, kerajaan perlu meneruskan agenda memperkukuh ekonomi negara, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang untuk meningkatkan mutu hidup rakyat.

Katanya, usaha itu sejajar komitmen kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam pada itu, Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, polis perlu melipatgandakan usaha mengurangkan lagi kes jenayah bagi membolehkan kawasan awam dan kediaman lebih selamat untuk semua.

“Keselamatan dan ketenteraman awam adalah isu kritikal di negara ini,” katanya yang menggesa kerajaan menumpukan isu pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.

Sumber: Bernama/mStar

PENJAWAT AWAM MANGSA BANJIR BOLEH TUNTUT INSURANS
    
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan boleh membuat tuntutan insurans, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Penjawat awam yang menjadi mangsa banjir boleh hubungi @MOFmalaysia untuk mendapatkan maklumat tuntutan insurans,” kata Perdana Menteri dalam Twitter semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian bagi mengulas pautan twitter BERNAMA bertajuk ‘Banjir: Penjawat Awam Digesa Kemuka Tuntutan Insurans Bencana Alam’.

Tuntutan daripada panel

BERNAMA memetik makluman Kementerian Kewangan, iaitu penjawat awam mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan, dinasihati mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

Tuntutan insurans meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya, selain kejadian pecah rumah ketika banjir.

Tuntutan boleh dibuat dengan menghubungi syarikat insurans/takaful yang sedia memberikan perkhidmatan. Maklumat lanjut boleh dilayari di http://bpp.treasury.gov.my atau menghubungi meja bantuan banjir talian 03-8880 2121. 

Sumber: Bernama/Berita Harian
HIMPUNAN ESOK MAMPU DIKAWAL - BEKAS IGP

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai hari ini melontarkan keyakinan rakyat akan bertindak secara rasional ketika menghadiri perhimpunan yang dijadual esok malam.

Jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, rakyat Malaysia lazimnya menghormati undang-undang selain kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan himpunan seperti itu sebelum ini.

"Saya yakin situasi esok tidaklah seburuk yang digembar-gemburkan.

"... keyakinan saya disandarkan ke atas dua sebab iaitu PDRM boleh kendalikan sebarang situasi yang timbul ketika perhimpunan tersebut.

"Serta yakin dengan masyarakat Malaysia yang sentiasa berfikiran rasional dalam bertindak," katanya dalam satu sidang media khas di Pejabat Yayasan Pengaman Malaysia hari ini.

Menggulas lanjut, beliau turut mengingatkan anggota PDRM supaya  mengambil langkah berwaspada agar tidak timbul sebarang perkara yang tidak diingini.

"Anggota PDRM perlulah sentiasa mengambil langkah berwaspada. Agar tiada sebarang kekecohan yang berlaku," katanya.

NGO Turun Kos Sara Hidup dan tiga yang lain merancang untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah kenaikan kos di Dataran Merdeka yang menjadi salah satu lokasi utama sambutan tahun baru malam esok.

Sumber: Sinar Harian

KEKAL HARGA MINUMAN WALAU CAJ AIS NAIK

KUALA LUMPUR: Peniaga kedai makanan dan minuman tidak wajar menaikkan harga jualan walaupun harga ais dinaikkan 50 sen setiap pek mulai Rabu ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Datuk R Ramalingam Pillai, berkata ia kerana kenaikan masih rendah dan tidak memberi kesan ketara terhadap kos mereka.

Katanya, walaupun kos meningkat sedikit dan mengurangkan keuntungan, ia tidak sepatutnya dipindahkan kepada orang ramai.

“Kebiasaannya, pengusaha restoran sederhana hanya menggunakan lima hingga 10 pek ais sehari dan perubahan kos maksimum yang mereka tanggung sebanyak RM5 (bagi 10 pek ais) atau kira-kira RM150 sebulan.

Akur kenaikan

“Bagi restoran 24 jam pula, penggunaan ais adalah 10 hingga 20 pek sehari dan perubahan kos ditanggung RM10 (bagi 20 pek ais) atau RM300 sebulan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai kenaikan harga ais bermula Rabu ini yang didakwa bakal menambah beban rakyat menjelang 2014.
Ramalingam berkata, peniaga seharusnya akur dengan kenaikan yang tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kadar tarif elektrik bermula 1 Januari dan kenaikan diesel sejak 2 September tahun ini.

“Kenaikan harga ais juga disebabkan pelaksanaan dasar gaji minimum mulai Januari tahun ini serta kenaikan harga beg plastik, tayar dan alat ganti. Peniaga tidak seharusnya panik tetapi perlu memandangnya dari sudut positif,” katanya.

Kenaikan turut dikatakan berpunca daripada pihak penguatkuasaan Kementerian Kesihatan yang menuntut semua pengeluar ais dan pengendalinya mematuhi prosedur keselamatan di bawah Akta Makanan.

Sumber: Bernama/Berita Harian

HIMPUNAN JALANAN HANYA BUANG MASA & TENAGA
 
KEMAMAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rancangan untuk menghimpun rakyat untuk berarak di jalanan pada malam 31 Disember ini adalah satu perbuatan yang sia-sia serta membuang masa dan tenaga.

Beliau berkata negara mempunyai sistem iaitu Parlimen untuk menyatakan ketidakpuasan kepada kerajaan selain melalui media massa kerana kerajaan bersedia mendengar dan memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.
 
"Saya rasa yang pergi itu (sertai perhimpunan) akan membuang tenaga...kita ada sistem Parlimen, mereka boleh bersuara dalam Parlimen, dalam media massa dan sebagainya, kerajaan sedia mendengar, kita akan sesuaikan (keperluan orang ramai)...kita jelaskan," katanya kepada pemberita selepas program bantuan sekolah kepada mangsa banjir di Kemaman di sini, Isnin.

Beliau berkata adalah lebih baik masa dan tenaga itu digunakan untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini kerana ia lebih berfaedah daripada membuat bantahan di jalanan.

Menurutnya, kerajaan kasihan kepada sesetengah rakyat yang telah ditipu pembangkang sehingga sanggup berhimpun di jalanan dan kali ini sekali lagi rakyat cuba ditipu semata-mata untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Himpunan guling kerajaan itu dirancang diadakan pada Selasa malam di Dataran Merdeka di ibu negara oleh badan bukan kerajaan, disebarkan melalui laman sosial Facebook dan Twitter.  

Sumber: Bernama/mStar


ORANG RAMAI DINASIHAT PATUHI ARAHAN JIKA BERLAKU GELOMBANG KEDUA BANJIR – POLIS KUANTAN
 
KUANTAN: Polis meminta orang ramai bersedia dan mengikuti semua arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku gelombang kedua banjir di Pahang yang dijangka bermula Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, sebanyak 67 buah pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan yang boleh memuatkan 20,415 orang telah disediakan untuk mangsa banjir.

Katanya, tujuh mukim terlibat iaitu di Kuala Kuantan 1 sebanyak 11 pusat pemindahan, Kuala Kuantan 2 (21 pusat pemindahan), Ulu Kuantan (12), Beserah (dua), Sungai Karang (lapan), Penor (lapan) dan Ulu Lepar (lima).

"Selain itu, beberapa kawasan letak kenderaan turut dicadangkan bagi mangsa-mangsa banjir mengikut kawasan kediaman masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kawasan yang dicadangkan bagi penduduk Permatang Badak, Sungai Isap 1, Sungai Isap Jaya, Taman Guru, Taman Sepakat dan Taman Kurnia ialah di tanah lapang bersebelahan pasaraya Giant, di tepi padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dekat Kemunting dan di sepanjang laluan dari TanahPutih menghala ke persimpangan lampu isyarat Permatang Badak.

"Bagi penduduk di sekitar Taman Guru, Gudang Rasau dan perumahan Batu 6 boleh meletak kenderaan di laluan masuk ke SMK Gudang Rasau dan di sepanjang kiri kanan jalan Gambang menghala ke Taman Tas.

"Penduduk di sekitar Bukit Rangin dan Kuantan ByPass boleh meletak kenderaan masing-masing di laluan Kuantan-ByPass dari arah Bukit Rangin menghala ke Kolej Shahputra dan di tanah lapang berhadapan stesen minyak Shell Jalan Kuantan-ByPass.

"Sementara penduduk di sekitar Perkampungan Cenderawasih dan Kampung Tengahpula mereka boleh meletak kenderaan di kawasan perindustrian Indera Mahkota 3,"katanya.

Sumber –BERNAMA, mStar