Tuesday, May 14, 2013

KEKALKAN KUASA POLITIK MELAYU

KUALA LUMPUR - Resolusi Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok untuk diambil tindakan bagi menjaga perpaduan dan hak bangsa Melayu.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, resolusi itu juga menggesa kuasa politik bangsa Melayu dikekalkan menerusi kerjasama erat parti-parti politik Melayu di negara ini.
"Kita tidak lagi mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan, bangsa Melayu mesti tegas, mesti lebih pintar.

"Saya menyeru kerajaan mendengar saranan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu terutamanya Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang merupakan gabungan 287 NGO Melayu dengan 3.2 juta keahlian.

"Harapan kita kepada kerajaan adalah laksanakan amanah agar kesannya sampai ke akar umbi, baik daripada segi kuota bumiputera, bantuan pelajaran dan juga biasiswa kepada bumiputera," katanya kepada pemberita selepas program wacana itu di sebuah hotel di Menara Mara di sini hari ini.

Penganjuran wacana itu adalah inisiatif Gerakan Kesedaran oleh Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan dan Presiden GPMS, Jais Abdul Karim.

Ia dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri tokoh Melayu, pensyarah, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, korporat, ahli politik dan golongan muda.

Menurut Kamaruddin, kerajaan perlu mentadbir negara mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan dan tidak melayan mana-mana tuntutan yang menidakkan hak bumiputera.

"Kita semua tahu DAP telah mengumpulkan sokongan majoriti kaum Cina, apa yang penting adalah Pas dan UMNO mesti bergabung atau sekurang-kurangnya bekerjasama termasuk dengan ahli politik Melayu Parti Keadilan Rakyat (PKR), NGO Melayu akan cuba membantu usaha ini," katanya.

Sementara itu, paling mencuri tumpuan dalam program wacana berkenaan adalah kemunculan seorang tokoh Orang Asli, Datuk Dr. Hashim Muhammad yang menyeru Melayu bersatu-padu.

"Aku adalah orang Sakai suku Jakun yang pertama menjadi cikgu, aku masuk Maktab Perguruan Sultan Idris, aku belajar apa yang aku tak tahu cakap, akhirnya atas kuota Melayu aku dapat buat," katanya yang juga tokoh pendidikan.

Menurutnya, Orang Asli menerima banyak nikmat hasil perjuangan orang Melayu memerdekakan negara dan mereka perlu kekal bersatu bagi menjaga kepentingan hak bangsa serta kemakmuran negara. – Utusan Online