Showing posts with label Hadi. Show all posts
Showing posts with label Hadi. Show all posts

Monday, November 25, 2013

PAS MAHU HADI JADI PM

SHAH ALAM — Pas mahu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri negara ini, kata Naib Presiden Datuk Husam Musa hari ini.

Beliau memberitahu Muktamar Pas Ke-59 di sini bahawa itulah yang seharusnya menjadi agenda perjuangan parti dan perlu dibincang oleh seluruh saf kepimpinan untuk direalisasikan.

"Saya nak tengok Ustaz Hadi jadi Perdana Menteri sebelum dia mati, walaupun cuma satu hari.

"Kata-kata (perwakilan) konon Pas akan tinggalkan agenda untuk tawan Putrajaya sepatutnya tidak patut diucapkan. Kita sepatutnya susun strategi untuk memastikan kemenangan diperolehi," katanya pada sesi penggulungan muktamar itu di sini.

Kata-kata Husam mendapat tepukan gemuruh perwakilan sekali gus menjadi isyarat bahawa Pas tidak mahu Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seperti cakap-cakap sebelum ini.

Husam berkata, dengan menjayakan agenda itu, semua anggota Pas pastinya senada dan tidak akan berselisih faham dalam memilih perdana menteri. - BERNAMA

-Sumber: Utusan Online

Wednesday, May 1, 2013


PRU13: HADI AWANG TIDAK SETUJU ANWAR JADI PM?

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan pernah bersemuka dengan tokoh ulama terkemuka, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi untuk menasihatkannya supaya tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Memetik laporan portal berita AntaraPos.Com hari ini, sumber dalaman Pas mendedahkan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertemu Al-Qaradawi setelah Pas enggan menyokong hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri pada konvensyen pakatan pembangkang baru-baru ini.

Menurut beliau, Abdul Hadi kemudian bergegas menemui Al-Qaradawi di Qatar bagi menjelaskan mengapa Anwar tidak layak dilantik untuk menyandang jawatan itu.

"Alasan yang diberikan Abdul Hadi kuat iaitu Anwar tak layak menjadi Perdana Menteri kerana PKR bukan gerakan Islam dan Anwar bukan pemimpin gerakan Islam," katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, Abdul Hadi gagal memujuk Al-Qaradawi dan PKR kini menggunakan surat sokongan daripada tokoh ulama terkemuka itu untuk meyakinkan pemimpin serta ahli Pas menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri yang melancarkan surat terbuka Al-Qaradawi menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri," ujarnya.

Namun katanya, surat itu tidak menghakis sokongan akar umbi dan pimpinan Pas agar Abdul Hadi dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Tambah beliau, Abdul Hadi juga kesal kerana Anwar mempergunakan anak Al-Qaradawi bagi memujuk bapanya menulis surat tersebut.

Sumber dalaman Pas itu berkata, tindakan Anwar itu dipercayai menjadi punca Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa PKR meletakkan calon tangkap muat termasuk 'penjual pil kuda' pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Beliau turut membidas PKR kerana bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dianggap Pas mempunyai kecenderungan ke arah ideologi komunis," jelasnya.

Abdul Hadi juga dikatakan merestui keputusan parti meletakkan calon di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen yang turut ditandingi PKR. - UTUSAN ONLINE

Monday, April 29, 2013

DAKWA PSM ANTI-AGAMA, ABDUL HADI 'BUTA SEJARAH’ - JEYAKUMAR

KUALA LUMPUR - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang buta sejarah kerana gagal membezakan antara fahaman komunis dan sosialis.

Ahli Majlis Tertinggi PSM, Dr. M. Jeyakumar berkata, kenyataan Abdul Hadi yang seolah-olah menggambarkan sosialis menggunakan kekerasan serta cuba menyesatkan rakyat jauh menyimpang daripada ajaran sebenar fahaman itu.

Memang ada sedikit persamaan dalam matlamat antara komunis dan sosialis, tetapi itu dari segi pengagihan kekayaan sama rata dan untuk membantu golongan miskin.”

Tetapi sosialis tidak menggunakan kekerasan, tidak mempromosikan mana-mana agama dan tidak menghalang kebebasan beragama. Jadi, untuk mengatakan kita anti-agama itu langsung tidak betul," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, Terengganu 22 April lalu, bahawa parti itu cuma bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetapi tidak dengan parti lain yang menjulang gambar Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin. –UTUSAN ONLINE

HADI TUDUH UMNO CETUSKAN TRAGEDI 13 MEI, PERLEKEH BR1M

KUALA KANGSAR - Walaupun sejarah telah mencatatkan bahawa tragedi 13 Mei bermula daripada provokasi pembangkang, tetapi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat cuba membela rakan sekutunya apabila menuduh UMNO mencetuskan rusuhan kaum pada 1969 itu.

Dalam satu ceramah di Arena Square di sini malam tadi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa persengketaan antara kaum itu didalangi oleh UMNO untuk mengekalkan kuasanya.

Pas pernah bekerjasama (dengan UMNO) dari 1970 hingga 1978 selepas 13 Mei, kita menyedari 13 Mei adalah provokasi yang dibuat oleh UMNO, kekacauan untuk mengekalkan kuasanya.”

(Tragedi) 13 Mei tidak berlaku di Kelantan, tidak berlaku di Terengganu dan tidak berlaku di Kedah. Kekacauan berlaku di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, negeri tempat BN perintah masa itu," katanya.

Dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokong pembangkang itu, Abdul Hadi juga cuba menidakkan kebaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan mendakwa pendekatan itu sebagai tidak bijak.

Ketika rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah menyambut baik pemberian BR1M, Abdul Hadi pula mendakwa kononnya bantuan itu bermotif politik.

Abdul Hadi sekali lagi melemparkan tohmahan apabila menyatakan kononnya BR1M hanya diberi ketika dekat pilihan raya sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah menyalurkan bantuan itu sejak tahun lalu lagi.

Peliknya, selepas memburuk-burukkan tindakan kerajaan menyalurkan BR1M, Abdul Hadi mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil bantuan tersebut.

Dia bagi BR1M, ambil. Itu duit kita tetapi kalau kita sudah kaya, bagi dekat orang miskin. Kalau tidak jumpa orang miskin, bagi dekat kami, kami buat bendera banyak-banyak," katanya. –UTUSAN ONLINE