Wednesday, November 21, 2012

TOLAK HADI, DAP TETAP MAHU ANWAR IBRAHIM
KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw senada dengan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Seng Giaw memberitahu, keputusan mengangkat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah dipersetujui bersama dan keputusan tersebut kekal.

"Kepimpinan pakatan pembangkang sudah membuat keputusan bahawa sekiranya kami memenangi pilihan raya umum akan datang, calon Perdana Menteri ialah Anwar. Itu sahaja, keputusan telah dibuat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Pada muktamar tahunan Pas minggu lalu, perwakilan parti itu yang terdiri daripada ahli-ahli akar umbinya mencadangkan Presidennya, Abdul Hadi Awang wajar diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU-13.

Ahli-ahli akar umbi parti itu beranggapan, Abdul Hadi merupakan individu paling layak memimpin negara dan bukannya Anwar.

Bagaimanapun, perkara tersebut jelas bertentangan dengan dasar dan persetujuan yang dicapai dalam pakatan pembangkang sebelum ini yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa Anwar tetap menjadi pilihan utama sebagai Perdana Menteri dan bukannya Abdul Hadi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua memberitahu, pakatan pembangkang sepakat mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Soal Abdul Hadi jadi Perdana Menteri itu bukannya dibawa oleh Pas tetapi perwakilan mereka sahaja. Tidak timbul isu siapa akan jadi Perdana Menteri kerana kami sudah sepakat kalau mendapat majoriti pada pilihan raya umum akan datang, Anwar bakal menjadi Perdana Menteri," jelasnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, sekiranya Pas mendapat majoriti kerusi pada pilihan raya umum akan datang, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam musyawarah pakatan pembangkang.

"Soal siapa akan jadi Perdana Menteri, kita tentukan selepas pilihan raya. Apa yang penting ketika ini Pas perlu perkemaskan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujarnya. –Utusan Online
ZIONIS RANCANG HAPUS PALESTIN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) semalam diberitahu pengeboman berterusan ke atas rumah penduduk Palestin oleh tentera rejim Zionis bukan akibat kecuaian.

Salah Al-Sammouni, penduduk Zeitun, di Gaza, dalam keterangannya melalui akuan bersumpah berkata, ia dilakukan secara terancang sebagai amaran itulah nasib penduduk jika masih berdegil untuk tinggal di negara mereka sendiri.

Penduduk dibunuh, pegawai naik pangkat

Katanya, pegawai tentera Israel yang mengetuai serangan bukan saja terlepas daripada tindakan undang-undang, malah dinaikkan pangkat berdasarkan jumlah penduduk yang dibunuh.

Saksi pertama berusia 33 tahun yang kadang kala menangis ketika memberikan keterangan menceritakan kekejaman tentera mengebom rumah sepupunya dengan pelancar roket pada 5 Januari 2009. Dalam kejadian itu 21 ahli keluarga termasuk bapa, ibu dan anak perempuan beliau yang masih kecil turut terkorban.

Terus bedil rumah

Katanya, helikopter Apache hanya berhenti menembak selepas anggota keluarga perempuan yang menanggalkan tudung melambai-lambai tanda mereka tidak bersenjata dan semua ahli keluarga yang cedera kemudian keluar dari rumah.

Dalam perjalanan ke hospital berjalan kaki, mereka terjumpa tentera rejim yang mengarahkan mereka kembali dengan berkata: “Pergi balik dan mati”.

“Saya suruh semua orang teruskan dan tak perlu risau jika ditembak kerana kami berhadapan pasukan yang tidak berperikemanusiaan terhadap apa-apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan suruhanjaya yang diketuai bekas Majistret, Musa Ismail, bersama-sama calon Hadiah Nobel Keamanan, Denis J Halliday; bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Prof Hans-Christof Von Sponeck; Pengarah Eksekutif Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Dr Zulaiha Ismail dan Pengarah Pusat Kajian Globalisasi (CRG), Michel Chossudovsky.

Sepupu Salah, iaitu Mahmoud, 15, dalam keterangannya berkata, bapanya terkorban terkena tembakan bertalu-talu tentera Israel ketika keluar dari biliknya sambil mengangkat tangan tanda tidak bersenjata dan menyerah diri.

Mahmoud yang ketika itu berusia 12 tahun turut menceritakan kejadian menyayat hati apabila adik lelakinya berusia empat tahun yang tercedera sempat menyanyikan lagu kegemarannya dan membaca ayat al-Quran sambil berjanji membawa bapa dan ayahnya ke syurga sebelum meninggal dunia pada waktu Subuh.

Pendengaran Mengenai Palestin oleh suruhanjaya itu bersambung hari ini.

KDN gerak Skuad Muda

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan Skuad Mudanya untuk membantu mengisi Tabung Kecemasan Gaza yang dikendalikan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), mulai semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Skuad Muda KDN dengan 1.1 juta sukarelawan di bawah semua agensi kementerian akan membantu mengumpul dana bagi mengisi tabung itu untuk membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan Israel. -BHarian