Friday, February 8, 2013

PENDAFTARAN BRIM 2.0 DITUTUP 15 MAC
 
PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan bahawa pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BRIM 2.0) ditutup pada 15 Mac 2013, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam.

"Kami beri tempoh sebulan lagi supaya mereka yang belum memohon akan dapat membuat permohonan.

"Falsafah kerajaan dalam konteks BR1M ialah untuk memastikan semua rakyat yang layak, mendapat BR1M," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum ekonomi perbendaharaan di sini.

Ahmad Husni berkata kerajaan mendapati hampir semua pemohon yang layak telah menghantar permohonan mereka dan sehingga kini sebanyak 7.3 juta permohonan diterima.

Bagaimanapun, katanya, dalam proses menentukan kelayakan individu mendapat BR1M 2.0, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri mendapati terdapat pemohon yang memohon dua kali.

"Sekiranya mereka mohon dua kali satu permohonan akan ketepikan, hanya satu permohonan akan diproses," jelas beliau. -Kosmo
PENGURANGAN BEBAN TUGAS GURU

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kaedah untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru akan diberi perhatian segera dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut memerlukan tindakan supaya guru boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka pada fungsi pengajaran teras.

Beliau berkata aspek bebanan tugas guru merupakan antara perkara yang telah dibincangkan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran. "Itulah pembaharuan yang kita akan laksanakan bagi mengurangkan beban guru dalam tugas yang tiada kaitan dengan tugas utama sebagai pendidik," katanya pada majils perayaan jubli emas Sekolah Sultan Alam Shah, di sini, malam Khamis.

Pada majlis itu Najib turut mengumumkan pemberian peruntukan khas sebanyak RM1 juta untuk sekolah tersebut.

Najib berkata keperluan guru harus diberi keutamaan sebagai motivasi untuk mereka menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik serta pencapaian dan kejayaan sesebuah sekolah itu bergantung kepada warga pendidik.

Perdana Menteri berkata usaha itu juga selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis.

"Kita perlu memahami bahawa persaingan dalam abad ke-21 menuntut kepada kita untuk berjaya ketengahkan idea-idea lebih unggul, kerana sesiapa yang mempunyai idea lebih unggul maka mampu mengatasi negara lain," katanya. -BERNAMA/Malaysian Insider
BN TIDAK PERNAH UGUT PENGUNDI — NOH OMAR

TANJONG KARANG — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar  yakin kumpulan petani dan nelayan di dearah ini tidak akan mudah terpedaya dengan helah pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang menuduh kononnya BN mengugut kumpulan itu dengan menghalang mereka memberi undi kepada pembangkang adalah tidak benar.

Katanya pakatan pembangkang sebenarnya buta dan isu itu ditimbulkan sebagai modal ceramah untuk mengelirukan pengundi terutamanya golongan pesawah dan petani di sini.

“Tuduhan itu sepatutnya tidak timbul kerana pakatan pembangkang sendiri yang tidak boleh terima kenyataan sekiranya BN berjaya menawan Selangor semula.

“Sebelum ini terbukti di Perak apabila pemimpin mereka sendiri yang menimbulkan huru-hara selepas BN berjaya mentadbir semula negeri itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar kononnya BN menggunakan taktik menakut-nakutkan pengundi dalam siri ceramahnya di Sawah Sempadan, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata beliau percaya dengan kesetiaan pengundi kerana mereka tahu siapa yang banyak membantu mereka.

“Kerajaan Persekutuan telah banyak membantu termasuk memberi peruntukan berbentuk subsidi, insentif dan input pertanian berjumlah RM2.5 bilion dalam bajet tahun ini.

“Petani dan nelayan boleh menilai kesungguhan kerajaan persekutuan yang banyak membantu meningkatkan hasil pendapatan mereka dan kita percaya undian mereka kepada BN tidak berubah,” katanya. — Bernama/Malaysian Insider
SATELIT MIKRO KE-2 MALAYSIA, RAZAKSAT-2 DILANCAR 2015

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal mempunyai sebuah lagi satelit penderiaan jauh bagi memantau permukaan bumi iaitu RazakSAT-2 yang dijadual dilancar pada 2015.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari berkata, program pembangunan RazakSAT-2 dimulakan awal tahun ini dan dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun lebih untuk disiapkan.

"RazakSAT-2 akan siap sama ada pada penghujung 2014 atau awal 2015 dan merupakan satelit 'remote sensing' yang boleh memberikan imej beresolusi tinggi kepada pengguna imej satelit di dalam negara dan di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-19 Planetarium Negara di sini semalam.

Menurutnya, RazakSAT-2 dibangunkan oleh Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) yang merupakan syarikat perintis dalam pembangunan satelit di Malaysia.

ATSB juga syarikat yang membangunkan program satelit mikro pertama negara, RazakSAT telah dilancarkan empat tahun lepas. -Kosmo
MEDIA PERLU JADI GOLONGAN PEMIKIR DAN PENGKRITIK YANG PENTINGKAN KEHARMONIAN - RAIS

MANADO — Pengamal media terutamanya wartawan perlu menjadi golongan pemikir atau pengkritik yang sentiasa mementingkan keharmonian hubungan antara negara dalam setiap penulisan yang dihasilkan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia, wartawan menjadi antara komponen terpenting dari segi penerapan pemikiran sama ada memilih untuk melaporkan perkara yang benar atau sebaliknya.

Dalam ucaptama pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) dan Hari Ulang Tahun Persatuan Wartawan Indonesia ke-67 di sini malam tadi, Rais berkata walaupun media dan wartawan bebas menulis, melapor dan mengkritik apa sahaja, namun mereka juga harus berpegang kepada semangat negara serumpun yang sekian lama menjalin hubungan harmoni dan saling menghormati.

“Kita berasas kepada yang sama, rumpun yang sama tetapi persamaan itu jika kita sebagai penulis tidak berupaya menterjemahkannya kepada khalayak, setiap kebersamaan itu tidak menjamin apa-apa.

“Untuk itu kita semua harus berfikir apa akan terjadi kepada rumpun Melayu jika kita sebagai penulis tidak melaksanakan peranan itu dari sudut menyemarakkan erti kemanusiaan dan hubungan serumpun,” katanya.

Hadir sama isteri beliau Datin Seri Masnah Rais, Gabenor Sulawesi Utara SH Sarundajang dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Menjadi menteri pertama daripada luar Indonesia yang diberikan peluang berucap pada majlis yang menghimpunkan lebih 1,000 wartawan itu, Rais turut menarik perhatian bahawa kedatangannya ke Manado adalah beserta impian untuk mencapai hasrat persaudaraan seterusnya mencantum dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

Mengakui peranan media dan tugasan wartawan adalah sebagai penulis, penyampai dan pengkritik, beliau berkata ia mampu memberikan kesan yang cukup bermakna dalam sesuatu pemberitaan jika elemen itu dapat dicantumkan dengan sempurna.

Beliau berkata sebagai penulis, terutamanya di Indonesia yang ternyata bebas melaporkan setiap perkara, pemberitaan itu tetap perlu diisi perimbangan dari aspek kepentingan kemanusiaan selain mengambil kira faktor perundangan.

Oleh itu, katanya, perkara baik yang terjadi seperti kemampuan rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia menghantar kira-kira RM6 bilion setahun ke Indonesia dan lebih 90 peratus peniaga di Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur adalah dari Indonesia juga perlu diberi liputan sewajarnya.

“Justeru, sebagai penulis kita perlu sentiasa tanam rasa tanggungjawab dalam setiap penulisan bagi mengelak apa yang dihasilkan boleh menyebabkan orang lain menjadi marah,” katanya.

Selain itu, Rais juga menyarankan supaya program televisyen membabitkan TVRI dan RTM yang terbukti memberi kesan baik dalam hubungan kedua-dua negara dihidupkan semula dengan diberikan pengisian baharu di samping program secara langsung radio gabungan penyampai Malaysia-Indonesia juga harus diaktifkan kembali.

Sementara itu, Rais ketika ditemui media selepas tamat acara berkata beliau berbesar hati diberi penghormatan bagi menyampaikan ucaptama seterusnya dapat menyampaikan hasrat perhubungan yang lebih jelas kepada seluruh pengamal media yang hadir.

“Ia terhasil menerusi peranan yang dimainkan oleh Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia dan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia dan inisiatif murni ini harus diteruskan bagi memartabatkan perjuangan serumpun,” katanya. — Bernama/Malaysian Insider