Monday, December 30, 2013

KEKAL HARGA MINUMAN WALAU CAJ AIS NAIK

KUALA LUMPUR: Peniaga kedai makanan dan minuman tidak wajar menaikkan harga jualan walaupun harga ais dinaikkan 50 sen setiap pek mulai Rabu ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Datuk R Ramalingam Pillai, berkata ia kerana kenaikan masih rendah dan tidak memberi kesan ketara terhadap kos mereka.

Katanya, walaupun kos meningkat sedikit dan mengurangkan keuntungan, ia tidak sepatutnya dipindahkan kepada orang ramai.

“Kebiasaannya, pengusaha restoran sederhana hanya menggunakan lima hingga 10 pek ais sehari dan perubahan kos maksimum yang mereka tanggung sebanyak RM5 (bagi 10 pek ais) atau kira-kira RM150 sebulan.

Akur kenaikan

“Bagi restoran 24 jam pula, penggunaan ais adalah 10 hingga 20 pek sehari dan perubahan kos ditanggung RM10 (bagi 20 pek ais) atau RM300 sebulan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai kenaikan harga ais bermula Rabu ini yang didakwa bakal menambah beban rakyat menjelang 2014.
Ramalingam berkata, peniaga seharusnya akur dengan kenaikan yang tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kadar tarif elektrik bermula 1 Januari dan kenaikan diesel sejak 2 September tahun ini.

“Kenaikan harga ais juga disebabkan pelaksanaan dasar gaji minimum mulai Januari tahun ini serta kenaikan harga beg plastik, tayar dan alat ganti. Peniaga tidak seharusnya panik tetapi perlu memandangnya dari sudut positif,” katanya.

Kenaikan turut dikatakan berpunca daripada pihak penguatkuasaan Kementerian Kesihatan yang menuntut semua pengeluar ais dan pengendalinya mematuhi prosedur keselamatan di bawah Akta Makanan.

Sumber: Bernama/Berita Harian

No comments:

Post a Comment