Wednesday, June 12, 2013

AHLI PARLIMEN BOIKOT ANGKAT SUMPAH AKAN DIGUGURKAN

KUALA LUMPUR — Wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) akan digugurkan sebagai wakil rakyat sekiranya mereka memboikot proses mengangkat sumpah, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran hari ini.

“Kalau ahli Yang Berhormat tidak angkat sumpah, ikut Perlembagaan, selama enam bulan maka secara automatik gugur sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Jelasnya lagi, atas semangat demokrasi juga, speaker dan timbalan speaker berhak memboikot upacara mengangkat sumpah wakil rakyat PR.

“Tidak boleh angkat sumpah hari lain ... kecuali tidak datang atas sebab kesihatan yang tak boleh dielakkan,” kata Pandikar lagi.

“Apabila kita angkat sumpah baru kita jalankan fungsi sebgai wakil rakyat,” katanya, dan menambah, bagi mereka yang sengaja tidak hadir untuk memboikot, beliau tidak nampak logiknya tindakan berkenaan.

Sesi taklimat pertama ahli-ahli Parlimen hari ini menyaksikan kehadiran 111 anggota Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang wakil pembangkang, ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir, daripada 89 keseluruhan ahli Parlimen PR.

Er, ketika ditemui pemberita berkata sesi taklimat adalah perkara yang penting dan kehadiran beliau hari ini adalah atas inisiatif sendiri.

“Hari taklimat adalah yang penting, kita nak tengok ada peraturan baru atau sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada beliau akan menghadirkan diri pada upacara mengangkat sumpah pada 24 Jun ini, Er berkata, sekiranya tiada arahan daripada kepimpinan DAP Pusat supaya memboikot upacara berkenaan, jadi beliau akan turut hadir.

“Itu saya akan hadir ... tapi kena tanya Pusat dulu,” tambahnya.

Pandikar ketika sidang medianya juga berkata, mana-mana anggota Parlimen yang tidak melaksanakan upacara mengangkat sumpah juga tidak akan dibenarkan berada di dalam Parlimen.

“Kalau tak angkat sumpah tak boleh berada dalam Parlimen ... Mereka harus angkat sumpah pada hari pertama, kalau tidak datang dia hina Parlimen, sistem demokrasi,” kata Pandikar memberi amaran.

“Tanggungjawab saya bukan pastikan pilihan raya berjalan atau tidak, tanggungjawab saya memastikan persidangan berjalan, kerana saya masih lagi speaker berdasarkan Perlembagaan,” tegasnya. –The Malaysian Insider
KEMATIAN TAHANAN: PEMBANGKANG MEMANG SENTIASA MENGKRITIK KERAJAAN - EAIC

PUTRAJAYA —Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Heliliah Mohd Yusof tidak kisah dengan kritikan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang mendakwa mereka gagal melaksanakan tanggungjawab terutamanya melibatkan kes kematian dalam tahanan.

Agensi kerajaan itu menerima tekanan daripada pelbagai pihak terutamanya melibatkan isu kematian 9 orang dalam tahanan polis sepanjang tempoh tahun ini, yang terbaru adalah melibatkan kematian warga Jepun Nobuhiro Matsushita, 33, ditemui tergantung pada palang besi pintu lokap di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya hujung minggu lalu.

“Mereka berhak untuk mengkritik... sebuah pandangan adalah tetap pandangan, cuma kita telah berusaha untuk membolehkan supaya rakyat faham apakah tujuan dan tanggunjawab suruhanjaya ini,” kata Heliliah (gambar) dalam satu sidang media di ibu pejabat EAIC di sini.

Menurut Heliliah, sudah menjadi sikap pemimpin pembangkang  sentiasa mengkritik terutamanya terhadap kerajaan, di samping menegaskan agensi yang diterajuinya adalah bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Adakah mana-mana badan yang diwujudkan kerajaan, walaupun dengan tulus ikhlas, pihak pembangkang akan mengatakan itu adalah digalakkan dan menyokongnya?

“Saya ingin tegaskan suruhanjaya adalah sebuah agensi bebas walaupun kami mendapat sumber kewangan daripada Jabatan Perdana Menteri... kami perlu menjawab kepada Parlimen,” terang beliau lagi.

Tony Pua dari DAP semalam berkata EAIC dicipta untuk gagal oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hanya ditubuhkan pada tahun 2011 untuk menenangkan tekanan ke atas pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Perbezaan antara kedua-dua adalah jelas dalam niat mereka, dengan EAIC ditubuhkan sebagai harimau tidak bertaring bertujuan khusus melakukan kerja kosmetik menenangkan permintaan orang ramai untuk IPCMC, disamping memenuhi bantahan lantang daripada pasukan polis," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tersebut dalam satu kenyataan semalam.

Isu kematian dalam tahanan Kematian telah mencetuskan reaksi negatif pelbagai pihak, malahan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) telah mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terlibat dengan menangkap mereka, dan bukannya hanya menukar kepada tugasan pejabat.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong. –The Malaysian Insider
PAKATAN PEMBANGKANG LEBIH RASIS

KUALA LUMPUR - Penubuhan UMNO sebagai sebuah parti yang memayungi orang Melayu bukan bermaksud parti itu bersikap rasis sehingga menafikan hak kaum-kaum lain.
 
Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap keterbukaan UMNO dalam menerima kaum-kaum lain ditunjukkan menerusi kesediaan berada di bawah nama dan logo sama iaitu Barisan Nasional (BN) bersama-sama MCA, MIC dan parti komponen lain.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, pembangkang lebih bersikap rasis selepas sehingga kini tidak mendaftarkan pakatan mereka di bawah nama dan lambang sama.

"Malah, DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga bertanding atas tiket masing-masing dalam pilihan raya umum lalu meskipun mengakui kononnya berada di bawah pakatan sama," katanya.

Mohd. Shafie mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya di www.limguaneng.com baru-baru ini yang menyebut keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti tersebut berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka. –Utusan Online

GUNA LAMAN SOSIAL HINA NABI MUHAMMAD, ADA PIHAK SENGAJA MAHU ROSAK AKIDAH MASYARAKAT

KOTA BHARU - Tindakan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman sosial untuk menghina Nabi Muhammad SAW disifatkan satu bentuk murtad baharu yang mahu 'diajar' kepada masyarakat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia merupakan satu perancangan rapi oleh pihak yang tidak senang dengan Islam dan sengaja mahu merosakkan akidah umatnya.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja merosakkan umat Islam tetapi juga perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

"Saya melihat ini sebagai satu perancangan yang berstrategi di pihak yang tidak bertanggungjawab maka menjadi tangunggjawab negara, kerajaan dan pegawai agama untuk mengatasinya.

"Jangan kita menganggap perkara ini mempunyai satu dorongan daripada pihak yang bukan Islam tetapi ini kelompok-kelompok yang tidak senang dengan Islam, ini yang kita kena faham dalam menjaga keharmonian agama pada hari ini."Mereka cuba mewujudkan suasana tegang kerana keadaan seperti itu mereka dapat melakukan banyak perkara-perkara yang buruk dan negatif terhadap negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Jakim mengenai anasir daripada luar dan dalam negara ini, bertindak menggunakan laman sosial bagi menggerakkan gelombang kedua untuk memurtadkan umat Islam selepas gelombang pertama menggunakan penyebaran risalah di tempat awam dapat dikesan.

Jamil Khir berkata, pihaknya memandang berat mengenai masalah tersebut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Sebuah jawatankuasa yang menyatukan pelbagai pihak seperti polis, Jabatan Imigresen dan pejabat-pejabat agama di setiap negeri ditubuhkan untuk memantau perkara ini. Jawatankuasa ini juga memantau penghinaan terhadap agama-agama lain juga.


"Kita cuma hendak memperkemaskan lagi (jawatankuasa) di peringkat negeri supaya mempunyai satu semangat yang bersama di peringkat pusat dan negeri-negeri," katanya. –Utusan Online
BOIKOT PARLIMEN: PEMBANGKANG TUNJUK BELANG

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang yang menang 89 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bulan lalu, mula menunjukkan belang apabila memboikot sesi taklimat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-13, semalam.

Dalam sesi taklimat bermula jam 9.30 pagi itu, hanya Ahli Parlimen Bakri dari DAP, Er Teck Hwa, hadir. Bagaimanapun, Teck Hwa mungkin dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar keputusan memboikot sesi itu.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata Teck Hwa diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan berhubung tindakannya melanggar prinsip bersama pakatan pembangkang memboikot majlis itu sebelum dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti.

Teck Hwa ketika ditemui di bangunan Parlimen menjelaskan beliau hadir pada sesi taklimat itu bagi mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berhubung sidang baru Parlimen.

“Walaupun pembangkang memboikot sesi taklimat ini, saya hadir sebagai wakil rakyat kerana taklimat ini penting untuk mengetahui garis panduan baru serta mempelajari peraturan yang perlu diikuti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengakui Ahli Parlimen parti itu memboikot sesi taklimat berkenaan, tetapi akan hadir pada majlis angkat sumpah 24 Jun ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada sidang media selepas merasmikan majlis taklimat itu, berkata tindakan pembangkang menyulitkan usaha pihak pentadbir Parlimen untuk memberi penerangan dan mendapatkan butiran peribadi.

“Kalau mereka menghormati Parlimen, institusi di mana mereka bekerja dan bertanggungjawab, mereka harus datang,” katanya yang enggan membuat spekulasi kemungkinan pembangkang akan turut memboikot majlis angkat sumpah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan wakil rakyat pembangkang itu menggambarkan mereka tidak layak menjadi Ahli Parlimen.

Malah, beliau menyifatkan mereka sebagai pemimpin tidak beradab pada rakyat, pecah amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan pada PRU-13.

“Sifat orang munafik ialah apabila bercakap dia bohong, bila janji dia mungkir, bila dia bercakap atau berdebat dia berlebih-lebihan, bila diberi amanah, dia pecah amanah,” katanya.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pula meminta pemimpin pembangkang tidak mengkhianati amanah rakyat yang memilih mereka pada PRU-13.

“Kita perlu hormati keputusan rakyat, ini masa untuk membangunkan negara menjadi negara yang hebat... saya menyeru mereka sama-sama datang ke Parlimen dan bincang apakah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.


Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut membidas tindakan pembangkang yang disifatkannya tidak `gentleman’ kerana lebih berminat bersuara di jalanan berbanding di Parlimen. –BHarian