Thursday, November 14, 2013

KELANTAN SEDIA LAKSANA HUDUD

KOTA BHARU - Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan bersedia sepenuhnya melaksana hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sekiranya Kerajaan Pas Kelantan mahu menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa terdekat.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad berkata, pihaknya mempunyai kemudahan mencukupi untuk melaksana hukum Islam itu.

Walau bagaimanapun, kata beliau, Kerajaan Pas Kelantan perlu menambah jumlah hakim sekiranya hukum itu mahu dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Hukum hudud boleh dilaksanakan, undang-undang sudah ada, lantik hakim sahaja. Mahkamah Syariah sudah bersedia pada bila-bila masa, kita tidak ada halangan," katanya.

Pelaksanaan hukum hudud di negeri ini menjadi polemik berpanjangan kerana sering dibangkitkan oleh Pas terutama setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Walau bagaimanapun, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa menempelak Kerajaan Pas Kelantan kerana tidak berusaha melaksana hukum tersebut.

Ini kerana Kerajaan Pas Kelantan tidak menunjukkan usaha mengadakan prasarana terbaik selain menambah bilangan hakim serta pegawai yang terlibat untuk melaksanakan undang-undang syariah itu.

Sementara itu, Daud berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan masalah kes tertunggak melibatkan Mahkamah Syariah di negeri ini.

"Sasaran kita kes tidak lebih dari setahun, makna tidak ada kes tertunggak ialah kes selesai dalam masa setahun paling lama, ada kes boleh selesai dalam masa sehari sahaja.

"Kita sudah memiliki kemudahan yang terbaik sekarang termasuk untuk melaksanakan hukum sebat sehingga 100 rotan mengikut syariah," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia

POLIS SEDIA PERTIMBANG JIKA PERLU BEKAL SENJATA KEPADA PENGUAT KUASA AGAMA

KUALA LUMPUR - Polis sedia menimbang sebarang permohonan pembekalan senjata api kepada anggota penguat kuasa termasuk jabatan agama yang bertugas di bahagian kritikal atau berisiko.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Polis Diraja Malaysia, Datuk Ayub Yaakob berkata, jika ada keperluan, polis tidak akan menolak permohonan mereka tetapi ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

Permohonan itu perlu dibuat kepada Ketua Polis Daerah sebelum dibawa kepada Ketua Polis Negeri dan dikemukakan untuk kelulusan oleh Ketua Polis Negara.

“Kita faham, tugas mereka sebagai anggota penguat kuasa sentiasa berdepan dengan risiko. Tidak dinafikan, alat untuk mempertahankan diri seperti senjata api itu perlu walaupun ia bukan satu-satunya cara (pertahankan diri).

“Memang sebelum inipun, anggota penguat kuasa seperti Kastam dan Imigresen mengikut prosedur sama. Kita mahu hanya mereka yang benar-benar memerlukan  senjata api memohon dan anggota itu perlu diberi latihan secukupnya untuk  mengendalikan senjata api itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Ayub diminta mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya anggota penguat kuasa jabatan agama dibekalkan senjata api ketika melakukan operasi.

Laporan selanjutnya di: http://www.sinarharian.com.my/semasa/

ISU PETRONAS PERLU PERHATIAN SERIUS

Sinar Harian, 6 Nov 2013
KUALA LUMPUR - Petronas digesa menjelaskan secara terperinci objektif syarikat itu sama ada meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera atau membuka perniagaannya secara langsung kepada syarikat asing.

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr.Dzulkefly Ahmad
Menurut Pengarah Penyelidikan Pas, Dr. Dzulkefly Ahmad, penjelasan tersebut perlu berikutan  program pembangunan vendor (VDP) yang diwujudkan Petronas bagi membantu syarikat-syarikat Bumiputera, didakwa cuba dilenyapkan secara perlahan-lahan.

“Dalam tahun 2010, ketika Tan Sri Shamsul Azhar mengambil alih kepimpinan Petronas, masih ada 30 vendor di bawah program VDP yang mempunyai tenaga kerja sehingga 10,000 yang terdiri dari Bumiputera.Tetapi hari ini, hanya 11 sahaja yang tinggal,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, semalam.

Katanya, kewujudan dua program baharu iaitu Global Frame Agreement (GFA) dan Master Price Agreement (MPA), dilihat sebagai salah satu punca utama menyebabkan banyak syarikat tempatan tidak mendapat hak seperti sebelum ini.

Tambah beliau, jika ada dakwaan mengatakan banyak syarikat di bawah VDP tidak berdaya saing, maka Petronas selaku badan berwajib perlu mencari alternatif lain menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam sidang media yang sama, Felo Penyelidikan Pas, Hafiz Jamal berkata, program VDP tersebut dilihat kurang berjaya kerana pelbagai penyelewengan dan ketidaktelusan telah dilakukan oleh Petronas sendiri.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/

PERGERAKAN SYIAH DIDALANGI YAHUDI?


KUALA LUMPUR – Syiah yang kini dipercayai mempunyai sekitar 300,000 pengikut di negara ini dipercayai didalangi oleh Yahudi yang mempunyai agenda berterusan untuk memecahbelahkan umat Islam di seluruh dunia.
 
Pengerusi Akidah, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin berkata, Malaysia antara negara yang menjadi sasaran gerakan itu sejak 40 tahun lalu.

Katanya, rancangan itu bagaimanapun gagal kerana keberkesanan kepemimpinan negara melaksanakan pentadbiran berlandaskan prinsip keharmonian sejagat.

“40 tahun lalu, ada pengikut Syiah datang berhujah di maktab perguruan Islam dan memberi buku kepada mahasiswa bertujuan untuk mengembangkan fahaman mereka tetapi tidak berjaya. Allah masih selamatkan negara kita,” katanya pada Seminar Kefahaman Islam yang bertajuk ‘Fenomena Syiah - Mencari Kesimpulan antara Benar atau Salah’ di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan di sini, kelmarin.

Laporan selanjutnya di: http://www.sinarharian.com.my/nasional/